Tuesday, August 12, 2014

Amanah Bertambah


Bismillahi walhamdulillah, 

Sudah lebih setengah tahun blog ini terabai..astaghfirullahal 'azeem. Maafkan kami atas kekhilafan ini. In sha Allah, blog ini akan kembali aktif selepas ini bersama hadirnya seorang lagi ahli baru dalam teratak Permata Mustofain. 

NISREEN AISYAH BINTI MOHD AZREEN nama diberi..


Alhamdulillah, lahirnya ke dunia pada jam 1.05 pagi, tanggal 9 Syawal 1435H bersamaan 5 Ogos 2014, hampir seminggu lewat daripada estimated due date (EDD). Puas sudah mama pergi beraya & kenduri di sana sini, si kecil tak mahu juga keluar menjengah ke dunia. Sudahnya, mama terpaksa "menyerahkan diri" di hospital pada 4 Ogos walaupun kontraksi bersalin masih belum betul-betul terasa. Baba dengan rela hati mengambil emergency leave (EL) semata-mata mahu menguruskan mama.

Disebabkan overdue, kami bersepakat untuk memilih HUSM sebagai hospital tempat bersalin. Dalam hati, tak putus-putus berdoa agar tidak di"induce", hanya staf perempuan yang akan mengendalikan mama & semua urusan dimudahkan Allah. Mama diarahkan untuk check-in di Wad 2 Baiduri (antenatal) sementara menunggu untuk bersalin.

Peluang berehat di dalam wad mama gunakan untuk membaca buku, mengaji, berzikir & bersosial dengan ibu-ibu lain yang rata-ratanya melalui kehamilan berisiko disebabkan oleh penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi & jantung. Alhamdulillah, mama sangat-sangat bersyukur kerana melalui kehamilan yang sihat.

Dikhabarkan bahawa labor room & postnatal ward penuh pada hari tersebut. Jadi, mama mohon daripada doktor yang memeriksa mama untuk balik berehat di rumah sahaja sementara menunggu tanda-tanda bersalin muncul. Permintaan mama ditolak lantaran "jalan" sudah pun terbuka 3 cm meskipun mama masih belum terasa sakit. Mama dinasihatkan untuk banyakkan berjalan-jalan dalam wad supaya cepat bersalin. Maka, mulalah mama mengukur inci setiap ruang dalam wad tersebut. 

Mujur juga mama dikurniakan kesempatan untuk berehat dalam antenatal ward ini. Sekurang-kurangnya mama dapat melaksanakan solat-solat sunat mengiringi setiap solat fardhu. Kalau di rumah, belum tentu mama akan buat. Yang paling menarik, jururawat di sini datang memberikan penerangan tentang penyusuan susu ibu di katil mama..dia bukan jururawat biasa, tapi ketua jururawat dalam wad ini. Memang terbaiklah, sesuai sangat dengan gelaran Hospital Rakan Bayi!

Setelah sekian lama menanti, akhirnya sakit kontraksi datang selang 10 minit selepas mama selesai menunaikan solat Isyak. Mama memaklumkan kondisi mama kepada jururawat yang bertugas. Namun, mama diarahkan untuk teruskan berehat di katil dahulu & hanya akan dibawa masuk ke labor room jika sakit kontraksi datang selang 5 minit disebabkan tiada katil kosong di sana.

Pada jam 11.15 malam, mama dibawa masuk ke labor room. Berdasarkan graf CTG, kata tuan doktor, belum ada kontraksi yang kuat & jalan masih 5 cm walaupun labor pain sudah terasa begitu perit sakitnya. Mama mohon untuk dikendalikan oleh doktor perempuan tapi kata tuan doktor house-officer (HO) ini, semua doktor perempuan masuk dewan bedah. Allahu..mama pasrah!

"Doktor, boleh panggil suami saya masuk?", mama memohon sambil menahan sakit. 

"Sekejap lagi, bila kita dah pecahkan air ketuban, kita benarkan suami puan masuk", ujarnya. 

Doa & zikir dilafazkan tanpa henti..
Hanya Allah tempat memohon segala sesuatu..
Mohon diampunkan segala dosa dengan ujian kesakitan ini..
Mohon juga agar proses kelahiran dipercepatkanNya..

Lebih kurang pada jam 12.15 pagi, air ketuban dipecahkan & setelah itu baba dibenarkan masuk. Dapat berpaut pada tangan baba pun sudah sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesakitan yang dialami. Apatah lagi tatkala mendengar ayat-ayat surah Maryam yang dibaca oleh baba, semangat mama menjadi semakin kuat. Usai wayar CTG dicabut, mama terus mengiring ke kiri & meminta baba mengurut pinggang mama. Tak sampai 5 minit urutan, doktor mengarahkan baba keluar & dibenarkan masuk semula jika tiba masa untuk "push". Oh, tidak! Kenapa perlu keluar di saat ini?

Tak sempat baba keluar, mama sudah terasa untuk meneran. Mama pegang kuat-kuat tangan baba & minta baba maklumkan kepada doktor tentang keadaan mama. Tuan doktor seakan tidak percaya kerana belum pun sampai sejam sejak air ketuban dipecahkan, takkan sudah mahu bersalin?

"Sekejap ya, saya cek jalan. Puan jangan teran dulu", pesan tuan doktor. 

Akhirnya, tak sampai 5 minit selepas itu, setelah sekuat tenaga difokuskan untuk push, terdengarlah tangisan zuriat kami yang ketiga ini. Si kecil yang diazankan & diiqamahkan oleh babanya ini terus diletakkan ke atas dada mama yang masih keletihan.

Subhanallah!
Alhamdulillah!
Allahu akbar!

Maka, bertambahlah amanah Allah ke atas kami.
Semoga setiap derap langkah dalam kehidupan kami diberkati & diredhaiNya. Ameen, ameen ya Rabb!

1 comment: