Bismillahi walhamdulillah,
Sedar tak sedar, bulan Sya'aban semakin menghampiri penghujungnya & Ramadhan, penghulu segala bulan semakin menggamit kehadirannya. Semoga kita semua sampai kepada Ramadhan tahun ini & diizinkan Allah untuk terus beribadah kepadaNya..ameen!
Ramadhan pada tahun ini dijangkakan akan lebih meriah buat kami sekeluarga dengan kehadiran Nidaaul Awatif yang pantas membesar. Alhamdulillah, sudah 1 tahun 3 bulan umurnya. Proses pembelajarannya semakin maju sebaik sahaja menginjak ke usia satu tahun. Setiap perlakuan orang di sekelilingnya pasti akan cuba ditiru satu persatu.
Apabila Mama & Baba solat, Awatif akan turut mengangkat takbir, ruku' dan sujud sambil mulut terkumat-kamit seolah-olah turut melafazkan bacaan-bacaan dalam solat.
Apabila kami berdua mengaji Al-Quran, Awatif akan sibuk membelek helaian demi helaian kitab suci tersebut sambil menadah tangan. Awatif memang selalu begitu. Pantang terdengar kalimah-kalimah Bahasa Arab, samada bacaan ayat Al-Quran, hadith, doa atau zikir, dan seruan azan, pasti Awatif akan mengangkat kedua-dua belah tangannya & meraup muka untuk mengaminkan bacaan-bacaan tadi sejurus selepas bacaan tamat . Sungguh comel!
Sering juga kami berpesan kepada insan-insan dewasa di sekelilingnya supaya cuba beradab sopan di depan Awatif. Bukan apa, minda si kecil ini sungguh mudah menyerap & meniru benda-benda baru. Kalau ada yang bercakap dengan suara yang kuat & menjerit-jerit, Awatif akan turut sama riuh bertempik. Jika ada yang membalingkan barang, Awatif akan turut melontarkan barang yang ada di tangannya pada saat itu juga. Itu belum masuk bab berkata-kata lagi! Moga Allah sediakan 'penapis yang paling ampuh' di minda puteri kami ini agar dia mampu memilih yang baik-baik sahaja untuk diamalkan.
Memang tidak mudah untuk membentuk akhlak dan peribadi anak apatah lagi jika suasana di sekelingnya tidak begitu membantu dalam merealisasikan aspirasi dan impian kita. Umpama adunan yang kita bentuk, pasti akan turut sama menyerap pewarna & perasa yang ditaburkan ke atasnya sama ada secara sengaja atau tidak. Mudah-mudahan, hanya pewarna dan perasa yang elok-elok sahaja diserap dan adunan tadi dapat mengembang dengan baik. Bukan sekadar sejuk mata memandang, bahkan kuih yang terhasil itu berkhasiat dan memberi kebaikan untuk semua.
Justeru, wahai ibu dan ayah..
Peliharalah akhlakmu kerana anak-anakmu itu akan meniru kamu
Baik ajaranmu, Insya Allah baik jugalah tingkah-laku anak-anakmu
Binalah bi'ah solehah untuk melingkungi kehidupan mereka
Agar nanti, mereka mempu menjadi pemimpin bagi orang-orang bertaqwa..
Ameen ya Rabb!
Ameen Ya Rabb
ReplyDelete