Thursday, April 12, 2012

2 Tahun

Bismillahi walhamdulillah,

6/4/10 - 6/4/12
Diam tak diam, Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen kini telah pun berusia 2 tahun. Meski jerih perih sewaktu melahirkannya masih tersemat kukuh di ingatan, kehadirannya dalam hidup kami terus menambahkan kebahagiaan..syukur, Ya Allah!

Tatkala kami suami isteri merancang untuk mengadakan sedikit sambutan hari lahir buat Awatif, Baba Awatif terpaksa pula berkejar ke Gua Musang kerana urusan kerja. Jadi, terpaksalah ikut plan B - tunda jamuan makan-makan sesama anak-beranak & jiran-jiran terdekat ke keesokan harinya.

Mujur Baba Awatif pulang awal dari out-station. Dapat jugalah kami anak-beranak outing bertiga. Kali ini Restoran Arabesque di Lundang menjadi sasaran. Bukan tak boleh makan malam di rumah, tapi sekadar mencari satu kelainan untuk lebih santai dan menggembirakan hati si anak kecil. Ya, Awatif cukup gembira lebih-lebih lagi apabila aiskrim dihidangkan di hadapan mata. Habis comot si empunya badan, dari atas sampai ke bawah. Sekali-sekala, apa salahnya kan?

Majlis makan-makan pada keesokan harinya lebih mencabar buat kami. Menu yang dirancang termasuklah pulut lemak manis (the birthday-girl's favorite food!) beserta telur, makaroni sup, puding roti, salad buah, kek Pavlova (ditempah khas) & air oren. Pagi-pagi lagi kami bertungkus lumus di dapur sehingga sampai pada satu tahap, Mama Awatif yang berbadan dua terasa macam nak pitam dek berdiri terlalu lama. Nasib baik ada Baba & Tok Ma yang sangat banyak membantu. Alhamdulillah, berjalan lancar juga majlisnya walaupun secara kecil-kecilan. Yang penting, semua orang gembira terutamanya puteri kami yang diraikan ini.. Alhamdulillah!

Buat Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen;
Jadilah anak solehah, penyejuk mata Baba & Mama
Moga-moga anakanda diredhai Allah selalu di dunia mahupun di akhirat sana
Ameen, Ya Rabb!