Wednesday, December 12, 2012

Span

Bismillahi walhamdulillah,

Anda tahu apakah itu span? Dalam bahasa Inggeris, span disebut sebagai "sponge". Sifat utama span ialah dapat menyerap cecair dengan sangat efisyen. Bukan sekadar itu, apabila span yang dipenuhi air ditekan, maka span  tersebut akan mengeluarkan isipadu air yang diserapnya tadi dengan begitu baik. Hampir semua yang diserap akan keluar.

Berikut diceritakan beberapa situasi sebenar yang ada kaitannya dengan tajuk pada kali ini.

SITUASI #1:

Setahun yang lalu..
Si kecil Awatif sedang menangis mungkin kerana kebosanan, manakala Mama sedang sibuk memasak di dapur. Selesai menutup api dapur, Mama bergegas mendapatkan Awatif.

Mama: Sshh, Awatif..bakpo, sayang? Mama ado ni, jange jerit..nanti Mama bagi susu deh..
Awatif: Mammaaa..

SITUASI #2:

Kini..
Awatif sedang ralit bermain, si kecil Abeed pula sedang menangis mungkin kerana kebosanan, manakala Mama sedang sibuk memasak di dapur. Selesai menutup api, Mama bergegas mendapatkan Abeed. Dari jauh, kedengaran di cuping telinga Mama si kakak bercakap dengan si adik.. 

Awatif: Sshh, Abeed..bakpo, Abeed? Mama ado, jange jerit..nanti Mama bagi susu deh..
Abeed: Mammaaa..
Mama: Ye, sayang..Mama ado ni..(sambil tersenyum)

SITUASI #3:

Selepas satu, satu Awatif mengeluarkan barang permainan daripada bakul khas yang menyimpan barang-barang tersebut. Setelah puas bermain, ditinggalkannya barang-barang tersebut berselerakan di ruang tamu. 

Mama: Apo Awatif ni..kubey sokmo! Ish, ish ish..letak barey meyney ni dale bakul semula..(sambil mata dibesarkan).

SITUASI #4:

Sewaktu Mama memandikan Abeed di dalam bilik mandi, tanpa disedari, tangan Abeed mencapai sebuah bekas berisi berus-berus gigi yang berada di atas sinki. Bekas tersebut terbalik, lalu menumpahkan semua berus gigi ke atas lantai hingga membuatkan Awatif yang sedang mencuci tangan terkejut.

Awatif: Apo Abeed ni..kubey sokmo! Ish, ish, ish..letak berus gigi ni dale bekas semula..(sambil mata dibesarkan).

Kesimpulannya..

Anak-anak ibarat span. Bak kata Prof. Dr. Muhaya Hj. Muhamad dalam bukunya 'Celik Mata dan Jiwa':
"Perkembangan usia kanak-kanak 0-6 tahun - Mereka seperti span, ikut sahaja apa yang mereka lihat. Oleh itu pada peringkat usia sebegini para ibu bapa perlu menerapkan perkara-perkara yang baik sahaja. Seperti terapkan dengan mendengar al-Quran, menonton televisyen yang berunsurkan kebaikan dan sebagainya".

Anak-anak ini akan meniru apa sahaja yang dibuat dan dituturkan ibu bapa. Jika kita selalu bercakap dengan nada marah-marah, dia akan belajar untuk marah-marah. Jika kita ajarkannya membaca doa setiap kali melakukan sesuatu dan kita sendiri berbuat demikian, maka mulutnya akan lancar memanjatkan doa tanpa perlu disuruh-suruh. 

Semoga kita semua menyedari akan hakikat ini & bersedia untuk menjadi contoh tauladan yang terbaik buat zuriat-zuriat kita. Bersedia untuk berubah ke arah yang lebih baik!