Thursday, August 26, 2010

Kembara Lailatul Qadr

Bismillahi wal hamdulillah,

Selamat menghidupkan bulan Ramadhan kami ucapkan kepada semua! Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur dan berkesempatan untuk melalui fasa yang ketiga Ramadhan.

Ramadhan..awwaluhu rahmah, wa ausathohu maghfirah wa aakhiruhu 'itqun minan naar!

Fasa pertama sudah pun berlalu. Mari kita semak semula, apakah kita telah pun merasa RAHMAT yang ada padanya? Jika ya, alhamdulillah, itu satu permulaan yang sangat bagus, Jika tidak, usah risau kerana masih ada peluang untuk kita.

KEAMPUNAN pula Allah janjikan untuk fasa yang kedua. Moga-moga, kita memperoleh secebis keampunan daripadaNya. Jika dihitung berapa banyak dosa yang telah kita lakukan, nescaya kita akan berasa teramat malu dengan Allah. Namun, Allah yang Maha Pengampun itu tidak pernah berkira dengan kita hambanya. Hanya kita sahaja yang selalu berkira-kira dengan Allah. Pun begitu, masih diberiNya pula peluang untuk kita menginsafi diri. Astaghfirullahal 'azim!

Kini, fasa ketiga Ramadhan telah pun tiba. Doa kita agar kita semua agar diberi PEMBEBASAN daripada azab api neraka..ameen. Marilah kita merebut segala peluang yang terbentang di hadapan mata. Ayuh, kita persiapkan diri untuk meneruskan kembara demi memburu Lailatul Qadr, malam yang nyata lebih baik daripada seribu bulan!

Oops, shopping untuk raya? Ala-kadar sajalah! Usah dilayan sangat nafsu itu kerana yang sedap di pandangan mata tak semestinya bagus untuk jiwa. Cukuplah jika dapat memberikan kebahagiaan buat insan-insan yang tersayang di hari raya nanti. Kalau dengan memberikan sepersalinan baru untuk mereka itu bisa menggembirakan mereka, maka lakukanlah. Namun, kehadiran kita di sisi mereka pastilah lebih mustahak daripada segala-galanya.

Sebenarnya, Ramadhan pada kali ini amat mencabar buat kami sekeluarga. Sebagai Baba & Mama kepada seorang bayi kecil, kami harus lebih kreatif untuk menguruskan masa di samping perlu sentiasa mengawasi gerak geri Awatif yang semakin aktif. Pantang ditinggalkan, Awatif akan terus meniarap dan berguling, membalik-balikkan tubuhnya ke kiri & ke kanan. Aduhai, jika tidak diperhatikan, boleh saja si cilik ini terjatuh daripada katil atau kepalanya terhentak ke lantai.

Dalam hal ini, kami suami isteri perlu lebih bertoleransi. Misalnya, Baba makan dahulu, Mama jaga Awatif. Kemudian, apabila Baba siap makan, Mama pula ambil giliran. Jika Awatif tidur, bolehlah kami berdua solat berjamaah bersama-sama & kemudian mengaji Al-Quran. Namun, kebiasaan yang terjadi adalah yang sebaliknya. Jadi, sistem giliran jualah yang terpaksa diaplikasi.

Mama Awatif selalu sedih kerana tidak berpeluang untuk menunaikan solat sunat tarawih di masjid. Tapi, apabila Baba Awatif berkata, "Tak apa, sayang.. Jaga anak pun dapat pahala & dikira ibadah..insya Allah", Mama Awatif pun berasa sedikit lega. Lain pula halnya dengan Baba Awatif. Kerana kepenatan selepas balik kerja, selalu sahaja tersengguk-sengguk dan kadang-kadang tertidur sewaktu mengulang ayat-ayat Al-Quran untuk dibawa sebagai bacaan dalam solat tarawih nanti. Mujur ada Mama yang menegur bacaan & mengejutkan Baba daripada lena.

Itulah dia ragam Ramadhan kami pada tahun ini. Setiap tahun pastinya berbeza. Pun begitu, kami berharap agar Ramadhan pada tahun ini adalah lebih baik daripada Ramadhan pada tahun-tahun sebelumnya.

Selamat menghidupkan 10 terakhir Ramadhan!

Hayatilah ayat tadarus Al-Quran bagi negeri Kelantan pada tahun ini (Ayat 63-77, Surah Al-Furqan) & semoga kita semua menjadi 'IBAADUR RAHMAN dalam erti kata yang sebenar!

Ameen ya Rabb..