Tuesday, November 29, 2011

Great Big Hug

Bismillahi walhamdulillah,

Masih terngiang-ngiang di telinga kami sapaan Nidaaul Awatif sebaik sahaja dia bangkit dari tidurnya pada setiap pagi, "Mama, big hug.." Sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya, Awatif berpaling ke arah mamanya. Kemas & kejap dakapannya. Setelah dirasakan puas, barulah dileraikannya dakapan itu dan terus dia berpaling ke arah babanya pula.

"Baba, baba..big hug.." "Mmmuuuahh, Baba saaaayang Awatif!", respon Baba Awatif sambil mengucup dahi Awatif dengan penuh kasih sayang. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana menganugerahkan saat-saat yang cukup indah ini untuk kami nikmati!



Sebenarnya, frasa "big hug" itu dipelajarinya daripada lirik lagu rancangan Barney; I love you.

I love you, You love me, We are happy family, With a great big hug and a kiss from me to you, Won't you say you love me too?

I love you , You love me, We're best friends like friends should be, With a great big hug and a kiss from me to you, Won't you say you love me too?

Begitulah liriknya.. Jika dihayati, cukup mendalam sekali maksudnya dalam konteks membina keluarga bahagia.

1- Kasih sayang itu perlu diluahkan - sama ada melalui kata-kata mahupun perbuatan. Nabi Muhammad sendiri pernah menegur seorang sahabat yang mempunyai ramai anak namun tidak pernah mencium mereka. Sabda Baginda, mafhumnya: "Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi".

2- Anak sebagai kawan baik - walaupun secara realitinya anak itu jauh lebih muda daripada kita. Untuk menjadi kawan yang terbaik, ibu bapa harus terlebih dahulu menjadi pendengar yang baik. Dengarlah apa sahaja yang ingin diperkatakan oleh si kecil kita sekarang kerana kita pasti tidak akan mendengar perkara yang sama semula pada waktu akan datang.

Our Dear Nidaaul Awatif,
Indeed, Baba & Mama LOVE you with all our heart!

Sunday, October 23, 2011

Baiti Jannati

Bismillahi walhamdulillah,

Setelah sekian lama mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri, Alhamdulillah, Allah makbulkan jua impian kami ini. Terletak di tengah-tengah perjalanan antara rumah keluarga Baba Awatif & Mama Awatif, suasana kampung yang seakan tenang & kosnya yang mampu-milik menyebabkan kami tidak melepaskan peluang untuk cuba mendapatkannya. Alhamdulillah, setelah memohon petunjuk daripada Allah & mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak, rezeki berpihak kepada kami.

Pembinaan rumah yang bermula pada Mei yang lepas dijadualkan siap pada bulan Februari tahun hadapan. Moga-moga, ini merupakan satu permulaan yang baik buat kami sekeluarga..ameen ya rabb!

13/8/11, Kg. Seterpa, Kota Bharu



Thursday, August 25, 2011

Dia Sudah Mahu Pergi

Bismillahi walhamdulillah,

Ramadhan Kareem buat semua muslimin muslimat!

Haish, kenapa begitu lambat membuat ucapan? Sedarkah kamu bahawa Ramadhan sudah mahu pergi meninggalkan kita? Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dia akan bersama kita. Sebetulnya, ucapkanlah Selamat Hari Raya, bukankah begitu yang sewajarnya?

Ya Allah, begitu pantas masa berlalu! Apakah yang telah kita perolehi sepanjang menjalani hari-hari & malam-malam di bulan yang sangat diberkati ini?
  • -Sempurnakah puasa kita di siang hari? Atau kita sekadar mendapat lapar & dahaga?
  • -Solat kita bagaimanakah rupanya? Semoga ia tidak berupa kain buruk yang akan dilemparkan semula ke muka kita.
  • -Bacaan al-Quran yang kita alunkan, adakah sekadar menitir di bibir kita? Mohon pada Mu ya Allah, moga kebesaran ayat-ayat suciMu meresap masuk ke dalam lubuk hati kita yang paling dalam.
  • -Sedekah & zakat kita diterima Tuhankah? Harapnya, amal-amal ini tidaklah menjadi seperti debu-debu kering yang menempel di atas batu yang kemudiannya disapu bersih oleh air hujan yang menimpanya.
Wahai Tuhan kami, terimalah amalan-amalan kami ini!

Buat semua,
Selamat Menghidupkan Ramadhan! Moga Lailatul Qadar bakal kita ketemu
Rebutlah peluang yang masih bersisa sementara waktu masih ada kerana Ramadhan depan belum tentu dapat kita jumpa..



Sunday, July 17, 2011

Tiru Macam Saya

Bismillahi walhamdulillah,



Sedar tak sedar, bulan Sya'aban semakin menghampiri penghujungnya & Ramadhan, penghulu segala bulan semakin menggamit kehadirannya. Semoga kita semua sampai kepada Ramadhan tahun ini & diizinkan Allah untuk terus beribadah kepadaNya..ameen!


Ramadhan pada tahun ini dijangkakan akan lebih meriah buat kami sekeluarga dengan kehadiran Nidaaul Awatif yang pantas membesar. Alhamdulillah, sudah 1 tahun 3 bulan umurnya. Proses pembelajarannya semakin maju sebaik sahaja menginjak ke usia satu tahun. Setiap perlakuan orang di sekelilingnya pasti akan cuba ditiru satu persatu.

Apabila Mama & Baba solat, Awatif akan turut mengangkat takbir, ruku' dan sujud sambil mulut terkumat-kamit seolah-olah turut melafazkan bacaan-bacaan dalam solat.


Apabila kami berdua mengaji Al-Quran, Awatif akan sibuk membelek helaian demi helaian kitab suci tersebut sambil menadah tangan. Awatif memang selalu begitu. Pantang terdengar kalimah-kalimah Bahasa Arab, samada bacaan ayat Al-Quran, hadith, doa atau zikir, dan seruan azan, pasti Awatif akan mengangkat kedua-dua belah tangannya & meraup muka untuk mengaminkan bacaan-bacaan tadi sejurus selepas bacaan tamat . Sungguh comel!


Sering juga kami berpesan kepada insan-insan dewasa di sekelilingnya supaya cuba beradab sopan di depan Awatif. Bukan apa, minda si kecil ini sungguh mudah menyerap & meniru benda-benda baru. Kalau ada yang bercakap dengan suara yang kuat & menjerit-jerit, Awatif akan turut sama riuh bertempik. Jika ada yang membalingkan barang, Awatif akan turut melontarkan barang yang ada di tangannya pada saat itu juga. Itu belum masuk bab berkata-kata lagi! Moga Allah sediakan 'penapis yang paling ampuh' di minda puteri kami ini agar dia mampu memilih yang baik-baik sahaja untuk diamalkan.


Memang tidak mudah untuk membentuk akhlak dan peribadi anak apatah lagi jika suasana di sekelingnya tidak begitu membantu dalam merealisasikan aspirasi dan impian kita. Umpama adunan yang kita bentuk, pasti akan turut sama menyerap pewarna & perasa yang ditaburkan ke atasnya sama ada secara sengaja atau tidak. Mudah-mudahan, hanya pewarna dan perasa yang elok-elok sahaja diserap dan adunan tadi dapat mengembang dengan baik. Bukan sekadar sejuk mata memandang, bahkan kuih yang terhasil itu berkhasiat dan memberi kebaikan untuk semua.


Justeru, wahai ibu dan ayah..


Peliharalah akhlakmu kerana anak-anakmu itu akan meniru kamu


Baik ajaranmu, Insya Allah baik jugalah tingkah-laku anak-anakmu


Binalah bi'ah solehah untuk melingkungi kehidupan mereka


Agar nanti, mereka mempu menjadi pemimpin bagi orang-orang bertaqwa..




Ameen ya Rabb!

Monday, July 4, 2011

Travelog Mama



PAGI 27/6/11:

Awatif masih nyenyak tidur di atas katil sementara aku yang dalam keadaan keterpaksaan sedang sibuk bersiap-siap utk meninggalkannya selama 3 hari 2 malam. Ya, "SAYA YANG MENURUT PERINTAH" wajib menghadiri Bengkel Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) di Tasik Kenyir,Terengganu.

Semasa bujang dulu, tentu sekali inilah peluang yang sangat dinanti-nantikan untuk berlibur. Tapi, itu dulu. Dulu lain, sekarang lain. Dulu solo, sekarang dah bertiga. Apabila biasa berjemaah, melakukan urusan secara fardi terasa amat janggal sekali. Kali terakhir kami sekeluarga berjauhan ialah sewaktu Awatif berusia 6 bulan, juga kerana menghadiri kursus. Lagi jauh jarak & tempoh peninggalannya, nun di Johor Bharu sana selama hampir seminggu. Setiap malam asyik berendam air mata kerana rindukan anak & suami. Hati menjadi lebih sayu apabila terpaksa membuang air susu perahan ke dalam sinki begitu sahaja kerana ketiadaan peti ais untuk penstoran.

"Sayang,kejutkan sajalah Awatif tu", saran suamiku yang turut sama mempersiapkan diri untuk ke pejabat.

"Lena sungguh anak kita tidur, kan abang? Tak sampai hati pulak nak bangunkan dia", ujarku sambil menahan rasa hiba di hati.

Ingin ku tatap wajah suci ini sepuas-puasnya, buat menjadi pengubat rindu di kala berpergian nanti. Saat air hangat hampir melipah dari tubir mata, aku segera memalingkan muka ke arah suami tercinta. Rasa hati bercampur baur. Sungguh berat hati ini untuk meninggalkan insan-insan kesayanganku ini walau seketika cuma. Ya Allah, kuatkanlah semangat kami, betulkanlah niat kami, dan permudahkanlah urusan kami! Masa terus bergerak ke hadapan dan aku harus bertolak dengan segera.

Aku mendekati si kecilku, lantas mengucup ubun-ubunnya. Ciuman kasihku ditumpahkan pula ke kedua-dua belah pipi comelnya, dan terus menjalar ke tangan halu dan jari-jari mulusnya.

"Nidaaul Awatif, bangun sayang..", dalam nada berbisik aku memanggil namanya. Tiada respon. "Awatif, anak mama.." Jarinya bergerak-gerak perlahan, diikuti dengan senyuman manis terukir di bibir merahnya walau mata masih terpejam. Sejurus kemudian, dengan senyuman yang masih tidak lekang dari wajah, tangannya menggapaiku minta diangkat & didukung. Subhanallah! Inilah antara nikmat-nikmat teragung yang aku nikmati sepanjang aku menyandang gelaran 'Mama'.

Ya Allah, peliharalah diriku & ahli keluargaku daripada azab api neraka!

Thursday, May 26, 2011

Kembara Mei

Bismillahi walhamdulillah,

Setiap kali tibanya bulan Mei, ada beberapa peristiwa penting dalam hidup kami sekeluarga yang tidak harus terlupakan.

1) Hari Ibu (walaupun sebenarnya hari-hari hari ibu!)
2) Hari Ulangtahun Pernikahan Baba & Mama Awatif (15 Mei)
3) Hari Lahir Baba Awatif (19 Mei)

..15/5/2009 - 15/5/2011..
HAPPY ANNIVERSARY, DEAR!

Dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, Pemilik Segala Cinta, ikatan yang suci ini disimpul-Nya dengan penuh rapi. Alhamdulillah, 2 tahun sudah pun berlalu semenjak ikatan ini dimeteraikan. Melayari bahtera perkahwinan memang memerlukan kesabaran & toleransi yang tinggi, apatah lagi setelah dianugerahkan anak sebagai pengikat kasih antara Baba & Mama. Syukur, ya Allah kerana memilih kami untuk turut melaksanakan sunnah Nabi-Mu yang agung ini. Moga ikatan ini terus rapi hingga nyawa kami dijemput menghadap-Nya, entah bila waktunya, entah di mana tempatnya.

Di awal pernikahan dahulu, kami berdua pernah membuat resolusi untuk pergi bercuti bersama-sama sekurang-kurangnya dua kali setahun. Jadi, bersempena dengan bulan yang istimewa ini, kami bersepakat untuk merealisasikannya. Cuti rehat diambil selama beberapa hari untuk berlibur yang pada kali ini pastinya lebih meriah lagi dengan kehadiran si kecil Nidaaul Awatif yang sudah pun pandai bertatih. Hasilnya, terciptalah satu percutian yang amat bermakna bagi kami sekeluarga!

29 April - 1 Mei: Di Bukit Kluang, Besut, kami menghadirkan diri bagi tujuan menyertai Konvensyen Kebangsaan PAPISMA & dalam masa yang sama bersantai bersama ahli keluarga tersayang dan juga sahabat-sahabat seperjuangan yang semuanya berkerjaya & hampir semuanya sudah pun berkeluarga.


Kembara diteruskan lagi...



2 - 3 Mei: Kedinginan Cameron Highland menggamit kedatangan kami ke sana! Meskipun hujan mengiringi sebahagian daripada langkah kami, kami tetap berasa puas kerana dapat meluangkan masa bersama-sama. Yang paling seronok adalah Awatif. Mana taknya, hampir seminggu berkepit dengan Baba & Mama. Natijahnya, Awatif meragam & menangis-nangis tatkala Baba & Mama meninggalkannya untuk ke tempat kerja.. Alahai, sayang Awatif! Mungkin inilah penangan:

YOUR PRESENCE IS BETTER THAN YOUR PRESENT!

Selain daripada mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan, di antara hikmah kembara yang lain ialah bertambahnya perbendaharaan kata Awatif. Contohnya, daripada tidak pernah tahu apa itu 'strawberi', sekarang ini Awatif sudah pun mengenali strawberi kerana semenjak pulang dari kembara ini, strawberi mula mengisi hidupnya.

...bantal strawberi...
...baju strawberi...
...stokin strawberi...
...tuala strawberi...
...topi strawberi...

Marilah kita belajar daripada alam ciptaan Tuhan!
Moga-moga dengan itu, kita akan lebih mengenali DIA Yang Maha Mencipta..

Tuesday, May 10, 2011

Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 4 - MITOS vs. FAKTA

Bismillahi walhamdulillah,

Bagi menyambung semula perkongsian tentang penyusuan susu ibu, bahagian keempat ini akan dimuatkan dengan berapa perkara penting yang harus diambil berat oleh setiap ibu bapa untuk menjayakan penyusuan susu ibu.

MITOS (M) vs. FAKTA (F):

M: Semasa berpantang, jangan minum banyak air, makan buah atau sayur. Kalau tak, peranakan berair & lambat kecut

F: Badan seorang ibu memerlukan air & vitamin serta mineral yang banyak untuk membantu proses penghasilan susu ibu & memulihkan fizikal selepas bersalin. Jika kurang minum air, sudah pasti susu yang dihasilkan adalah sedikit. Semakin banyak anak menyusu, semakin cepatlah pengecutan rahim berlaku kerana semasa menyusulah hormon yang diperlukan untuk pengecutan rahim dirembeskan .


M: Tak nak menyusukan anak kerana ingin menjaga bentuk badan

F: Menyusukan anak secara eksklusif sangat membantu mengembalikan semua bentuk badan ibu menjadi lebih langsing kerana kalori dan zat-zat penting untuk mengasilkan susu akan diambil daripada makanan yang dimakan oleh ibu. Oleh itu, bagi mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan, ibu-ibu dinasihatkan untuk makan makanan yang seimbang serta dalam kuantiti yang sederhana tetapi kerap.


M: Susu tak nak keluar. Kalau keluar pun terlalu sikit!

F: Usah panik! Stimulasi atau rangsangan adalah sangat penting dalam penghasilan susu ibu. Subhanallah, Allah telah menjadikan sesuatu yang sangat unik dalam hal ini! Sebenarnya, apabila bayi menyusu, payudara akan dikosongkan dan serta-merta otak akan menerima isyarat untuk merembeskan hormon oxcytocin untuk menghasilkan lebih banyak susu bagi menggantikan susu yang telah keluar & mengisi semula kekosongan yang ditinggalkan. Susukan bayi anda mengikut kehendaknya. Jika anda bekerja, jangan lupa untuk usahakan mengepam susu sekerap yang boleh supaya penghasilan susu tidak terjejas.

Selain daripada itu, keadaan mental ibu yang tidak stabil seperti berada dalam keadaan tertekan (stress) atau terlalu penat juga boleh merencatkan proses pengeluaran susu. Jalan keluarnya ialah: relax! Bertenanglah, wahai ibu! Maka, wahai ibu, tataplah wajah anakmu dengan penuh kasih sayang kerana apa yang kamu sedang lakukan ini adalah suatu pekerjaan yang sangat mulia! POSITIFKAN MINDAMU! Gantikan perkataan "susu saya sikit" kepada "SUSU SAYA BANYAK!" Insya Allah, dengan izin-Nya dan sokongan moral daripada si bapa, apa yang dirisaukan sebelum ini akan berakhir.


Alhamdulillah, berbekalkan tips - tips yang kami kongsikan di sini dan juga doa yang berterusan, Nidaaul Awatif yang kini berumur 13 bulan masih lagi meneruskan penyusuan susu ibu seperti biasa. Selamat meneruskan penyusuan susu ibu dan...

SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU!

Sesungguhnya, Allah mengurniakan gelaran IBU kepada anda kerana DIA ingin meninggikan darjat anda di sisi-Nya.

Justeru, berbahagialah wahai ibu-ibu yang beriman!