Thursday, November 1, 2012

Mencari Mama

Bismillahi walhamdulillah,

Sedar atau tidak, kita semua sebenarnya sedang berada dalam suku akhir tahun 2012. Anakanda Nidaaul Awatif sudah pun berumur 2 tahun setengah manakala anakanda Muhammad Abeed berusia 6 bulan. Subhanallah, perkembangan tumbesaran si kecil-si kecil kami ini sangat menakjubkan! Abeed yang mula meniarap pada umur 3 bulan lebih kini sudah mula menunjukkan tanda-tanda untuk belajar duduk. Alhamdulillah, berjaya juga Abeed mendapat susu ibu secara eksklusif! Makanan separa pepejal pun sudah diperkenalkan dan ini menjadikan sesi menyuap Abeed merupakan momen yang amat menyeronokkan buat kami sekeluarga. Belum pun habis makanan di dalam mulutnya, cepat pula tangannya menyambar sudu atau makanan di tangan kita. Melihatkan gelagatnya membuatkan kami lebih bersemangat untuk menyediakan yang terbaik untuknya.

Awatif pula sudah lancar membaca doa makan, doa masuk tandas & keluar tandas, doa menaiki kenderaan serta doa tidur. Selain itu, menulis & melukis menjadi hobinya. Beri sahaja pen & kertas, Insya Allah Awatif akan terus tekun mengasah bakat. Sekarang, Awatif pandai menulis huruf A, T, M, O dan boleh melukis kartun orang lidi, pasu dalam bunga, layang-layang, dan bentuk-bentuk asas. Pemerhatiannya amat tajam. Awatif akan meminta kita melukiskan untuknya satu objek berkali-kali sehingalah dia sendiri berpuas hati dan dapat melukis sendiri objek tersebut sepertimana yang kita telah lukis, sebijik sama!

Dalam pada memerhatikan perkembangan-perkembangan anak- anak, kami sering terlepas pandang satu perkara yang sangat penting iaitu perkembangan emosi. Alkisahnya, pada suatu petang, Awatif meragam. Sekejap-sekejap dia menangis seolah-olah semua yang dibuat oleh Mama dan Baba serba tidak kena di matanya. Kami yang kepenatan kerana baru pulang dari kerja terus membahagikan tugas; Mama susukan Abeed dan siapkan dia untuk tidur, manakala Baba suapkan makanan untuk Awatif, mandikannya dan siapkan dirinya. Namun, perancangan ini nampaknya tidak menjadi kerana Awatif menangis-nangis mahukan Mama yang buatkan semuanya untuk dia. Yang pelikya, apabila Mama mahu ambil alih untuk mempersiapkannya, dia tetap menangis meraung-raung. Malu juga kalau raungannya itu didengari jiran, entah apa pula yang mereka sangkakan nanti. Hmm, mati kutu kami dibuatnya.

Usai memandikan Awatif, tangisannya masih juga belum reda. Pelbagai usaha dilakukan untuk memujuknya namun sia-sia. Tidak guna jika kita meninggikan suara ketika itu. Tidak tahu apa lagi yang patut dilakukan, Mama merangkul tubuh Awatif yang masih belum berbaju itu lantas mendudukkannya di ribaan. Dengan kuasa Allah, tidak semena-mena tangisannya berhenti. Allah, di saat itu juga air mata kami bergenang! Anak sulung kami ini sebenarnya mahukan dirinya diberi perhatian sepertimana adiknya mendapat layanan kami.

Si kecil ini mencari Mamanya yang dikenalinya dahulu..Mamanya yang sering membawanya ke mana sahaja, membelainya tidak kira masa, mengucupnya siang dan malam. Ampunkan kami Ya Tuhan kerana kami telah terlalai! Syukur Ya Allah, kerana menyedarkan kami!

"Sayang, sebenarnya dari tadi lagi Abang tengok Awatif nak Sayang layan dia", ucap Baba dalam nada yang sebak dan menyebabkan air mata Mama terus mengalir.

Maafkan Mama, ya sayang. Mama terlupa bahawa anak Mama ini sudah besar dan emosi anak Mama ini sedang berkembang dengan pesat serta perlu dibangunkan dengan penuh berhati-hati. Sungguh, Mama terlalu menyayangimu!


1 comment:

  1. Sayunyee...memg kadang2 kita terlupa nak pandang betul2 anak2 membaca maksud hati mereka kan..

    ReplyDelete