Monday, July 4, 2011

Travelog Mama



PAGI 27/6/11:

Awatif masih nyenyak tidur di atas katil sementara aku yang dalam keadaan keterpaksaan sedang sibuk bersiap-siap utk meninggalkannya selama 3 hari 2 malam. Ya, "SAYA YANG MENURUT PERINTAH" wajib menghadiri Bengkel Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) di Tasik Kenyir,Terengganu.

Semasa bujang dulu, tentu sekali inilah peluang yang sangat dinanti-nantikan untuk berlibur. Tapi, itu dulu. Dulu lain, sekarang lain. Dulu solo, sekarang dah bertiga. Apabila biasa berjemaah, melakukan urusan secara fardi terasa amat janggal sekali. Kali terakhir kami sekeluarga berjauhan ialah sewaktu Awatif berusia 6 bulan, juga kerana menghadiri kursus. Lagi jauh jarak & tempoh peninggalannya, nun di Johor Bharu sana selama hampir seminggu. Setiap malam asyik berendam air mata kerana rindukan anak & suami. Hati menjadi lebih sayu apabila terpaksa membuang air susu perahan ke dalam sinki begitu sahaja kerana ketiadaan peti ais untuk penstoran.

"Sayang,kejutkan sajalah Awatif tu", saran suamiku yang turut sama mempersiapkan diri untuk ke pejabat.

"Lena sungguh anak kita tidur, kan abang? Tak sampai hati pulak nak bangunkan dia", ujarku sambil menahan rasa hiba di hati.

Ingin ku tatap wajah suci ini sepuas-puasnya, buat menjadi pengubat rindu di kala berpergian nanti. Saat air hangat hampir melipah dari tubir mata, aku segera memalingkan muka ke arah suami tercinta. Rasa hati bercampur baur. Sungguh berat hati ini untuk meninggalkan insan-insan kesayanganku ini walau seketika cuma. Ya Allah, kuatkanlah semangat kami, betulkanlah niat kami, dan permudahkanlah urusan kami! Masa terus bergerak ke hadapan dan aku harus bertolak dengan segera.

Aku mendekati si kecilku, lantas mengucup ubun-ubunnya. Ciuman kasihku ditumpahkan pula ke kedua-dua belah pipi comelnya, dan terus menjalar ke tangan halu dan jari-jari mulusnya.

"Nidaaul Awatif, bangun sayang..", dalam nada berbisik aku memanggil namanya. Tiada respon. "Awatif, anak mama.." Jarinya bergerak-gerak perlahan, diikuti dengan senyuman manis terukir di bibir merahnya walau mata masih terpejam. Sejurus kemudian, dengan senyuman yang masih tidak lekang dari wajah, tangannya menggapaiku minta diangkat & didukung. Subhanallah! Inilah antara nikmat-nikmat teragung yang aku nikmati sepanjang aku menyandang gelaran 'Mama'.

Ya Allah, peliharalah diriku & ahli keluargaku daripada azab api neraka!

No comments:

Post a Comment