Saturday, May 12, 2012

HERO Ummah (Bhgn. 2)

Bismillahi walhamdulillah,

Segala-galanya bergerak dengan begitu pantas. Setelah selesai proses pendaftaran di kaunter, Mama dibawa ke bilik bersalin dengan menaiki kerusi roda diiringi oleh Baba yang setia menemani. Jam sudah pun menunjukkan pukul 4.50 pagi tatkala Mama merebahkan diri di atas katil dalam bilik bersalin.

"Kita dah contact Dr. Suzi, dia on the way & sekejap lagi sampai. Sementara dia handle seorang patient yang daftar sebelum awak, biar saya cek jalan dulu ye", ujar seorang jururawat shif malam.

"Dah 4 cm, dik", jururawat itu memaklumkan keadaan Mama.

"Agak-agak, berapa lama lagi, kak?", Baba bertanyakan jururawat tersebut.

"Tak lama..kalau awak ikut arahan kita, dalam sejam dua Insya Allah bersalin", si jururawat membuat telahan.

Sakit kontraksi menyerang Mama lagi. Selain zikir kepada Allah & selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w., tangan Baba juga menjadi sumber kekuatan Mama. Mulut Mama turut sama membaca ayat-ayat dari Surah Maryam yang dialunkan oleh Baba. Ya Allah, permudahkanlah!

"Sayang, minum air zam-zam ni sikit", Baba menyuakan air zam-zam yang dibawa dari rumah ke mulut Mama.

Moga-moga ada keberkatan dalam setiap teguk air suci itu yang membasahi tekak. Tidak lama selepas itu, Dr. Suziati, pakar sakit puan & perbidanan yang di'booking' khas sampai di bilik bersalin di mana Mama ditempatkan. Tepat jam 5.40 pagi, doktor memecahkan air ketuban setelah mendapati bukaan jalan sudah semakin luas untuk proses kelahiran. Amat menenangkan hati apabila si doktor memulakan setiap prosedur dengan bacaan doa & menyebut nama Allah.

"Alhamdulillah, air ketuban banyak & jernih. Pitocin pun kita dah masukkan untuk augmentation of labor. Insya Allah, dah tak lama dah nak bersalin ", ujar doktor sambil tersenyum memandang Mama & Baba.

"Sayang, Abang pergi solat sekejap ye", bisik Baba kepada Mama sambil melonggarkan genggaman tangannya sebaik sahaja azan subuh berkumandang di  udara.

"Abang, tunggu seminit dua lagi, boleh?", pinta Mama sambil memejamkan mata menahan kesakitan yang dirasakan.

Seminit dua pun berlalu dan Baba menyahut seruan azan dengan menunaikan solat Subuh di surau yang berdekatan. Sementara si suami berpergian, palang besi di sisi katil menjadi tempat si isteri berpaut menjana kekuatan. Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!

"Kalau Sayang bersalin hari ni, anak kita lahir pada hari BERSIH la, bang", tutur Mama kepada Baba yang kembali menemani seusai mendirikan solat Subuh. Baba tersenyum melihat Mama yang tiba-tiba bersemangat walau diri dalam kesakitan.

Beberapa ketika kemudian, doktor bersama jururawat masuk untuk memantau perkembangan. Graf menunjukkan frekuensi & intensiti kesakitan kontraksi sudah pun meninggi. Proses kelahiran sudah hampir nampaknya! Sebaik sahaja pundi kencing Mama dikosongkan, rasa ingin meneran mula menjengah.

"Adik, tolong jangan teran. Belum masanya lagi", seorang jururawat menasihati Mama yang seakan sudah bersedia untuk push.

"Doktor, saya dah tak tahan ni. Betul-betul rasa nak push", Mama membalas.

Lampu spotlight dinyalakan dan bahagian kepala katil dicondongkan ke hadapan bagi memudahkan proses kelahiran. Seboleh mungkin Mama cuba mengikuti setiap arahan yang dikeluarkan oleh doktor. Allahu Rabbi! Tidak seperti melahirkan Nidaaul Awatif dahulu, tanpa suntikan sebarang ubat penahan sakit, kesakitan bersalin pada kali ini dirasakan lebih 'ori' bagi Mama. Melihatkan kepala bayi yang sudahpun kelihatan, Baba, doktor & para jururawat yang mengendalikan terus melontarkan kata-kata semangat kepada Mama yang semakin keletihan.

"Sikit lagi, Sayang"
"Teran lagi, dik..Sikit je lagi nak keluar tu.."
"Tarik nafas perlahan-lahan, dalam-dalam..Tahaaan..Push!"

Uwaaa..uwaaa..uwaaa!!

"Alhamdulillah!", serentak dengan tangisan si kecil yang baru berpindah dari alam rahim ke alam dunia, lafaz syukur kepada Allah dipanjatkan beramai-ramai oleh semua yang menyaksikan.

Ya Allah, akhirnya!

Tepat jam 7.20 pagi, 28 April 2012, seorang HERO ummah selamat dilahirkan. Diazan dan diiqamahkan oleh Baba, permata hati kami yang kedua ini dinamakan MUHAMMAD ABEED BIN MOHD AZREEN.

Duhai 'Ahli Ibadah Yang Terpuji',
moga lahirnya dikau menjadi penyelamat ummah..ameen ya Rabb!


1 comment: