Sunday, February 20, 2011

Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 1 - ILMU

Bismillahi walhamdulillah,

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama 2 tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan & pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan".

[Surah Al-Baqarah: ayat 233]


Firman Allah s.w.t. yang kami persembahkan di atas hanyalah sepotong ayat daripada beberapa potong ayat al-Quran yang berkait dengan penyusuan ibu. Umum mengetahui bahawasanya setiap sesuatu yang dinyatakan di dalam Al-Quran pasti mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Begitu jualah halnya dengan penyusuan ibu. Sains moden baru sahaja menjumpai khasiat & kepentingan susu ibu kepada bayi sedangkan Islam ternyata lebih mendahului pemikiran & penemuan manusia. Subhanallah, betapa indahnya Islam & begitu Agungnya Allah!

Kalau nak dibandingkan ilmu yang Allah miliki dengan ilmu yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita, sangatlah kecil kuantiti & kualitinya. Diibaratkan, sekiranya kira mencelup jari kita ke dalam air laut dan kemudiannya kita angkat jari itu, air-air yang melekat di jari kita itulah ilmu kita dan air seluas lautan itulah ilmu Allah s.wt. Yang Maha Bijaksana. Setiap perbuatan yang kita lakukan, hatta amal ibadah yang kita laksanakan seharusnya bersandarkan ilmu yang betul & syariat yang sahih. Amat rugilah orang yang beramal dalam keadaan jahil dan lebih rugilah orang yang tidak beramal kerana dia jahil. Do the right thing in the right way!
Justeru, apa pula kaitannya ilmu & penyusuan ibu? Nak menyusukan bayi pun perlukan ilmu jugakah? Jawapan kami: ya, sudah tentu!
Mari kita perhatikan apa yang berlaku di sekeliling kita dan di dalam keluarga kita sendiri serta jawablah soalan berikut dengan sejujurnya:
  1. Berapa ramai umat Islam yang sedar bahawa memberikan bayi susu ibu merupakan salah satu syariat yang begitu dianjurkan oleh Islam, terkandung dalam al-Quran & al-hadith?
  2. Berapa ramai yang betul-betul yakin & percaya bahawa air susu ibu sebenarnya jauh lebih berkhasiat kepada bayi berbanding dengan susu formula?
  3. Berapa ramai ibu bapa atau bakal-bakal ibu bapa yang mencari maklumat secara serius tentang cara-cara untuk menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada bayi?

Semua jawapan kepada soalan-soalan di atas sebenarnya berkait-rapat dengan ILMU. Oleh sebab itu, walau siapa pun kita, sama ada diri kita ini seorang ibu, ayah, datuk, nenek, anak, cucu atau bibik sekalipun, ayuh, mari kita persiapkan diri kita dengan ILMU YANG MENDALAM demi kesejahteraan ummat! Insya Allah.

1 comment:

  1. yes..and matlamat kita sama! :) jemput singgah ke milkyummy.blogspot.com

    ReplyDelete