Bismillahi walhamdulillah,
Setiap kali tibanya bulan Mei, ada beberapa peristiwa penting dalam hidup kami sekeluarga yang tidak harus terlupakan.
1) Hari Ibu (walaupun sebenarnya hari-hari hari ibu!)
2) Hari Ulangtahun Pernikahan Baba & Mama Awatif (15 Mei)
3) Hari Lahir Baba Awatif (19 Mei)
..15/5/2009 - 15/5/2011..
HAPPY ANNIVERSARY, DEAR!
Dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, Pemilik Segala Cinta, ikatan yang suci ini disimpul-Nya dengan penuh rapi. Alhamdulillah, 2 tahun sudah pun berlalu semenjak ikatan ini dimeteraikan. Melayari bahtera perkahwinan memang memerlukan kesabaran & toleransi yang tinggi, apatah lagi setelah dianugerahkan anak sebagai pengikat kasih antara Baba & Mama. Syukur, ya Allah kerana memilih kami untuk turut melaksanakan sunnah Nabi-Mu yang agung ini. Moga ikatan ini terus rapi hingga nyawa kami dijemput menghadap-Nya, entah bila waktunya, entah di mana tempatnya.
Di awal pernikahan dahulu, kami berdua pernah membuat resolusi untuk pergi bercuti bersama-sama sekurang-kurangnya dua kali setahun. Jadi, bersempena dengan bulan yang istimewa ini, kami bersepakat untuk merealisasikannya. Cuti rehat diambil selama beberapa hari untuk berlibur yang pada kali ini pastinya lebih meriah lagi dengan kehadiran si kecil Nidaaul Awatif yang sudah pun pandai bertatih. Hasilnya, terciptalah satu percutian yang amat bermakna bagi kami sekeluarga!
29 April - 1 Mei: Di Bukit Kluang, Besut, kami menghadirkan diri bagi tujuan menyertai Konvensyen Kebangsaan PAPISMA & dalam masa yang sama bersantai bersama ahli keluarga tersayang dan juga sahabat-sahabat seperjuangan yang semuanya berkerjaya & hampir semuanya sudah pun berkeluarga.
Kembara diteruskan lagi...
2 - 3 Mei: Kedinginan Cameron Highland menggamit kedatangan kami ke sana! Meskipun hujan mengiringi sebahagian daripada langkah kami, kami tetap berasa puas kerana dapat meluangkan masa bersama-sama. Yang paling seronok adalah Awatif. Mana taknya, hampir seminggu berkepit dengan Baba & Mama. Natijahnya, Awatif meragam & menangis-nangis tatkala Baba & Mama meninggalkannya untuk ke tempat kerja.. Alahai, sayang Awatif! Mungkin inilah penangan:
YOUR PRESENCE IS BETTER THAN YOUR PRESENT!
Selain daripada mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan, di antara hikmah kembara yang lain ialah bertambahnya perbendaharaan kata Awatif. Contohnya, daripada tidak pernah tahu apa itu 'strawberi', sekarang ini Awatif sudah pun mengenali strawberi kerana semenjak pulang dari kembara ini, strawberi mula mengisi hidupnya.
...bantal strawberi...
...baju strawberi...
...stokin strawberi...
...tuala strawberi...
...topi strawberi...
Marilah kita belajar daripada alam ciptaan Tuhan!
Moga-moga dengan itu, kita akan lebih mengenali DIA Yang Maha Mencipta..
No comments:
Post a Comment