Thursday, June 4, 2015

Kisah Nabi Di Pagi Hari

Sewaktu dalam kereta pagi tadi, kami sekeluarga berkongsi cerita tentang kisah Nabi Ibrahim & Raja Namrud.

Awatif: Raja Namrud bakar Nabi Ibrahim dale api Abeed: "Raja Namrud marah kepadanya..membakarnya di api menyala.." (menyanyikan nashid)
Mama: Lepas tu, Nabi Ibrahim terbakar dok?
Awatif: Dok..Nabi tok terbakar
Mama: Bakpo tok terbakar?
Abeed: Sebab bomba mari padamkan api..sebab tu la tok terbakar
Awatif: Bukey, sebab Allah tolong padamkan api
Mama: Allah tolong sejukkan api, sebab tu Nabi tok terbakar
Abeed: Aaa (dengan nada tak puas hati)...sebab bomba padamkan api!!
Mama: Ooo..macam bomba padamkan api rumah Ijat terbakar tu ko? Macam dalam cerita Upin Ipin?
Abeed: Hahaa..macam je
Awatif: "Ditolong Allah Maha Perkasa..panasnya api tidak terasa.." (menyanyikan sambungan nashid)

Alahai anak-anak..geli hati mama & baba!

Alhamdulillah, ini adalah antara nikmat-nikmat dari Nya. Dengan keletah anak-anak ini, kami masih dapat tersenyum di pagi hari walaupun perasaan lelah berkejar-berkejaran masih lagi bersisa. Alhamdulillah thummalhamdulillah :-)

Kami jarang sekali dapat membacakan "bed time story" kepada anak-anak sebelum mereka tidur pada waktu malam. Jadi, sebagai salah satu usaha untuk mendedahkan anak-anak tentang Islam, kami memilih untuk menayangkan video-video Islami di dalam kenderaan atau di komputer. Sudah tentu buku cerita bergambar juga tak dikesampingkan!

Moga ia bermanfaat untuk membantu perkembangan minda & syakhsiah mereka..insha Allah..

Saturday, December 20, 2014

Yeay, cuti!!

"Kakak, nanti kakak cuti 40 hari. Tak payah pergi sekolah", mama memaklumkan kepada Awatif pada hari akhir sesi persekolahan 2014 baru-baru ini. Senang cakap 40 hari walaupun sebenarnya bukan tepat 40 hari pun.

"Waaah, lamanya!!", ujarnya sambil tersenyum lebar & mata bersinar-sinar gembira.

Tak ada orang yang tak gembira kalau diberikan cuti. Cuti bermakna rehat. Cuti bermaksud boleh melakukan apa-apa sahaja yang kita inginkan tanpa perlu risau akan tugas-tugas kebiasaan. 

Beruntunglah para guru & pelajar, waktu & tempoh cuti sudah pun disediakan untuk mereka. Mereka yang berada di profesyen lain biasanya perlu memohon untuk bercuti. Itu pun, belum tentu permohonan akan diluluskan. Proses timbang taranya kadangkala terlalu rumit. Kalau berjaya dapat cuti, orang putih kata memang "heaven"lah!

Nak tak nak, kita semua memang memerlukan sedikit ruang untuk "break". Kalau tak, tubuh & minda kita akan jadi terlalu letih dengan hal ehwal dunia yang tak berkesudahan.."exhausted". Ruang masa untuk berehat itu pula fleksibel & tempohnya tidak semestinya panjang. Tak mengapa jika waktu rehatnya pendek asalkan berkualiti. 

Kadang-kadang, cuti rehat itu bukanlah bermaksud rehat dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Mama & baba sudah banyak kali ambil cuti rehat semata-mata nak kemaskan rumah tau. Waktu cuti itu jugalah nak berurusan dengan bank atau agensi-agensi lain. Sudahnya, anak-anak terpaksa juga dihantar ke rumah pengasuh walaupun mama & babanya bercuti. Sebab itulah sekali kami bercuti, kami akan ambil masa beberapa hari. 

Contohnya: 1 hari mengemas rumah + 1 hari menyiapkan urusan luar + 1 atau 2 hari sepenuh masa bersama anak-anak!

Di bawah ini, kami kongsikan gambar-gambar percutian kami sekeluarga di Kuala Terengganu & Putera Valley Resort, Tanah Merah, Kelantan.








Ibu bapa yang lain bagaimana?
Jom, kongsi pengisian cuti kalian di sini..

Nak pergi bercuti di tempat-tempat menarik, tapi kewangan tak mengizinkan? Solusinya: MENABUNGLAH!
  • Rancang percutian di awal tahun (tempat percutian & tarikh) & rangka perbelanjaan
  • Sediakan satu tabung / bekas
  • Tulis / tampal 'tajuk tabung'. Contoh: Tabung Legoland
  • Letak tabung di tempat yang mudah dilihat oleh ahli keluarga
  • Setiap orang dalam keluarga (ibu bapa & anak-anak) MESTI memasukkan duit ke dalam tabung pada setiap hari/minggu. Contoh: Ibu & bapa RM10 seminggu, anak-anak 50 sen sehari
  • Kemaskini tabungan setiap bulan
  • Cukupkan tabungan menggunakan duit gaji ibu & bapa :-)


SELAMAT BERCUTI!

Monday, October 13, 2014

Jiwa Pahlawan

Bismillahi walhamdulillah,

Selamat bertemu kembali! Pernah dengar kan orang kata, kalau kita tengah sedih atau rasa tak bersemangat, kenangkan semula kejayaan-kejayaan yang pernah kita lalui. Tipulah kalau kamu kata kamu tak pernah berjaya.

Sekurang-kurangnya, di masa kita kecil, kita sudah banyak kali berjaya. Daripada hanya terlentang, dengan izin Allah, kita berjaya mengiring. Kemudian, dengan susah payah kita berusaha pula untuk meniarap. Orang pertama yang bertepuk tangan atas kejayaan kita itu tentulah ibu kita! Kita tak senang dengan hanya meniarap. Maka, kita berusaha lagi untuk mengensot. Cuci lantai rumah ibu sebab kita rajin 'mengemop'.


Adakah kita berhenti di situ? Setakat mengensot? Sudah tentu tidak. Kali ini kita berusaha pula untuk duduk & merangkak. Habis semua ceruk rumah kita jelajah walaupun dengan hanya merangkak. Apabila kita sudah berjaya berdiri & berjalan, semua orang bertepuk tangan, bersorak dengan gembira. Kita tersenyum bangga. Sorakan itu suatu penghargaan buat kita. Kita turut tersenyum, lantas menjadi lebih bersemangat untuk mengulangi kejayaan. Kita berusaha lagi, kuatkan kaki, melangkah laju & kemudiannya berlari. Si ibu mengalirkan air mata sambil berkata dalam hati, "Oh, anak kecilku sudah besar!"

Sebelum kita berjaya melakukan sesuatu skil baru, tidak pernahkah kita gagal? Tidak pernahkah kita jatuh tergolek lalu berdarah? Tidak pernahkah kita rasa apa itu sakit & bagaimanakah rasanya air mata itu, tawarkah atau masinkah? Pernah, bukan? Tapi mengapa kita tidak menyerah kalah? Kerana kita ada Allah & Allah telah beri kudrat kepada kita untuk terus berusaha. Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah dengan asbab usaha kita. Manakan mampu kita berlari jika kita memilih untuk sekadar duduk diam di dalam walker.

Besar atau kecil sesuatu kejayaan itu bukan menjadi ukuran. Apa yang penting, ianya bernama kejayaan. Dapat bangun pagi untuk ke sekolah itu suatu kejayaan. Dapat menghasilkan sebiji kek coklat juga satu kejayaan. Mata kail 'tersangkut' pada mulut ikan besar juga merupakan kejayaan. Pendek kata, apa sahaja yang kita dapat setelah bersusah payah untuknya layak dinamakan sebagai KEJAYAAN.

Justeru, sekarang, ketika semangat kita tiba-tiba pudar, di saat kita seolah-olah berputus harap, kenangkan kembali saat-saat manis sewaktu kita menempa kejayaan. Ingat semula, betapa lebarnya senyuman kita. Betapa girangnya ibu bapa & orang di sekeliling kita.


Ya, kita semua layak untuk berjaya!
Berjaya di dunia & berjaya di akhirat!
Ameen ya Rabb..

Wednesday, September 17, 2014

Musafir Ukhuwwah

Bismillahi walhamdulillah, 

Sabtu lepas, genap 40 hari Mama berpantang. Hari tu juga kami sekeluarga bermusafir ke Klang, bagi menghadiri walimah sepupu Mama, Sofwah. Fuhh, bermusafir selama 8 jam menaiki kereta bersama 3 orang anak kecil sangatlah mencabar! Mujur nenek, pakcik-pakcik & makcik-makcik mereka ada sekali untuk melayan karenah yang tak terjangka. 

Terima kasih semua kerana bersabar! 

Terima kasih juga buat Ayah Ha & Mak Cik Siti serta sepupu-sepupu semua atas layanan istimewa yang diberikan! Siap carikan homestay lagi..Semoga kalian diberkati Allah selalu..

Tahniah buat Sofwah & Fariz atas baitul muslim yang dibina!
Baarakallahulakuma wa baaraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fii khair..ameen


Sehari sebelum bertolak dari rumah ke Klang, Mama sempat ber Fb & berwhatsapp dengan sahabat-sahabat Mama yang sudah lama tak ketemu..5 tahun kot sejak grad dari UIA Kuantan. Semangat untuk buat mini reunion makin membuak-buak gara-gara seorang sahabat telah post sekeping gambar di Fb beliau. Sungguh, hati ini tiba-tiba jadi rindu sangat nak jumpa semua sahabat seperjuangan!


Kami merancang & Allah juga merancang. Sebaik-baik perancangan ialah perancangan Allah s.w.t. Akhirnya, kami bertemu jua di kediaman salah seorang sahabat di Semenyih. Perjalanan Klang-Semenyih mengambil masa lebih kurang 1 jam juga. Meskipun masing-masing keletihan, namun riak kegembiraan jelas terpancar indah di wajah setiap sahabat yang amat dirindui. Kali ini hanya 5 keluarga yang dapat menyertai pertemuan yang dirancang pada saat-saat akhir ini.

Terima kasih buat Ukhti Esfarizam sekeluarga kerana sanggup menjadi tuan rumah bagi perjumpaan kali ini. Semoga bertambah-tambah berkat hendaknya kehidupan ukhti sekeluarga!

Terasa musafir pada kali ini amat bermakna.
Musafir Ukhuwwah..alhamdulillah :-)


Moga-moga impian untuk mengumpulkan semua alumni DQ-UIA batch kami dalam masa terdekat ini termakbul..ameen!

Saturday, August 23, 2014

Siapa Pergi Dulu?

Bismillahi walhamdulillah, 

Semalam dan hari ini, newsfeed Fb dipenuhi dengan berita-berita tentang kepulangan jenazah mangsa-mangsa tragedi MH17. Gambar-gambar pilu ahli keluarga mangsa nahas turut sama menjentik sanubari, justeru menerbitkan rasa untuk mencoret sesuatu di sini.

Innalillahi wa inna ilaihi rooji'uun..
Kita datang daripada Allah & kepada Allah jualah kita akan dikembalikan..
Benarlah, MATI itu SEBAIK-BAIK PERINGATAN.

Siapakah di antara kita yang akan menjadi orang pertama dijemput menghadapNya? Mamakah? Atau Babakah? Atau anak-anakkah? Mati itu RAHSIA yang hanya diketahui oleh Al-Mumiit sebagaimana Dia jugalah yang Maha Menghidupkan. 

Berderai air mata Mama apabila memikirkan hal ini. Terlintas di benak fikiran, apakah cukup bekalan yang akan dibawa ketika menghadapNya? Apakah cukup bekalan yang akan Mama tinggalkan buat anak-anak Mama berjuang meneruskan hidup menjadi khalifahNya seandainya Mama pergi dahulu? 

Walau apa pun yang bakal terjadi, marilah kita sama-sama tadabbur intipati yang terkandung dalam Surah Ad-Dhuha, moga-moga ia menenangkan jiwa & menyuburkan hati-hati kita. 

Firman Allah, maksudnya:

1. Demi waktu dhuha

2. Dan demi waktu malam ketika sunyi sepi

3. Tiada sekali-kali Tuhanmu meninggalkanmu & tiada pula Ia murkakanmu

4. Dan sesungguhnya Akhirat itu lebih baik untukmu dari dunia

5. Dan sesungguhnya Allah akan memberi (limpah kurniaNya) kepadamu & engkau tetap berpuas hati

6. Bukankah dahulunya engkau seorang anak yatim piatu, lalu Allah memberi perlindungan kepadamu?

7. Dan bukankah dahulunya Allah dapatimu dalam keadaan tiada pedoman, lalu Ia memberi hidayah kepadamu?

8. Dan bukankah dahulunya Allah dapatimu miskin, lalu Ia memberi kekayaan kepadamu?

9. Oleh itu, janganlah engkau hinakan anak yatim

10. Dan janganlah engkau herdikkan peminta bantuan

11. Dan hendaklah engkau sebut-sebutkan nikmat Tuhanmu.

Allahu..tiadalah daya upaya kami melainkan dengan kuasaMu, Ya Rabbi..

Terlalu banyak perkara yang masih belum kami pelajari & masih banyak telaga hikmah yang belum kami gali. Kau kurniakanlah kami KEKUATAN & KESABARAN untuk melaksanakan segala tanggungjawab di atas dunia ini.. Ameen..

Antara hadiah-hadiah pemberian para sahabat kepada kami sempena kelahiran anakanda ketiga. Jazaakumullahu khairan kathiira!

Tuesday, August 19, 2014

Puasa 6

Bismillahi walhamdulillah,

Hari ini 23 Syawal 1435H, genap 2 minggu umur Nisreen Aisyah. Alhamdulillah, Aisyah sihat & makin kuat menyusu. Mama pun dah seminggu lebih simpan stok EBM untuk buat bekal Aisyah nanti. Harap-harapnya dapat penuhkan deep freezer sebelum masuk kerja nanti, in sha Allah.

Acik-acik kat luar tu, semua dah habis puasa 6 ke? Syawal masih berbaki 7 hari lagi. In sha Allah, sempat sangat bagi mereka yang belum memulakan puasa sunat ni, dengan syarat puasa berturut-turut setiap hari. Syawal tahun ni, Mama tak berpeluang temankan Baba berpuasa 6 ni. Tapi takpe, sokongan padu Mama kepada Baba masih sama, "Teruskan perjuangan ye, Abang! 2 hari je lagi nak habiskan, lepas tu dah boleh raya!"


Kenapa Islam menganjurkan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ni?

Jom, sama-sama kita ikuti kupasannya oleh Ustaz Abdul Basit di sini. Semoga beroleh manfaat & sama-sama kita sebarkan kepada yang lain.

Tuesday, August 12, 2014

Amanah Bertambah


Bismillahi walhamdulillah, 

Sudah lebih setengah tahun blog ini terabai..astaghfirullahal 'azeem. Maafkan kami atas kekhilafan ini. In sha Allah, blog ini akan kembali aktif selepas ini bersama hadirnya seorang lagi ahli baru dalam teratak Permata Mustofain. 

NISREEN AISYAH BINTI MOHD AZREEN nama diberi..


Alhamdulillah, lahirnya ke dunia pada jam 1.05 pagi, tanggal 9 Syawal 1435H bersamaan 5 Ogos 2014, hampir seminggu lewat daripada estimated due date (EDD). Puas sudah mama pergi beraya & kenduri di sana sini, si kecil tak mahu juga keluar menjengah ke dunia. Sudahnya, mama terpaksa "menyerahkan diri" di hospital pada 4 Ogos walaupun kontraksi bersalin masih belum betul-betul terasa. Baba dengan rela hati mengambil emergency leave (EL) semata-mata mahu menguruskan mama.

Disebabkan overdue, kami bersepakat untuk memilih HUSM sebagai hospital tempat bersalin. Dalam hati, tak putus-putus berdoa agar tidak di"induce", hanya staf perempuan yang akan mengendalikan mama & semua urusan dimudahkan Allah. Mama diarahkan untuk check-in di Wad 2 Baiduri (antenatal) sementara menunggu untuk bersalin.

Peluang berehat di dalam wad mama gunakan untuk membaca buku, mengaji, berzikir & bersosial dengan ibu-ibu lain yang rata-ratanya melalui kehamilan berisiko disebabkan oleh penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi & jantung. Alhamdulillah, mama sangat-sangat bersyukur kerana melalui kehamilan yang sihat.

Dikhabarkan bahawa labor room & postnatal ward penuh pada hari tersebut. Jadi, mama mohon daripada doktor yang memeriksa mama untuk balik berehat di rumah sahaja sementara menunggu tanda-tanda bersalin muncul. Permintaan mama ditolak lantaran "jalan" sudah pun terbuka 3 cm meskipun mama masih belum terasa sakit. Mama dinasihatkan untuk banyakkan berjalan-jalan dalam wad supaya cepat bersalin. Maka, mulalah mama mengukur inci setiap ruang dalam wad tersebut. 

Mujur juga mama dikurniakan kesempatan untuk berehat dalam antenatal ward ini. Sekurang-kurangnya mama dapat melaksanakan solat-solat sunat mengiringi setiap solat fardhu. Kalau di rumah, belum tentu mama akan buat. Yang paling menarik, jururawat di sini datang memberikan penerangan tentang penyusuan susu ibu di katil mama..dia bukan jururawat biasa, tapi ketua jururawat dalam wad ini. Memang terbaiklah, sesuai sangat dengan gelaran Hospital Rakan Bayi!

Setelah sekian lama menanti, akhirnya sakit kontraksi datang selang 10 minit selepas mama selesai menunaikan solat Isyak. Mama memaklumkan kondisi mama kepada jururawat yang bertugas. Namun, mama diarahkan untuk teruskan berehat di katil dahulu & hanya akan dibawa masuk ke labor room jika sakit kontraksi datang selang 5 minit disebabkan tiada katil kosong di sana.

Pada jam 11.15 malam, mama dibawa masuk ke labor room. Berdasarkan graf CTG, kata tuan doktor, belum ada kontraksi yang kuat & jalan masih 5 cm walaupun labor pain sudah terasa begitu perit sakitnya. Mama mohon untuk dikendalikan oleh doktor perempuan tapi kata tuan doktor house-officer (HO) ini, semua doktor perempuan masuk dewan bedah. Allahu..mama pasrah!

"Doktor, boleh panggil suami saya masuk?", mama memohon sambil menahan sakit. 

"Sekejap lagi, bila kita dah pecahkan air ketuban, kita benarkan suami puan masuk", ujarnya. 

Doa & zikir dilafazkan tanpa henti..
Hanya Allah tempat memohon segala sesuatu..
Mohon diampunkan segala dosa dengan ujian kesakitan ini..
Mohon juga agar proses kelahiran dipercepatkanNya..

Lebih kurang pada jam 12.15 pagi, air ketuban dipecahkan & setelah itu baba dibenarkan masuk. Dapat berpaut pada tangan baba pun sudah sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesakitan yang dialami. Apatah lagi tatkala mendengar ayat-ayat surah Maryam yang dibaca oleh baba, semangat mama menjadi semakin kuat. Usai wayar CTG dicabut, mama terus mengiring ke kiri & meminta baba mengurut pinggang mama. Tak sampai 5 minit urutan, doktor mengarahkan baba keluar & dibenarkan masuk semula jika tiba masa untuk "push". Oh, tidak! Kenapa perlu keluar di saat ini?

Tak sempat baba keluar, mama sudah terasa untuk meneran. Mama pegang kuat-kuat tangan baba & minta baba maklumkan kepada doktor tentang keadaan mama. Tuan doktor seakan tidak percaya kerana belum pun sampai sejam sejak air ketuban dipecahkan, takkan sudah mahu bersalin?

"Sekejap ya, saya cek jalan. Puan jangan teran dulu", pesan tuan doktor. 

Akhirnya, tak sampai 5 minit selepas itu, setelah sekuat tenaga difokuskan untuk push, terdengarlah tangisan zuriat kami yang ketiga ini. Si kecil yang diazankan & diiqamahkan oleh babanya ini terus diletakkan ke atas dada mama yang masih keletihan.

Subhanallah!
Alhamdulillah!
Allahu akbar!

Maka, bertambahlah amanah Allah ke atas kami.
Semoga setiap derap langkah dalam kehidupan kami diberkati & diredhaiNya. Ameen, ameen ya Rabb!