Wednesday, May 9, 2012

HERO Ummah (Bhgn. 1)

Bismillahi walhamdulillah,

Dalam masa sebulan ini, kami agak kerap keluar membeli-belah barang-barang keperluan untuk mendiami rumah baru. Kalau boleh diletakkan peratusan tahap kesediaan untuk diduduki, tinggal 5% lagi yang belum beres - kabinet dapur, wardrobe & panel TV di ruang keluarga.Oh, kami berharap sangat agar dapat naik rumah baru sebelum tarikh jangkaan bersalin anak kedua, 7 Mei 2012.

"Abang, Abang ada apa-apa program ke hujung minggu ni? Sayang rasa kita kena pergi Rantau Panjang hujung minggu ni jugalah untuk cari barang-barang yang belum beli. Takut terberanak awal, tak sempat pulak nanti", usul Mama kepada Baba semasa ber'pillow-talk' pada malam Rabu, 25 April 2012.

"Ya, ya..baiklah Sayang. Kita pergi pagi Jumaat ni ye, Insya Allah", ujar Baba meredakan kerisauan yang bersarang di lubuk hati Mama.

Dengan izin Allah, seperti yang dirancang, kami bertiga bersama adik bongsu, Nurul 'Izzah, menjelajah pasar-pasar di bandar Rantau Panjang. Walaupun penat mengusung bayi yang berusia 9 bulan di dalam kandungn dan kadang-kadang mendukung Awatif yang sudah kepenatan berjalan, hasil perburuan ini cukup meriah. Beberapa item menjadi tawanan kami termasuklah set periuk, kuali, dan toto. Dalam perjalanan pulang, Baba berkenan untuk singgah makan di Rangnok Restaurant, Jalan Pasir Mas - Salor untuk menikmati hidangan asli Thai. Alhamdulillah! Shopping sudah, makan pun sudah. Harap-harapnya, malam nanti boleh tidur dengan lena.

Tidak dinafikan, fizikal kami sememangnya keletihan. Namun, mata Baba sukar sekali untuk dilelapkan manakala tidur Awatif seakan terganggu apabila dia acap kali mengigau sambil menangis. Begitu juga dengan Mama yang beberapa kali tersedar dari tidur.

Pada jam 3.15pagi, 28 April 2012, Mama tersedar lagi untuk kesekian kalinya. Perut Mama terasa memulas. Semacam ada kontraksi pun ya. Beberapa kali juga Mama berulang-alik ke tandas, sekejap untuk buang air kecil, sekejap pulak buang air besar. Lebih kurang 15 minit Mama berada dalam keadaan sedemikian. Kemudian, selang 5 minit, sakit itu datang lagi. Sah, ini sakit kontraksi hendak bersalin! Kerana tidak tahan dengan kesakitan itu, Mama terpaksa juga mengejutkan Baba yang belum sampai sejam lena.

"Abang, bangun, bang..Sayang sakit perut..contraction macam nak bersalin", tutur Mama sambil menggerak-gerakkan tangan Baba.

"Urmm, sakit macam mana, Sayang? Contraction setiap berapa minit? Boleh tunggu Subuh tak?", dengan mata separa terbuka, Baba menyoal Mama bagi mendapatkan kepastian. Bukan apa, takut-takut false contraction.

"Sakit, Abang..contraction setiap 5 minit dah ni", ujar Mama sambil mengerut-ngerutkan dahi menahan sakit yang dirasakan semakin kuat intensitinya.

"Abang, macam mana ni?", Mama menggerakkan lagi tubuh Baba yang seakan kurang responsif.

Alhamdulillah, kali ini Baba terjaga sepenuhnya. Sambil beristighfar dan berselawat, Baba menyuruh Mama bersiap untuk ke hospital sementara Baba mengambil kesempatan menunaikan solat sunat 2 rakaat, bermunajat & berdoa diiringi dengan linangan air mata. Baba kemudiannya mungucup dahi Mama seraya berpesan, "Sabar ya, Sayang. Banyakkan istighfar & selawat". Dalam pelukan Baba, air mata Mama tumpah jua akhirnya.

Setelah mengejutkan Ummi & menitipkan beberapa pesanan kepadanya, kami berdua terus menaiki kereta menuju ke Kota Bhrau Medical Center (KBMC). Sepanjang perjalanan, CD Al-Quran dipasang supaya hati kami sedikit sebanyak lebih aman tenteram.

"Sayang, kita singgah beli something dulu di KFC ye. Makan sikit untuk bagi tenaga sebab malam tadi tak makan nasi kan..", cadang Baba sewaktu kereta menghampiri lampu isyarat di Simpang 4 Kubang Kerian. Mama mengiyakan sahaja sambil melirikkan mata melihat jam yang menunjukkan hampir pukul 4.30 pagi. Sementara menantikan Baba di dalam kereta, Mama mengunyah dua biji kurma yang dibekalkan Ummi. Kalau keadaan mengizinkan, ingin sekali Mama menikmati KFC yang dibeli Baba pula.





2 comments:

  1. tahniah dati kami di Teratak Mawaddah :) bolehlah buat Aqiqah di rumah baru hehe

    ReplyDelete
  2. terima kasih, warga Teratak Mawaddah! insya allah, jemputan akan menyusul =)

    ReplyDelete