Thursday, May 26, 2011

Kembara Mei

Bismillahi walhamdulillah,

Setiap kali tibanya bulan Mei, ada beberapa peristiwa penting dalam hidup kami sekeluarga yang tidak harus terlupakan.

1) Hari Ibu (walaupun sebenarnya hari-hari hari ibu!)
2) Hari Ulangtahun Pernikahan Baba & Mama Awatif (15 Mei)
3) Hari Lahir Baba Awatif (19 Mei)

..15/5/2009 - 15/5/2011..
HAPPY ANNIVERSARY, DEAR!

Dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, Pemilik Segala Cinta, ikatan yang suci ini disimpul-Nya dengan penuh rapi. Alhamdulillah, 2 tahun sudah pun berlalu semenjak ikatan ini dimeteraikan. Melayari bahtera perkahwinan memang memerlukan kesabaran & toleransi yang tinggi, apatah lagi setelah dianugerahkan anak sebagai pengikat kasih antara Baba & Mama. Syukur, ya Allah kerana memilih kami untuk turut melaksanakan sunnah Nabi-Mu yang agung ini. Moga ikatan ini terus rapi hingga nyawa kami dijemput menghadap-Nya, entah bila waktunya, entah di mana tempatnya.

Di awal pernikahan dahulu, kami berdua pernah membuat resolusi untuk pergi bercuti bersama-sama sekurang-kurangnya dua kali setahun. Jadi, bersempena dengan bulan yang istimewa ini, kami bersepakat untuk merealisasikannya. Cuti rehat diambil selama beberapa hari untuk berlibur yang pada kali ini pastinya lebih meriah lagi dengan kehadiran si kecil Nidaaul Awatif yang sudah pun pandai bertatih. Hasilnya, terciptalah satu percutian yang amat bermakna bagi kami sekeluarga!

29 April - 1 Mei: Di Bukit Kluang, Besut, kami menghadirkan diri bagi tujuan menyertai Konvensyen Kebangsaan PAPISMA & dalam masa yang sama bersantai bersama ahli keluarga tersayang dan juga sahabat-sahabat seperjuangan yang semuanya berkerjaya & hampir semuanya sudah pun berkeluarga.


Kembara diteruskan lagi...



2 - 3 Mei: Kedinginan Cameron Highland menggamit kedatangan kami ke sana! Meskipun hujan mengiringi sebahagian daripada langkah kami, kami tetap berasa puas kerana dapat meluangkan masa bersama-sama. Yang paling seronok adalah Awatif. Mana taknya, hampir seminggu berkepit dengan Baba & Mama. Natijahnya, Awatif meragam & menangis-nangis tatkala Baba & Mama meninggalkannya untuk ke tempat kerja.. Alahai, sayang Awatif! Mungkin inilah penangan:

YOUR PRESENCE IS BETTER THAN YOUR PRESENT!

Selain daripada mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan, di antara hikmah kembara yang lain ialah bertambahnya perbendaharaan kata Awatif. Contohnya, daripada tidak pernah tahu apa itu 'strawberi', sekarang ini Awatif sudah pun mengenali strawberi kerana semenjak pulang dari kembara ini, strawberi mula mengisi hidupnya.

...bantal strawberi...
...baju strawberi...
...stokin strawberi...
...tuala strawberi...
...topi strawberi...

Marilah kita belajar daripada alam ciptaan Tuhan!
Moga-moga dengan itu, kita akan lebih mengenali DIA Yang Maha Mencipta..

Tuesday, May 10, 2011

Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 4 - MITOS vs. FAKTA

Bismillahi walhamdulillah,

Bagi menyambung semula perkongsian tentang penyusuan susu ibu, bahagian keempat ini akan dimuatkan dengan berapa perkara penting yang harus diambil berat oleh setiap ibu bapa untuk menjayakan penyusuan susu ibu.

MITOS (M) vs. FAKTA (F):

M: Semasa berpantang, jangan minum banyak air, makan buah atau sayur. Kalau tak, peranakan berair & lambat kecut

F: Badan seorang ibu memerlukan air & vitamin serta mineral yang banyak untuk membantu proses penghasilan susu ibu & memulihkan fizikal selepas bersalin. Jika kurang minum air, sudah pasti susu yang dihasilkan adalah sedikit. Semakin banyak anak menyusu, semakin cepatlah pengecutan rahim berlaku kerana semasa menyusulah hormon yang diperlukan untuk pengecutan rahim dirembeskan .


M: Tak nak menyusukan anak kerana ingin menjaga bentuk badan

F: Menyusukan anak secara eksklusif sangat membantu mengembalikan semua bentuk badan ibu menjadi lebih langsing kerana kalori dan zat-zat penting untuk mengasilkan susu akan diambil daripada makanan yang dimakan oleh ibu. Oleh itu, bagi mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan, ibu-ibu dinasihatkan untuk makan makanan yang seimbang serta dalam kuantiti yang sederhana tetapi kerap.


M: Susu tak nak keluar. Kalau keluar pun terlalu sikit!

F: Usah panik! Stimulasi atau rangsangan adalah sangat penting dalam penghasilan susu ibu. Subhanallah, Allah telah menjadikan sesuatu yang sangat unik dalam hal ini! Sebenarnya, apabila bayi menyusu, payudara akan dikosongkan dan serta-merta otak akan menerima isyarat untuk merembeskan hormon oxcytocin untuk menghasilkan lebih banyak susu bagi menggantikan susu yang telah keluar & mengisi semula kekosongan yang ditinggalkan. Susukan bayi anda mengikut kehendaknya. Jika anda bekerja, jangan lupa untuk usahakan mengepam susu sekerap yang boleh supaya penghasilan susu tidak terjejas.

Selain daripada itu, keadaan mental ibu yang tidak stabil seperti berada dalam keadaan tertekan (stress) atau terlalu penat juga boleh merencatkan proses pengeluaran susu. Jalan keluarnya ialah: relax! Bertenanglah, wahai ibu! Maka, wahai ibu, tataplah wajah anakmu dengan penuh kasih sayang kerana apa yang kamu sedang lakukan ini adalah suatu pekerjaan yang sangat mulia! POSITIFKAN MINDAMU! Gantikan perkataan "susu saya sikit" kepada "SUSU SAYA BANYAK!" Insya Allah, dengan izin-Nya dan sokongan moral daripada si bapa, apa yang dirisaukan sebelum ini akan berakhir.


Alhamdulillah, berbekalkan tips - tips yang kami kongsikan di sini dan juga doa yang berterusan, Nidaaul Awatif yang kini berumur 13 bulan masih lagi meneruskan penyusuan susu ibu seperti biasa. Selamat meneruskan penyusuan susu ibu dan...

SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU!

Sesungguhnya, Allah mengurniakan gelaran IBU kepada anda kerana DIA ingin meninggikan darjat anda di sisi-Nya.

Justeru, berbahagialah wahai ibu-ibu yang beriman!