"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa"
Sunday, October 23, 2011
Baiti Jannati
Thursday, August 25, 2011
Dia Sudah Mahu Pergi
- -Sempurnakah puasa kita di siang hari? Atau kita sekadar mendapat lapar & dahaga?
- -Solat kita bagaimanakah rupanya? Semoga ia tidak berupa kain buruk yang akan dilemparkan semula ke muka kita.
- -Bacaan al-Quran yang kita alunkan, adakah sekadar menitir di bibir kita? Mohon pada Mu ya Allah, moga kebesaran ayat-ayat suciMu meresap masuk ke dalam lubuk hati kita yang paling dalam.
- -Sedekah & zakat kita diterima Tuhankah? Harapnya, amal-amal ini tidaklah menjadi seperti debu-debu kering yang menempel di atas batu yang kemudiannya disapu bersih oleh air hujan yang menimpanya.
Sunday, July 17, 2011
Tiru Macam Saya
Monday, July 4, 2011
Travelog Mama


PAGI 27/6/11:
Awatif masih nyenyak tidur di atas katil sementara aku yang dalam keadaan keterpaksaan sedang sibuk bersiap-siap utk meninggalkannya selama 3 hari 2 malam. Ya, "SAYA YANG MENURUT PERINTAH" wajib menghadiri Bengkel Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) di Tasik Kenyir,Terengganu.
Semasa bujang dulu, tentu sekali inilah peluang yang sangat dinanti-nantikan untuk berlibur. Tapi, itu dulu. Dulu lain, sekarang lain. Dulu solo, sekarang dah bertiga. Apabila biasa berjemaah, melakukan urusan secara fardi terasa amat janggal sekali. Kali terakhir kami sekeluarga berjauhan ialah sewaktu Awatif berusia 6 bulan, juga kerana menghadiri kursus. Lagi jauh jarak & tempoh peninggalannya, nun di Johor Bharu sana selama hampir seminggu. Setiap malam asyik berendam air mata kerana rindukan anak & suami. Hati menjadi lebih sayu apabila terpaksa membuang air susu perahan ke dalam sinki begitu sahaja kerana ketiadaan peti ais untuk penstoran.
"Sayang,kejutkan sajalah Awatif tu", saran suamiku yang turut sama mempersiapkan diri untuk ke pejabat.
"Lena sungguh anak kita tidur, kan abang? Tak sampai hati pulak nak bangunkan dia", ujarku sambil menahan rasa hiba di hati.
Ingin ku tatap wajah suci ini sepuas-puasnya, buat menjadi pengubat rindu di kala berpergian nanti. Saat air hangat hampir melipah dari tubir mata, aku segera memalingkan muka ke arah suami tercinta. Rasa hati bercampur baur. Sungguh berat hati ini untuk meninggalkan insan-insan kesayanganku ini walau seketika cuma. Ya Allah, kuatkanlah semangat kami, betulkanlah niat kami, dan permudahkanlah urusan kami! Masa terus bergerak ke hadapan dan aku harus bertolak dengan segera.
"Nidaaul Awatif, bangun sayang..", dalam nada berbisik aku memanggil namanya. Tiada respon. "Awatif, anak mama.." Jarinya bergerak-gerak perlahan, diikuti dengan senyuman manis terukir di bibir merahnya walau mata masih terpejam. Sejurus kemudian, dengan senyuman yang masih tidak lekang dari wajah, tangannya menggapaiku minta diangkat & didukung. Subhanallah! Inilah antara nikmat-nikmat teragung yang aku nikmati sepanjang aku menyandang gelaran 'Mama'.
Ya Allah, peliharalah diriku & ahli keluargaku daripada azab api neraka!
Thursday, May 26, 2011
Kembara Mei



Tuesday, May 10, 2011
Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 4 - MITOS vs. FAKTA
Bagi menyambung semula perkongsian tentang penyusuan susu ibu, bahagian keempat ini akan dimuatkan dengan berapa perkara penting yang harus diambil berat oleh setiap ibu bapa untuk menjayakan penyusuan susu ibu.
MITOS (M) vs. FAKTA (F):
M: Semasa berpantang, jangan minum banyak air, makan buah atau sayur. Kalau tak, peranakan berair & lambat kecut
F: Badan seorang ibu memerlukan air & vitamin serta mineral yang banyak untuk membantu proses penghasilan susu ibu & memulihkan fizikal selepas bersalin. Jika kurang minum air, sudah pasti susu yang dihasilkan adalah sedikit. Semakin banyak anak menyusu, semakin cepatlah pengecutan rahim berlaku kerana semasa menyusulah hormon yang diperlukan untuk pengecutan rahim dirembeskan .
M: Tak nak menyusukan anak kerana ingin menjaga bentuk badan
F: Menyusukan anak secara eksklusif sangat membantu mengembalikan semua bentuk badan ibu menjadi lebih langsing kerana kalori dan zat-zat penting untuk mengasilkan susu akan diambil daripada makanan yang dimakan oleh ibu. Oleh itu, bagi mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan, ibu-ibu dinasihatkan untuk makan makanan yang seimbang serta dalam kuantiti yang sederhana tetapi kerap.
M: Susu tak nak keluar. Kalau keluar pun terlalu sikit!
F: Usah panik! Stimulasi atau rangsangan adalah sangat penting dalam penghasilan susu ibu. Subhanallah, Allah telah menjadikan sesuatu yang sangat unik dalam hal ini! Sebenarnya, apabila bayi menyusu, payudara akan dikosongkan dan serta-merta otak akan menerima isyarat untuk merembeskan hormon oxcytocin untuk menghasilkan lebih banyak susu bagi menggantikan susu yang telah keluar & mengisi semula kekosongan yang ditinggalkan. Susukan bayi anda mengikut kehendaknya. Jika anda bekerja, jangan lupa untuk usahakan mengepam susu sekerap yang boleh supaya penghasilan susu tidak terjejas.
Selain daripada itu, keadaan mental ibu yang tidak stabil seperti berada dalam keadaan tertekan (stress) atau terlalu penat juga boleh merencatkan proses pengeluaran susu. Jalan keluarnya ialah: relax! Bertenanglah, wahai ibu! Maka, wahai ibu, tataplah wajah anakmu dengan penuh kasih sayang kerana apa yang kamu sedang lakukan ini adalah suatu pekerjaan yang sangat mulia! POSITIFKAN MINDAMU! Gantikan perkataan "susu saya sikit" kepada "SUSU SAYA BANYAK!" Insya Allah, dengan izin-Nya dan sokongan moral daripada si bapa, apa yang dirisaukan sebelum ini akan berakhir.
Alhamdulillah, berbekalkan tips - tips yang kami kongsikan di sini dan juga doa yang berterusan, Nidaaul Awatif yang kini berumur 13 bulan masih lagi meneruskan penyusuan susu ibu seperti biasa. Selamat meneruskan penyusuan susu ibu dan...
SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU!
Sesungguhnya, Allah mengurniakan gelaran IBU kepada anda kerana DIA ingin meninggikan darjat anda di sisi-Nya.
Justeru, berbahagialah wahai ibu-ibu yang beriman!
Wednesday, April 6, 2011
Sanah Hilwah Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen
Nidaaul Awatif permata hati Baba & Mama,
Suka Baba & Mama ulang pesanan ini setiap detik dan masa. Tiada lain, seperti Luqman menasihati anaknya dengan nasihat-nasihat yang agung:
Awatif...jangan syirik kepada ALLAH SWT, sesungguhnya syirik itu kezaliman paling besar.
Awatif...bersyukur dan berbaktilah kepada ALLAH (tegakkan agamaNYA), berbaktilah kepada Mama yang mengandung, menyusu dan mentarbiyyah Awatif dengan segala kepayahan, berbaktilah kepada Baba yang rela berkorban apa saja untuk Awatif.
Awatif...Taatilah Baba & Mama selagi mana Baba & Mama tidak membawa dirimu ke lembah maksiat & syirik.
Awatif...Berbuat baiklah sebanyak-banyaknya walaupun kebaikan itu hanya sebesar zarah, nescaya ALLAH menampakkan balasanNYA atas kebaikanmu.
Awatif...Dirikanlah SOLAT, ajaklah manusia ke arah maaruf, cegahlah manusia dari segala mungkar, dan BERSABARLAH sayang dalam melakukan semua ini.
Awatif...Jangan pandang rendah terhadap manusia, jangan berlagak sombong dengan manusia, kerana kita semua sama...kita semua adalah Hamba ALLAH.
Awatif...tenangkan diri ketika melangkah, rendahkan suaramu ketika berbicara, moga maruahmu terpelihara.
Ya ALLAH...satu tahun kami memikul amanah anak ini, kami cukup malu kepadaMU. Ampunilah kami kiranya terpalit coret-coret yahudi, nasrani atau majusi pada fitrah suci anak kami. Kembalikan kami kepada fitrahMU...
