Tuesday, March 26, 2013

Maju Ke Hadapan

Bismillahi walhamdulillah,

Dengan izin Allah, setelah sekian lama menanti, akhirnya putera kami Muhammad Abeed berjaya mengorak langkah maju ke hadapan pada usia menginjak 11 bulan. Tingkah lakunya sekarang amat ligat, tak menang tangan kami menguruskan Abeed yang semakin aktif. Kami paling seronok apabila melihat Awatif & Abeed berinteraksi bersama-sama. Bermain atau bergelut, kedua-dua kondisi ini sangat menyenangkan hati kerana itu petanda skil sosial mereka berkembang dengan baik. Semoga kedua-duanya sentiasa menjadi penyejuk mata, penawar hati buat semua. Ameen.



Saturday, March 16, 2013

Guru Mesti Sabar

Bismillahi walhamdulillah,

Setelah lebih dua bulan tidak dikemaskini, Alhamdulillah, hari ini dapat juga mencoret sepatah dua kata. Terlalu banyak peristiwa yang berlaku seiring pantasnya masa berlalu. Yang paling memberi impak kepada kami ialah kesediaan anak sulung kami, Nidaaul Awatif untuk belajar mengaji secara formal.

Alkisahnya, kami sudah lama membelikan set buku "Iqra" untuk diajarkan kepada anak kami ini. Sejak hari pertama memperkenalkannya dengan buku ini, dia hanya mampu bertahan tak lebih daripada 2-3 minit untuk belajar mengaji. Bermain juga yang dikejarnya. Kami sudah sedia maklum bahawa anak kecil sepertinya hanya mampu memberikan tumpuan kepada buku untuk tempoh yang singkat, tapi tak sangka sebegitu singkat!

Bersabar dan terus bersabar..itulah sahaja jawapannya. Bak kata Mei Mei dalam cerita Upin & Ipin yang bertajuk "Bila besar nanti" tatkala menceritakan cita-citanya:

Upin: Cikgu, seronok ke jadi guru?
Mei Mei: Mestilah..saya mau ajar orang jadi pandai..macam saya!
Fizi: Kalau tak pandai, macam mana?
Jarjit: Kena marahlah..
Mei Mei: Tak boleh! Jadi guru kena sabar maa..ajar sampai pandai..


Berkat kesabaran, dari 2-3 minit sehari itulah Awatif berjaya mengenal A, Ba, Ta. Kami juga mendapati Awatif lebih berdisiplin apabila bergurukan Baba. Kalau dengan Mama, banyak pula ragamnya. Berkat kesabaran & konsistensi 'guru' serta 'anak murid', Alhamdulillah sekarang sudah menampakkan kemajuan, antaranya:
1) Boleh bertahan sehingga habis mengaji satu muka surat
2) Sudah boleh mengenal 'Ha'

Kami sedaya upaya memperuntukkan waktu selepas solat Maghrib setiap hari untuk mengaji Al-Quran. Itulah waktu yang paling sibuk buat kami terutamanya si kecil Muhammad Abeed yang turut sama berebutkan buku Iqra' Awatif. Slot mengaji & mengajar Al-Quran ini akan terganggu jika ahli-ahli rumah berada dalam keadaan tidak bersedia iaitu kelaparan & kerimasan. Jadi, perut semua ahli rumah perlu diisi dengan makanan jasmani sebelum Maghrib. Begitujuga dengan batang tubuh, harus dibersihkan sebelum azan berkumandang. Dengan berkurangnya gangguan kelaparan & kerimasan, barulah makanan rohani bisa disuapkan. Semoga rutin ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

p/s: Semua pengunjung dijemput ke blog kedua kami iaitu superparentschoice.blogspot.com yang baru sahaja dibangunkan. Terima kasih.