Monday, October 13, 2014

Jiwa Pahlawan

Bismillahi walhamdulillah,

Selamat bertemu kembali! Pernah dengar kan orang kata, kalau kita tengah sedih atau rasa tak bersemangat, kenangkan semula kejayaan-kejayaan yang pernah kita lalui. Tipulah kalau kamu kata kamu tak pernah berjaya.

Sekurang-kurangnya, di masa kita kecil, kita sudah banyak kali berjaya. Daripada hanya terlentang, dengan izin Allah, kita berjaya mengiring. Kemudian, dengan susah payah kita berusaha pula untuk meniarap. Orang pertama yang bertepuk tangan atas kejayaan kita itu tentulah ibu kita! Kita tak senang dengan hanya meniarap. Maka, kita berusaha lagi untuk mengensot. Cuci lantai rumah ibu sebab kita rajin 'mengemop'.


Adakah kita berhenti di situ? Setakat mengensot? Sudah tentu tidak. Kali ini kita berusaha pula untuk duduk & merangkak. Habis semua ceruk rumah kita jelajah walaupun dengan hanya merangkak. Apabila kita sudah berjaya berdiri & berjalan, semua orang bertepuk tangan, bersorak dengan gembira. Kita tersenyum bangga. Sorakan itu suatu penghargaan buat kita. Kita turut tersenyum, lantas menjadi lebih bersemangat untuk mengulangi kejayaan. Kita berusaha lagi, kuatkan kaki, melangkah laju & kemudiannya berlari. Si ibu mengalirkan air mata sambil berkata dalam hati, "Oh, anak kecilku sudah besar!"

Sebelum kita berjaya melakukan sesuatu skil baru, tidak pernahkah kita gagal? Tidak pernahkah kita jatuh tergolek lalu berdarah? Tidak pernahkah kita rasa apa itu sakit & bagaimanakah rasanya air mata itu, tawarkah atau masinkah? Pernah, bukan? Tapi mengapa kita tidak menyerah kalah? Kerana kita ada Allah & Allah telah beri kudrat kepada kita untuk terus berusaha. Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah dengan asbab usaha kita. Manakan mampu kita berlari jika kita memilih untuk sekadar duduk diam di dalam walker.

Besar atau kecil sesuatu kejayaan itu bukan menjadi ukuran. Apa yang penting, ianya bernama kejayaan. Dapat bangun pagi untuk ke sekolah itu suatu kejayaan. Dapat menghasilkan sebiji kek coklat juga satu kejayaan. Mata kail 'tersangkut' pada mulut ikan besar juga merupakan kejayaan. Pendek kata, apa sahaja yang kita dapat setelah bersusah payah untuknya layak dinamakan sebagai KEJAYAAN.

Justeru, sekarang, ketika semangat kita tiba-tiba pudar, di saat kita seolah-olah berputus harap, kenangkan kembali saat-saat manis sewaktu kita menempa kejayaan. Ingat semula, betapa lebarnya senyuman kita. Betapa girangnya ibu bapa & orang di sekeliling kita.


Ya, kita semua layak untuk berjaya!
Berjaya di dunia & berjaya di akhirat!
Ameen ya Rabb..

No comments:

Post a Comment