Bismillahi walhamdulillah,
Ramadhan Kareem...Allahu Akram!
Syukur ke hadrat Ilahi kerana sekali lagi mempertemukan kita dengan penghulu bulan yang sungguh mulia ini. Hari ini 7 Ramadhan. Bagaimana ibadah puasa kita pada kali ini? Harap-harapnya ada banyak peningkatan yang berlaku.
Hampir semua orang boleh menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun, jika sekadar itu matlamat puasa kita, ia tak ubah seperti kita sedang mengadakan mogok lapar. Na'uuzubillahi min zalik! Semoga ibadah puasa kita dapat menjadikan kita lebih bersifat kehambaan..hamba bertakwa yang mendambakan keredhaan Yang Maha Agung.
Bagaimana pula kita mendidik anak kecik kita tentang puasa?
Setiap ibu bapa ada cara yang tersendiri dalam mendidik anak-anak.
Pernah suatu ketika sewaktu semua orang sedang menghadap hidangan untuk berbuka puasa, puteri sulung kami bertanya, "Mama, puasa itu apa?" Terdiam kami seketika, memikirkan apakah susunan ayat yang sesuai untuk diungkapkan sebagai jawapan.
"Puasa tu, kita tak makan & tak minum pada waktu siang. Kalau orang azan Maghrib, dah masuk malam, baru kita boleh makan & minum. Kita buka puasa". Puteri kami yang berusia 3 tahun itu mengangguk-angguk mendengar penjelasan Mamanya. Entah faham, entahkan tidak.
Nak dijadikan cerita, keesokan harinya, sedang kami duduk bersantai di ruang keluarga, azan Zohor berkumandang. Sepantas kilat, Awatif menjerit, "Mama, dah azan! Mama dah boleh makan".
Oh, rupa-rupanya masih kurang kefahaman di situ!
"Ha'a, dah azan tapi masih siang lagi. Tu, kat luar masih terang! Mama belum boleh makan lagi, sayang". Awatif mengangguk lagi.
Senja berlabuh dan azan Maghrib dilaungkan melalui corong radio menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Saat itu juga menyaksikan satu kefahaman telah terbentuk pada diri anakanda kami.
"Mama, dah boleh makan! Dah gelap dah!", jeritnya dengan penuh teruja.
"Ya, Awatif. Jom, buka puasa sama-sama!", serentak kami mengajaknya.
Alhamdulillah. Semoga ia menjadi titik permulaan yang baik untuknya.
No comments:
Post a Comment