Thursday, June 4, 2015

Kisah Nabi Di Pagi Hari

Sewaktu dalam kereta pagi tadi, kami sekeluarga berkongsi cerita tentang kisah Nabi Ibrahim & Raja Namrud.

Awatif: Raja Namrud bakar Nabi Ibrahim dale api Abeed: "Raja Namrud marah kepadanya..membakarnya di api menyala.." (menyanyikan nashid)
Mama: Lepas tu, Nabi Ibrahim terbakar dok?
Awatif: Dok..Nabi tok terbakar
Mama: Bakpo tok terbakar?
Abeed: Sebab bomba mari padamkan api..sebab tu la tok terbakar
Awatif: Bukey, sebab Allah tolong padamkan api
Mama: Allah tolong sejukkan api, sebab tu Nabi tok terbakar
Abeed: Aaa (dengan nada tak puas hati)...sebab bomba padamkan api!!
Mama: Ooo..macam bomba padamkan api rumah Ijat terbakar tu ko? Macam dalam cerita Upin Ipin?
Abeed: Hahaa..macam je
Awatif: "Ditolong Allah Maha Perkasa..panasnya api tidak terasa.." (menyanyikan sambungan nashid)

Alahai anak-anak..geli hati mama & baba!

Alhamdulillah, ini adalah antara nikmat-nikmat dari Nya. Dengan keletah anak-anak ini, kami masih dapat tersenyum di pagi hari walaupun perasaan lelah berkejar-berkejaran masih lagi bersisa. Alhamdulillah thummalhamdulillah :-)

Kami jarang sekali dapat membacakan "bed time story" kepada anak-anak sebelum mereka tidur pada waktu malam. Jadi, sebagai salah satu usaha untuk mendedahkan anak-anak tentang Islam, kami memilih untuk menayangkan video-video Islami di dalam kenderaan atau di komputer. Sudah tentu buku cerita bergambar juga tak dikesampingkan!

Moga ia bermanfaat untuk membantu perkembangan minda & syakhsiah mereka..insha Allah..

Saturday, December 20, 2014

Yeay, cuti!!

"Kakak, nanti kakak cuti 40 hari. Tak payah pergi sekolah", mama memaklumkan kepada Awatif pada hari akhir sesi persekolahan 2014 baru-baru ini. Senang cakap 40 hari walaupun sebenarnya bukan tepat 40 hari pun.

"Waaah, lamanya!!", ujarnya sambil tersenyum lebar & mata bersinar-sinar gembira.

Tak ada orang yang tak gembira kalau diberikan cuti. Cuti bermakna rehat. Cuti bermaksud boleh melakukan apa-apa sahaja yang kita inginkan tanpa perlu risau akan tugas-tugas kebiasaan. 

Beruntunglah para guru & pelajar, waktu & tempoh cuti sudah pun disediakan untuk mereka. Mereka yang berada di profesyen lain biasanya perlu memohon untuk bercuti. Itu pun, belum tentu permohonan akan diluluskan. Proses timbang taranya kadangkala terlalu rumit. Kalau berjaya dapat cuti, orang putih kata memang "heaven"lah!

Nak tak nak, kita semua memang memerlukan sedikit ruang untuk "break". Kalau tak, tubuh & minda kita akan jadi terlalu letih dengan hal ehwal dunia yang tak berkesudahan.."exhausted". Ruang masa untuk berehat itu pula fleksibel & tempohnya tidak semestinya panjang. Tak mengapa jika waktu rehatnya pendek asalkan berkualiti. 

Kadang-kadang, cuti rehat itu bukanlah bermaksud rehat dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Mama & baba sudah banyak kali ambil cuti rehat semata-mata nak kemaskan rumah tau. Waktu cuti itu jugalah nak berurusan dengan bank atau agensi-agensi lain. Sudahnya, anak-anak terpaksa juga dihantar ke rumah pengasuh walaupun mama & babanya bercuti. Sebab itulah sekali kami bercuti, kami akan ambil masa beberapa hari. 

Contohnya: 1 hari mengemas rumah + 1 hari menyiapkan urusan luar + 1 atau 2 hari sepenuh masa bersama anak-anak!

Di bawah ini, kami kongsikan gambar-gambar percutian kami sekeluarga di Kuala Terengganu & Putera Valley Resort, Tanah Merah, Kelantan.








Ibu bapa yang lain bagaimana?
Jom, kongsi pengisian cuti kalian di sini..

Nak pergi bercuti di tempat-tempat menarik, tapi kewangan tak mengizinkan? Solusinya: MENABUNGLAH!
  • Rancang percutian di awal tahun (tempat percutian & tarikh) & rangka perbelanjaan
  • Sediakan satu tabung / bekas
  • Tulis / tampal 'tajuk tabung'. Contoh: Tabung Legoland
  • Letak tabung di tempat yang mudah dilihat oleh ahli keluarga
  • Setiap orang dalam keluarga (ibu bapa & anak-anak) MESTI memasukkan duit ke dalam tabung pada setiap hari/minggu. Contoh: Ibu & bapa RM10 seminggu, anak-anak 50 sen sehari
  • Kemaskini tabungan setiap bulan
  • Cukupkan tabungan menggunakan duit gaji ibu & bapa :-)


SELAMAT BERCUTI!

Monday, October 13, 2014

Jiwa Pahlawan

Bismillahi walhamdulillah,

Selamat bertemu kembali! Pernah dengar kan orang kata, kalau kita tengah sedih atau rasa tak bersemangat, kenangkan semula kejayaan-kejayaan yang pernah kita lalui. Tipulah kalau kamu kata kamu tak pernah berjaya.

Sekurang-kurangnya, di masa kita kecil, kita sudah banyak kali berjaya. Daripada hanya terlentang, dengan izin Allah, kita berjaya mengiring. Kemudian, dengan susah payah kita berusaha pula untuk meniarap. Orang pertama yang bertepuk tangan atas kejayaan kita itu tentulah ibu kita! Kita tak senang dengan hanya meniarap. Maka, kita berusaha lagi untuk mengensot. Cuci lantai rumah ibu sebab kita rajin 'mengemop'.


Adakah kita berhenti di situ? Setakat mengensot? Sudah tentu tidak. Kali ini kita berusaha pula untuk duduk & merangkak. Habis semua ceruk rumah kita jelajah walaupun dengan hanya merangkak. Apabila kita sudah berjaya berdiri & berjalan, semua orang bertepuk tangan, bersorak dengan gembira. Kita tersenyum bangga. Sorakan itu suatu penghargaan buat kita. Kita turut tersenyum, lantas menjadi lebih bersemangat untuk mengulangi kejayaan. Kita berusaha lagi, kuatkan kaki, melangkah laju & kemudiannya berlari. Si ibu mengalirkan air mata sambil berkata dalam hati, "Oh, anak kecilku sudah besar!"

Sebelum kita berjaya melakukan sesuatu skil baru, tidak pernahkah kita gagal? Tidak pernahkah kita jatuh tergolek lalu berdarah? Tidak pernahkah kita rasa apa itu sakit & bagaimanakah rasanya air mata itu, tawarkah atau masinkah? Pernah, bukan? Tapi mengapa kita tidak menyerah kalah? Kerana kita ada Allah & Allah telah beri kudrat kepada kita untuk terus berusaha. Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah dengan asbab usaha kita. Manakan mampu kita berlari jika kita memilih untuk sekadar duduk diam di dalam walker.

Besar atau kecil sesuatu kejayaan itu bukan menjadi ukuran. Apa yang penting, ianya bernama kejayaan. Dapat bangun pagi untuk ke sekolah itu suatu kejayaan. Dapat menghasilkan sebiji kek coklat juga satu kejayaan. Mata kail 'tersangkut' pada mulut ikan besar juga merupakan kejayaan. Pendek kata, apa sahaja yang kita dapat setelah bersusah payah untuknya layak dinamakan sebagai KEJAYAAN.

Justeru, sekarang, ketika semangat kita tiba-tiba pudar, di saat kita seolah-olah berputus harap, kenangkan kembali saat-saat manis sewaktu kita menempa kejayaan. Ingat semula, betapa lebarnya senyuman kita. Betapa girangnya ibu bapa & orang di sekeliling kita.


Ya, kita semua layak untuk berjaya!
Berjaya di dunia & berjaya di akhirat!
Ameen ya Rabb..

Wednesday, September 17, 2014

Musafir Ukhuwwah

Bismillahi walhamdulillah, 

Sabtu lepas, genap 40 hari Mama berpantang. Hari tu juga kami sekeluarga bermusafir ke Klang, bagi menghadiri walimah sepupu Mama, Sofwah. Fuhh, bermusafir selama 8 jam menaiki kereta bersama 3 orang anak kecil sangatlah mencabar! Mujur nenek, pakcik-pakcik & makcik-makcik mereka ada sekali untuk melayan karenah yang tak terjangka. 

Terima kasih semua kerana bersabar! 

Terima kasih juga buat Ayah Ha & Mak Cik Siti serta sepupu-sepupu semua atas layanan istimewa yang diberikan! Siap carikan homestay lagi..Semoga kalian diberkati Allah selalu..

Tahniah buat Sofwah & Fariz atas baitul muslim yang dibina!
Baarakallahulakuma wa baaraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fii khair..ameen


Sehari sebelum bertolak dari rumah ke Klang, Mama sempat ber Fb & berwhatsapp dengan sahabat-sahabat Mama yang sudah lama tak ketemu..5 tahun kot sejak grad dari UIA Kuantan. Semangat untuk buat mini reunion makin membuak-buak gara-gara seorang sahabat telah post sekeping gambar di Fb beliau. Sungguh, hati ini tiba-tiba jadi rindu sangat nak jumpa semua sahabat seperjuangan!


Kami merancang & Allah juga merancang. Sebaik-baik perancangan ialah perancangan Allah s.w.t. Akhirnya, kami bertemu jua di kediaman salah seorang sahabat di Semenyih. Perjalanan Klang-Semenyih mengambil masa lebih kurang 1 jam juga. Meskipun masing-masing keletihan, namun riak kegembiraan jelas terpancar indah di wajah setiap sahabat yang amat dirindui. Kali ini hanya 5 keluarga yang dapat menyertai pertemuan yang dirancang pada saat-saat akhir ini.

Terima kasih buat Ukhti Esfarizam sekeluarga kerana sanggup menjadi tuan rumah bagi perjumpaan kali ini. Semoga bertambah-tambah berkat hendaknya kehidupan ukhti sekeluarga!

Terasa musafir pada kali ini amat bermakna.
Musafir Ukhuwwah..alhamdulillah :-)


Moga-moga impian untuk mengumpulkan semua alumni DQ-UIA batch kami dalam masa terdekat ini termakbul..ameen!

Saturday, August 23, 2014

Siapa Pergi Dulu?

Bismillahi walhamdulillah, 

Semalam dan hari ini, newsfeed Fb dipenuhi dengan berita-berita tentang kepulangan jenazah mangsa-mangsa tragedi MH17. Gambar-gambar pilu ahli keluarga mangsa nahas turut sama menjentik sanubari, justeru menerbitkan rasa untuk mencoret sesuatu di sini.

Innalillahi wa inna ilaihi rooji'uun..
Kita datang daripada Allah & kepada Allah jualah kita akan dikembalikan..
Benarlah, MATI itu SEBAIK-BAIK PERINGATAN.

Siapakah di antara kita yang akan menjadi orang pertama dijemput menghadapNya? Mamakah? Atau Babakah? Atau anak-anakkah? Mati itu RAHSIA yang hanya diketahui oleh Al-Mumiit sebagaimana Dia jugalah yang Maha Menghidupkan. 

Berderai air mata Mama apabila memikirkan hal ini. Terlintas di benak fikiran, apakah cukup bekalan yang akan dibawa ketika menghadapNya? Apakah cukup bekalan yang akan Mama tinggalkan buat anak-anak Mama berjuang meneruskan hidup menjadi khalifahNya seandainya Mama pergi dahulu? 

Walau apa pun yang bakal terjadi, marilah kita sama-sama tadabbur intipati yang terkandung dalam Surah Ad-Dhuha, moga-moga ia menenangkan jiwa & menyuburkan hati-hati kita. 

Firman Allah, maksudnya:

1. Demi waktu dhuha

2. Dan demi waktu malam ketika sunyi sepi

3. Tiada sekali-kali Tuhanmu meninggalkanmu & tiada pula Ia murkakanmu

4. Dan sesungguhnya Akhirat itu lebih baik untukmu dari dunia

5. Dan sesungguhnya Allah akan memberi (limpah kurniaNya) kepadamu & engkau tetap berpuas hati

6. Bukankah dahulunya engkau seorang anak yatim piatu, lalu Allah memberi perlindungan kepadamu?

7. Dan bukankah dahulunya Allah dapatimu dalam keadaan tiada pedoman, lalu Ia memberi hidayah kepadamu?

8. Dan bukankah dahulunya Allah dapatimu miskin, lalu Ia memberi kekayaan kepadamu?

9. Oleh itu, janganlah engkau hinakan anak yatim

10. Dan janganlah engkau herdikkan peminta bantuan

11. Dan hendaklah engkau sebut-sebutkan nikmat Tuhanmu.

Allahu..tiadalah daya upaya kami melainkan dengan kuasaMu, Ya Rabbi..

Terlalu banyak perkara yang masih belum kami pelajari & masih banyak telaga hikmah yang belum kami gali. Kau kurniakanlah kami KEKUATAN & KESABARAN untuk melaksanakan segala tanggungjawab di atas dunia ini.. Ameen..

Antara hadiah-hadiah pemberian para sahabat kepada kami sempena kelahiran anakanda ketiga. Jazaakumullahu khairan kathiira!

Tuesday, August 19, 2014

Puasa 6

Bismillahi walhamdulillah,

Hari ini 23 Syawal 1435H, genap 2 minggu umur Nisreen Aisyah. Alhamdulillah, Aisyah sihat & makin kuat menyusu. Mama pun dah seminggu lebih simpan stok EBM untuk buat bekal Aisyah nanti. Harap-harapnya dapat penuhkan deep freezer sebelum masuk kerja nanti, in sha Allah.

Acik-acik kat luar tu, semua dah habis puasa 6 ke? Syawal masih berbaki 7 hari lagi. In sha Allah, sempat sangat bagi mereka yang belum memulakan puasa sunat ni, dengan syarat puasa berturut-turut setiap hari. Syawal tahun ni, Mama tak berpeluang temankan Baba berpuasa 6 ni. Tapi takpe, sokongan padu Mama kepada Baba masih sama, "Teruskan perjuangan ye, Abang! 2 hari je lagi nak habiskan, lepas tu dah boleh raya!"


Kenapa Islam menganjurkan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ni?

Jom, sama-sama kita ikuti kupasannya oleh Ustaz Abdul Basit di sini. Semoga beroleh manfaat & sama-sama kita sebarkan kepada yang lain.

Tuesday, August 12, 2014

Amanah Bertambah


Bismillahi walhamdulillah, 

Sudah lebih setengah tahun blog ini terabai..astaghfirullahal 'azeem. Maafkan kami atas kekhilafan ini. In sha Allah, blog ini akan kembali aktif selepas ini bersama hadirnya seorang lagi ahli baru dalam teratak Permata Mustofain. 

NISREEN AISYAH BINTI MOHD AZREEN nama diberi..


Alhamdulillah, lahirnya ke dunia pada jam 1.05 pagi, tanggal 9 Syawal 1435H bersamaan 5 Ogos 2014, hampir seminggu lewat daripada estimated due date (EDD). Puas sudah mama pergi beraya & kenduri di sana sini, si kecil tak mahu juga keluar menjengah ke dunia. Sudahnya, mama terpaksa "menyerahkan diri" di hospital pada 4 Ogos walaupun kontraksi bersalin masih belum betul-betul terasa. Baba dengan rela hati mengambil emergency leave (EL) semata-mata mahu menguruskan mama.

Disebabkan overdue, kami bersepakat untuk memilih HUSM sebagai hospital tempat bersalin. Dalam hati, tak putus-putus berdoa agar tidak di"induce", hanya staf perempuan yang akan mengendalikan mama & semua urusan dimudahkan Allah. Mama diarahkan untuk check-in di Wad 2 Baiduri (antenatal) sementara menunggu untuk bersalin.

Peluang berehat di dalam wad mama gunakan untuk membaca buku, mengaji, berzikir & bersosial dengan ibu-ibu lain yang rata-ratanya melalui kehamilan berisiko disebabkan oleh penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi & jantung. Alhamdulillah, mama sangat-sangat bersyukur kerana melalui kehamilan yang sihat.

Dikhabarkan bahawa labor room & postnatal ward penuh pada hari tersebut. Jadi, mama mohon daripada doktor yang memeriksa mama untuk balik berehat di rumah sahaja sementara menunggu tanda-tanda bersalin muncul. Permintaan mama ditolak lantaran "jalan" sudah pun terbuka 3 cm meskipun mama masih belum terasa sakit. Mama dinasihatkan untuk banyakkan berjalan-jalan dalam wad supaya cepat bersalin. Maka, mulalah mama mengukur inci setiap ruang dalam wad tersebut. 

Mujur juga mama dikurniakan kesempatan untuk berehat dalam antenatal ward ini. Sekurang-kurangnya mama dapat melaksanakan solat-solat sunat mengiringi setiap solat fardhu. Kalau di rumah, belum tentu mama akan buat. Yang paling menarik, jururawat di sini datang memberikan penerangan tentang penyusuan susu ibu di katil mama..dia bukan jururawat biasa, tapi ketua jururawat dalam wad ini. Memang terbaiklah, sesuai sangat dengan gelaran Hospital Rakan Bayi!

Setelah sekian lama menanti, akhirnya sakit kontraksi datang selang 10 minit selepas mama selesai menunaikan solat Isyak. Mama memaklumkan kondisi mama kepada jururawat yang bertugas. Namun, mama diarahkan untuk teruskan berehat di katil dahulu & hanya akan dibawa masuk ke labor room jika sakit kontraksi datang selang 5 minit disebabkan tiada katil kosong di sana.

Pada jam 11.15 malam, mama dibawa masuk ke labor room. Berdasarkan graf CTG, kata tuan doktor, belum ada kontraksi yang kuat & jalan masih 5 cm walaupun labor pain sudah terasa begitu perit sakitnya. Mama mohon untuk dikendalikan oleh doktor perempuan tapi kata tuan doktor house-officer (HO) ini, semua doktor perempuan masuk dewan bedah. Allahu..mama pasrah!

"Doktor, boleh panggil suami saya masuk?", mama memohon sambil menahan sakit. 

"Sekejap lagi, bila kita dah pecahkan air ketuban, kita benarkan suami puan masuk", ujarnya. 

Doa & zikir dilafazkan tanpa henti..
Hanya Allah tempat memohon segala sesuatu..
Mohon diampunkan segala dosa dengan ujian kesakitan ini..
Mohon juga agar proses kelahiran dipercepatkanNya..

Lebih kurang pada jam 12.15 pagi, air ketuban dipecahkan & setelah itu baba dibenarkan masuk. Dapat berpaut pada tangan baba pun sudah sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesakitan yang dialami. Apatah lagi tatkala mendengar ayat-ayat surah Maryam yang dibaca oleh baba, semangat mama menjadi semakin kuat. Usai wayar CTG dicabut, mama terus mengiring ke kiri & meminta baba mengurut pinggang mama. Tak sampai 5 minit urutan, doktor mengarahkan baba keluar & dibenarkan masuk semula jika tiba masa untuk "push". Oh, tidak! Kenapa perlu keluar di saat ini?

Tak sempat baba keluar, mama sudah terasa untuk meneran. Mama pegang kuat-kuat tangan baba & minta baba maklumkan kepada doktor tentang keadaan mama. Tuan doktor seakan tidak percaya kerana belum pun sampai sejam sejak air ketuban dipecahkan, takkan sudah mahu bersalin?

"Sekejap ya, saya cek jalan. Puan jangan teran dulu", pesan tuan doktor. 

Akhirnya, tak sampai 5 minit selepas itu, setelah sekuat tenaga difokuskan untuk push, terdengarlah tangisan zuriat kami yang ketiga ini. Si kecil yang diazankan & diiqamahkan oleh babanya ini terus diletakkan ke atas dada mama yang masih keletihan.

Subhanallah!
Alhamdulillah!
Allahu akbar!

Maka, bertambahlah amanah Allah ke atas kami.
Semoga setiap derap langkah dalam kehidupan kami diberkati & diredhaiNya. Ameen, ameen ya Rabb!

Friday, November 15, 2013

Tadika, oh tadika!

Semakin kita menghampiri penghujung tahun, semakin sibuk kita menyiapkan sasaran kerja tahunan yang masih tertunggak. Dalam masa yang sama, kita juga mula membuat perancangan untuk tahun hadapan. Tak terkecuali, proses pemilihan taman asuhan kanak-kanak (taska) atau taman didikan kanak-kanak (tadika) untuk anak-anak yang akan didaftarkan untuk sesi 2014 juga turut tersenarai dalam senarai tugas yang perlu disiapkan sebelum berakhirnya tahun 2013. 

In Sha Allah, puteri sulung kami akan berusia 4 tahun pada tahun hadapan. Ada yang berpendapat, tak perlulah lagi dihantar budak yang berumur 4 tahun ke tadika. "Dia masih kecil. Biarkanlah dia bermain. Belum masanya lagi untuk dia menerima bebanan akademik. Kalau hantar awal, dibimbangi dia akan merasa bosan dan tak berminat lagi untuk belajar apabila masuk darjah 1 kelak". 

Oh, lama juga kami termenung & berfikir. Perlukah Awatif ke tadika pada tahun hadapan? Atau, tak perlukah? Kalau perlu, dalam banyak-banyak tadika, tadika manakah yang paling baik untuknya? Istikharah itu sudah tentu perlu dibuat!

Setelah menyaksikan kesungguhan Awatif yang siang malam menyebut mahu ke sekolah dan selalu berlakon aksi cikgu & murid, kami akhirnya bersetuju untuk menghantarnya ke tadika. Bukan setakat mengenal ABC & 123 secara formal tetapi kami mahu juga anak kami ini belajar bersosial dengan rakan-rakan sebaya serta didedahkan dengan ilmu keagamaan sejak dari awal lagi.


Beberapa kriteria telah kami gariskan. Antaranya, tadika itu mestilah:
  1. Islamik
  2. Mempunyai kuota tenaga pengajar : murid yang berpatutan
  3. Tenaga pengajar berpengalaman
  4. Silibus pendidikan yang integratif & interaktif
  5. Berdekatan dengan tempat kerja
  6. Persekitaran selamat & mesra kanak-kanak
  7. Mempunyai sesi pagi hingga petang 
  8. Menyediakan pemakanan yang sihat
  9. Kadar yuran berpatutan
Kami membuat sedikit penyelidikan sebelum membuat keputusan. 6 buah tadika berjaya dijejaki. Namun, susah juga untuk membuat keputusan kerana kebanyakannya tidak memenuhi kesemua kriteria yang kami tetapkan. Pening juga kepala memikirkannya! Ada yang dah elok semuanya tapi jauh pula kedudukanya dari tempat kerja kami. Ada yang dekat tapi terlalu ramai pelajar dalam satu kelas. Ada juga yang dekat serta mempunyai kuota murid : guru yang sesuai tetapi tenaga pengajarnya pula yang kurang berpengalaman.

Dengan bantuan Allah, pencarian kami berakhir apabila Allah menemukan kami dengan satu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang agak baru ditubuhkan. Pengasanya ialah seorang guru veteran yang sudah lama berkhidmat sebagai pendidik di PASTI. Alhamdulillah, semua kriteria dipenuhi. In Sha Allah ini pilihan kami. Moga ia yang terbaik! Ameen.


Monday, October 14, 2013

Alhajju 'Arafah


Kami sedang menyaksikan lintas langsung dari 'Arafah sewaktu post ini dihasilkan. Masha Allah, betapa hebatnya kekuasaan Allah, lautan manusia dari segenap pelusuk dunia membanjiri tanah suci ini. Tiadalah tujuannya melainkan demi menegakkan syiar Islam yang agung.

Semacam ada suatu perasaan yang membuak-buak dalam hati kami tatkala mendengar khutbah yang disampaikan. Ya Allah, sampaikanlah kami ke sana dalam keadaan yang terbaik! Sesungguhnya kami begitu rindu untuk menjadi sebahagian daripada dhuyuufurrahmaan; tetamumu ya Allah! Perkenankanlah hajat kami ini, ameen ya Rabb!

Allahu akbar..
Allahu akbar..
Walillaahilhamd..

Salam Aidul Adha buat kami sekeluarga!
Semoga kita semua dapat meneladani pengorbanan & ketabahan aali Ibrahiim; keluarga Nabi Ibrahim a.s.

Sunday, September 1, 2013

Puasa 6


Bismillahi walhamdulillah,

Dah habis puasa 6 dah semua? Syawal tinggal beberapa hari je lagi. Kalau nak diikutkan, hampir setiap hari ada saja undangan rumah terbuka, betul tak? Jadi, pandai-pandailah letakkan prioriti masing-masing. Ayuh, mujahadah untuk habiskan bagi yang belum. Tahniah buat yang sudah sempurnakannya!

Apa kelebihan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ni?

Ya, seperti berpuasa selama setahun. Inilah tawaran yang semua orang Islam sepatutnya rebut!

Tuesday, July 16, 2013

Ramadhan 1434H

Bismillahi walhamdulillah,

Ramadhan Kareem...Allahu Akram!
Syukur ke hadrat Ilahi kerana sekali lagi mempertemukan kita dengan penghulu bulan yang sungguh mulia ini. Hari ini 7 Ramadhan. Bagaimana ibadah puasa kita pada kali ini? Harap-harapnya ada banyak peningkatan yang berlaku.

Hampir semua orang boleh menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun, jika sekadar itu matlamat puasa kita, ia tak ubah seperti kita sedang mengadakan mogok lapar. Na'uuzubillahi min zalik! Semoga ibadah puasa kita dapat menjadikan kita lebih bersifat kehambaan..hamba bertakwa yang mendambakan keredhaan Yang Maha Agung.

Bagaimana pula kita mendidik anak kecik kita tentang puasa?
Setiap ibu bapa ada cara yang tersendiri dalam mendidik anak-anak.

Pernah suatu ketika sewaktu semua orang sedang menghadap hidangan untuk berbuka puasa, puteri sulung kami bertanya, "Mama, puasa itu apa?" Terdiam kami seketika, memikirkan apakah susunan ayat yang sesuai untuk diungkapkan sebagai jawapan.
"Puasa tu, kita tak makan & tak minum pada waktu siang. Kalau orang azan Maghrib, dah masuk malam, baru kita boleh makan & minum. Kita buka puasa". Puteri kami yang berusia 3 tahun itu mengangguk-angguk mendengar penjelasan Mamanya. Entah faham, entahkan tidak.

Nak dijadikan cerita, keesokan harinya, sedang kami duduk bersantai di ruang keluarga, azan Zohor berkumandang. Sepantas kilat, Awatif menjerit, "Mama, dah azan! Mama dah boleh makan".

Oh, rupa-rupanya masih kurang kefahaman di situ!

"Ha'a, dah azan tapi masih siang lagi. Tu, kat luar masih terang! Mama belum boleh makan lagi, sayang". Awatif mengangguk lagi.

Senja berlabuh dan azan Maghrib dilaungkan melalui corong radio menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Saat itu juga menyaksikan satu kefahaman telah terbentuk pada diri anakanda kami.

"Mama, dah boleh makan! Dah gelap dah!", jeritnya dengan penuh teruja.

"Ya, Awatif. Jom, buka puasa sama-sama!", serentak kami mengajaknya.

Alhamdulillah. Semoga ia menjadi titik permulaan yang baik untuknya.

Sunday, June 23, 2013

Meal Shakes dan Keluarga Saya


Pad awal Februari yang lepas, setelah sekian lama membuat survey, saya nekad untuk mencuba Shaklee Energizing Protein (ESP) bagi mengatasi masalah badan yang cepat letih & tak bermaya. Saya juga sedang menyusukan anak kedua. Stok EBM saya ibarat kais pagi, makan pagi. Kais ptg, mkn ptg. Saya dimaklumkan ESP sangat sesuai untuk mengatasi masalah-masalah saya ini.

Tanpa berfikir panjang, saya menghubungi seorang kawan yang juga Shaklee Independent Distributor untuk menyertai Shaklee bagi membeli ESP dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Sedang saya teruja untuk mencuba ESP, ESP pula kehabisan stok di Shaklee Cawangan Kota Bharu. Sedih memanglah sedih sebab masih belum mendapat apa yang dihajati. Namun, itu tidak menghalang saya & suami mendaftarkan diri menjadi salah seorang pengedar bebas Shaklee, dengan harapan dapat membeli lagi produk Shaklee dengan harga istimewa pada masa akan datang. 

Sebagai ganti, saya dinasihatkan untuk mencuba Meal Shakes. Bukan setakat boleh dijadikan sarapan berkhasiat yang memberikan tenaga kepada orang dewasa, tapi Meal Shakes juga boleh diminum oleh kanak-kanak & membantu meningkatkan selera makan, membantu mengatasi sembelit dan mengawal asthma. Oh, sungguh sesuai utk seisi keluarga, apatah lg kami sekeluarga sering terkejar-kejar untuk bersarapan & anak sulung memang kurang selera makan serta kadang2 mengalami masalah sembelit.

Maka, jadilah Meal Shakes sebagai produk Shaklee pertama yang saya sekeluarga cuba hinggakan kami turut jatuh CINTA dgn produk-produk Shaklee yang lain. Memang TERBAIK!

Ayuh, sama-sama kita nikmati kebaikan-kebaikan produk Shaklee. Promosi harga runtuh Meal Shakes akan berakhir dalam masa 7 hari sahaja lagi! Jadi, buatlah pesanan sekarang juga sebelum "hot item" ini kehabisan stok.

Hubungi saya di talian: 0146301876
(Call/SMS/WhatsApp)

Thursday, June 20, 2013

Istikharah & Musyawarah

Bismillahi walhamdulillah,

Living is about choosing..

Nak bercinta sebelum kahwin / selepas kahwin?
Nak didik anak dengan pendekatan yang keras / lembut?
Nak ajar Quran dulu / ABC dulu?
Nak sarapan dengan nasi / Meal Shakes?
Nak bagi mak ayah wang tunai / barangan mewah?
Nak tidur awal / lewat?
Nak kerja dengan kerajaan / kerja sendiri?
Nak duit banyak / sikit?
Nak sambung belajar / terus kerja?
Nak tinggal di rumah banglo / rumah teres?
Nak infaq wang / nak simpan harta?
Nak bekerja bersungguh-sungguh / sambil lewa macam biasa/
Nak hidup dengan gembira / tertekan?
Nak masuk syurga / neraka?
......dan senarai ini akan terus bersambung & bersambung selagi hayat dikandung badan...

Di saat kita membuka mata daripada tidur sehingga mata kita tertutup kembali, kita berhadapan dengan terlalu banyak pilihan yang terbentang di hadapan mata. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara, kita perlu memilih. Pilihan yang diambil itu pula haruslah tepat supaya kesannya tidak mengecewakan si pemilih. 

Namun, mata kita bukan 'bionic eye'. Mata kita tidak mempunya magis untuk menilai setiap pilihan secara menyeluruh. Justeru, kita memang memerlukan Dia yang menciptakan mata kita; mata kasar & mata hati! Kita juga memerlukan bantuan daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam membuat pilihan supaya kita tak terjatuh dalam lubang yang sama seperti mereka.

Agar setiap gerak langkah yang dipilih itu terpandu, istikharah kepada Allah & musyawarah dengan manusia ialah solusinya. Ayuh, mari kita amalkan solat sunat istikharah sekerap mungkin & mendampingi mereka yang berilmu lagi berpengalaman dalam bidangnya agar langkah kita tidak tersalah. Kalau tersalah memilih lorong di dunia, kita masih berpeluang untuk membuat pusingan u. Namun, jika tersalah pilih itu melibatkan dosa & pahala yang pastinya akan dihakimi di akhirat, sudah tidak ada lagi kesempatan untuk kembali ke pangkal dunia setelah diadili di sana.
 

Living is about choosing.

Nak bercinta sebelum kahwin / selepas kahwin?
Nak didik anak dengan pendekatan yang keras / lembut?
Nak ajar Quran dulu / ABC dulu?
Nak sarapan dengan nasi / Meal Shakes?
Nak bagi mak ayah wang tunai / barangan mewah?
Nak tidur awal / lewat?
Nak kerja dengan kerajaan / kerja sendiri?
Nak duit banyak / sikit?
Nak sambung belajar / terus kerja?
Nak tinggal di rumah banglo / rumah teres?
Nak infaq wang / nak simpan harta?
Nak bekerja bersungguh-sungguh / sambil lewa macam biasa/
Nak hidup dengan gembira / tertekan?
Nak masuk syurga / neraka?
......dan senarai itu akan terus bersambung & bersambung...

Di saat kita membuka mata daripada tidur sehingga mata kita tertutup kembali, kita berhadapan dengan terlalu banyak pilihan yang terbentang di hadapan mata. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara, kita perlu memilih. Pilihan yang diambil itu pula haruslah tepat supaya kesannya tidak mengecewakan si pemilih. 

Namun, mata kita tidak mempunya magis untuk menilai setiap pilihan itu secara menyeluruh.

Tuesday, April 9, 2013

Happy Birthday, Awatif!

Bismillahi walhamdulillah,

6 April 2013, genap 3 tahun umur Nidaaul Awatif. Oh, sekejap je rasanya, kan? Dah besar rupanya anak dara kami ini. Kematangan yang ditunjukkan olehnya adalah seiring dengan usianya. Alhamdulillah, Awatif sedikit sebanyak sudah boleh diharapkan. Dia mudah menerima penjelasan kita dengan syarat disertakan rasional yang logik pada pemikirannya, contohnya kenapa kena buat begitu, kenapa tidak boleh buat begini.

Menjelaskan sesuatu dalam bahasa kanak-kanak bukanlah sesuatu yang mudah. Anak-anak kecil tidak dapat menilai perkataan yang mempunyai maksud yang abstrak. Mereka perlukan 'real evidence' yang dapat dilihat, didengar, dirasa atau dihidu. Perlu juga dimasukkan watak yang dikenalinya dalam memberi penjelasan tersebut supaya dia lebih memahami. Tapi, awas, jangan sampai kita menipu!

Contohnya:
Salah: "Awatif, jom tolong mama kemas rumah" - kanak-kanak susah untuk memahami makna perkataan 'kemas'
Betul: " Awatif, jom tolong mama masukkan mainan ke dalam bakul" - kanak-kanak lebih mudah memahami makna 'masukkan..ke dalam bakul'

Apabila sudah semakin besar, semakin banyak pula karenah baru yang diekspresikan. Walau apa pun ragamnya, kami sebagai ibu bapa perlu terus belajar untuk menangani setiap cabaran. Doa kami, semoga Awatif terus membesar menjadi insan yang bermanfaat buat semua serta diredhai Allah di dunia dan akhirat..ameen!

Tuesday, March 26, 2013

Maju Ke Hadapan

Bismillahi walhamdulillah,

Dengan izin Allah, setelah sekian lama menanti, akhirnya putera kami Muhammad Abeed berjaya mengorak langkah maju ke hadapan pada usia menginjak 11 bulan. Tingkah lakunya sekarang amat ligat, tak menang tangan kami menguruskan Abeed yang semakin aktif. Kami paling seronok apabila melihat Awatif & Abeed berinteraksi bersama-sama. Bermain atau bergelut, kedua-dua kondisi ini sangat menyenangkan hati kerana itu petanda skil sosial mereka berkembang dengan baik. Semoga kedua-duanya sentiasa menjadi penyejuk mata, penawar hati buat semua. Ameen.



Saturday, March 16, 2013

Guru Mesti Sabar

Bismillahi walhamdulillah,

Setelah lebih dua bulan tidak dikemaskini, Alhamdulillah, hari ini dapat juga mencoret sepatah dua kata. Terlalu banyak peristiwa yang berlaku seiring pantasnya masa berlalu. Yang paling memberi impak kepada kami ialah kesediaan anak sulung kami, Nidaaul Awatif untuk belajar mengaji secara formal.

Alkisahnya, kami sudah lama membelikan set buku "Iqra" untuk diajarkan kepada anak kami ini. Sejak hari pertama memperkenalkannya dengan buku ini, dia hanya mampu bertahan tak lebih daripada 2-3 minit untuk belajar mengaji. Bermain juga yang dikejarnya. Kami sudah sedia maklum bahawa anak kecil sepertinya hanya mampu memberikan tumpuan kepada buku untuk tempoh yang singkat, tapi tak sangka sebegitu singkat!

Bersabar dan terus bersabar..itulah sahaja jawapannya. Bak kata Mei Mei dalam cerita Upin & Ipin yang bertajuk "Bila besar nanti" tatkala menceritakan cita-citanya:

Upin: Cikgu, seronok ke jadi guru?
Mei Mei: Mestilah..saya mau ajar orang jadi pandai..macam saya!
Fizi: Kalau tak pandai, macam mana?
Jarjit: Kena marahlah..
Mei Mei: Tak boleh! Jadi guru kena sabar maa..ajar sampai pandai..


Berkat kesabaran, dari 2-3 minit sehari itulah Awatif berjaya mengenal A, Ba, Ta. Kami juga mendapati Awatif lebih berdisiplin apabila bergurukan Baba. Kalau dengan Mama, banyak pula ragamnya. Berkat kesabaran & konsistensi 'guru' serta 'anak murid', Alhamdulillah sekarang sudah menampakkan kemajuan, antaranya:
1) Boleh bertahan sehingga habis mengaji satu muka surat
2) Sudah boleh mengenal 'Ha'

Kami sedaya upaya memperuntukkan waktu selepas solat Maghrib setiap hari untuk mengaji Al-Quran. Itulah waktu yang paling sibuk buat kami terutamanya si kecil Muhammad Abeed yang turut sama berebutkan buku Iqra' Awatif. Slot mengaji & mengajar Al-Quran ini akan terganggu jika ahli-ahli rumah berada dalam keadaan tidak bersedia iaitu kelaparan & kerimasan. Jadi, perut semua ahli rumah perlu diisi dengan makanan jasmani sebelum Maghrib. Begitujuga dengan batang tubuh, harus dibersihkan sebelum azan berkumandang. Dengan berkurangnya gangguan kelaparan & kerimasan, barulah makanan rohani bisa disuapkan. Semoga rutin ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

p/s: Semua pengunjung dijemput ke blog kedua kami iaitu superparentschoice.blogspot.com yang baru sahaja dibangunkan. Terima kasih.

Wednesday, December 12, 2012

Span

Bismillahi walhamdulillah,

Anda tahu apakah itu span? Dalam bahasa Inggeris, span disebut sebagai "sponge". Sifat utama span ialah dapat menyerap cecair dengan sangat efisyen. Bukan sekadar itu, apabila span yang dipenuhi air ditekan, maka span  tersebut akan mengeluarkan isipadu air yang diserapnya tadi dengan begitu baik. Hampir semua yang diserap akan keluar.

Berikut diceritakan beberapa situasi sebenar yang ada kaitannya dengan tajuk pada kali ini.

SITUASI #1:

Setahun yang lalu..
Si kecil Awatif sedang menangis mungkin kerana kebosanan, manakala Mama sedang sibuk memasak di dapur. Selesai menutup api dapur, Mama bergegas mendapatkan Awatif.

Mama: Sshh, Awatif..bakpo, sayang? Mama ado ni, jange jerit..nanti Mama bagi susu deh..
Awatif: Mammaaa..

SITUASI #2:

Kini..
Awatif sedang ralit bermain, si kecil Abeed pula sedang menangis mungkin kerana kebosanan, manakala Mama sedang sibuk memasak di dapur. Selesai menutup api, Mama bergegas mendapatkan Abeed. Dari jauh, kedengaran di cuping telinga Mama si kakak bercakap dengan si adik.. 

Awatif: Sshh, Abeed..bakpo, Abeed? Mama ado, jange jerit..nanti Mama bagi susu deh..
Abeed: Mammaaa..
Mama: Ye, sayang..Mama ado ni..(sambil tersenyum)

SITUASI #3:

Selepas satu, satu Awatif mengeluarkan barang permainan daripada bakul khas yang menyimpan barang-barang tersebut. Setelah puas bermain, ditinggalkannya barang-barang tersebut berselerakan di ruang tamu. 

Mama: Apo Awatif ni..kubey sokmo! Ish, ish ish..letak barey meyney ni dale bakul semula..(sambil mata dibesarkan).

SITUASI #4:

Sewaktu Mama memandikan Abeed di dalam bilik mandi, tanpa disedari, tangan Abeed mencapai sebuah bekas berisi berus-berus gigi yang berada di atas sinki. Bekas tersebut terbalik, lalu menumpahkan semua berus gigi ke atas lantai hingga membuatkan Awatif yang sedang mencuci tangan terkejut.

Awatif: Apo Abeed ni..kubey sokmo! Ish, ish, ish..letak berus gigi ni dale bekas semula..(sambil mata dibesarkan).

Kesimpulannya..

Anak-anak ibarat span. Bak kata Prof. Dr. Muhaya Hj. Muhamad dalam bukunya 'Celik Mata dan Jiwa':
"Perkembangan usia kanak-kanak 0-6 tahun - Mereka seperti span, ikut sahaja apa yang mereka lihat. Oleh itu pada peringkat usia sebegini para ibu bapa perlu menerapkan perkara-perkara yang baik sahaja. Seperti terapkan dengan mendengar al-Quran, menonton televisyen yang berunsurkan kebaikan dan sebagainya".

Anak-anak ini akan meniru apa sahaja yang dibuat dan dituturkan ibu bapa. Jika kita selalu bercakap dengan nada marah-marah, dia akan belajar untuk marah-marah. Jika kita ajarkannya membaca doa setiap kali melakukan sesuatu dan kita sendiri berbuat demikian, maka mulutnya akan lancar memanjatkan doa tanpa perlu disuruh-suruh. 

Semoga kita semua menyedari akan hakikat ini & bersedia untuk menjadi contoh tauladan yang terbaik buat zuriat-zuriat kita. Bersedia untuk berubah ke arah yang lebih baik!

Thursday, November 1, 2012

Mencari Mama

Bismillahi walhamdulillah,

Sedar atau tidak, kita semua sebenarnya sedang berada dalam suku akhir tahun 2012. Anakanda Nidaaul Awatif sudah pun berumur 2 tahun setengah manakala anakanda Muhammad Abeed berusia 6 bulan. Subhanallah, perkembangan tumbesaran si kecil-si kecil kami ini sangat menakjubkan! Abeed yang mula meniarap pada umur 3 bulan lebih kini sudah mula menunjukkan tanda-tanda untuk belajar duduk. Alhamdulillah, berjaya juga Abeed mendapat susu ibu secara eksklusif! Makanan separa pepejal pun sudah diperkenalkan dan ini menjadikan sesi menyuap Abeed merupakan momen yang amat menyeronokkan buat kami sekeluarga. Belum pun habis makanan di dalam mulutnya, cepat pula tangannya menyambar sudu atau makanan di tangan kita. Melihatkan gelagatnya membuatkan kami lebih bersemangat untuk menyediakan yang terbaik untuknya.

Awatif pula sudah lancar membaca doa makan, doa masuk tandas & keluar tandas, doa menaiki kenderaan serta doa tidur. Selain itu, menulis & melukis menjadi hobinya. Beri sahaja pen & kertas, Insya Allah Awatif akan terus tekun mengasah bakat. Sekarang, Awatif pandai menulis huruf A, T, M, O dan boleh melukis kartun orang lidi, pasu dalam bunga, layang-layang, dan bentuk-bentuk asas. Pemerhatiannya amat tajam. Awatif akan meminta kita melukiskan untuknya satu objek berkali-kali sehingalah dia sendiri berpuas hati dan dapat melukis sendiri objek tersebut sepertimana yang kita telah lukis, sebijik sama!

Dalam pada memerhatikan perkembangan-perkembangan anak- anak, kami sering terlepas pandang satu perkara yang sangat penting iaitu perkembangan emosi. Alkisahnya, pada suatu petang, Awatif meragam. Sekejap-sekejap dia menangis seolah-olah semua yang dibuat oleh Mama dan Baba serba tidak kena di matanya. Kami yang kepenatan kerana baru pulang dari kerja terus membahagikan tugas; Mama susukan Abeed dan siapkan dia untuk tidur, manakala Baba suapkan makanan untuk Awatif, mandikannya dan siapkan dirinya. Namun, perancangan ini nampaknya tidak menjadi kerana Awatif menangis-nangis mahukan Mama yang buatkan semuanya untuk dia. Yang pelikya, apabila Mama mahu ambil alih untuk mempersiapkannya, dia tetap menangis meraung-raung. Malu juga kalau raungannya itu didengari jiran, entah apa pula yang mereka sangkakan nanti. Hmm, mati kutu kami dibuatnya.

Usai memandikan Awatif, tangisannya masih juga belum reda. Pelbagai usaha dilakukan untuk memujuknya namun sia-sia. Tidak guna jika kita meninggikan suara ketika itu. Tidak tahu apa lagi yang patut dilakukan, Mama merangkul tubuh Awatif yang masih belum berbaju itu lantas mendudukkannya di ribaan. Dengan kuasa Allah, tidak semena-mena tangisannya berhenti. Allah, di saat itu juga air mata kami bergenang! Anak sulung kami ini sebenarnya mahukan dirinya diberi perhatian sepertimana adiknya mendapat layanan kami.

Si kecil ini mencari Mamanya yang dikenalinya dahulu..Mamanya yang sering membawanya ke mana sahaja, membelainya tidak kira masa, mengucupnya siang dan malam. Ampunkan kami Ya Tuhan kerana kami telah terlalai! Syukur Ya Allah, kerana menyedarkan kami!

"Sayang, sebenarnya dari tadi lagi Abang tengok Awatif nak Sayang layan dia", ucap Baba dalam nada yang sebak dan menyebabkan air mata Mama terus mengalir.

Maafkan Mama, ya sayang. Mama terlupa bahawa anak Mama ini sudah besar dan emosi anak Mama ini sedang berkembang dengan pesat serta perlu dibangunkan dengan penuh berhati-hati. Sungguh, Mama terlalu menyayangimu!


Monday, September 24, 2012

Berehatlah Dulu

Bismillahi walhamdulillah,

Mama diberi MC selama 2 hari gara-gara menjalani minor surgical procedure semalam. Ingrown toenail: itulah penyebabnya. Walau apa pun sakit yang dirasai, bersyukurlah atas ujian Tuhan kerana itu tanda kasihNya kepada kita, hamba yang selalu alpa kepadaNya. 

Terasa pelik pula apabila anak-anak tiada di sisi kerana dihantar ke rumah pengasuh sedangkan Mamanya berehat di rumah. I really miss them! Kata Baba, Mama perlu berehat. Baiklah, berehat. Apa yang Mama buat semasa berehat? Berikut adalah aktiviti Mama semasa berehat:

1- Sarapan
2- Mengadap iPad - buka Facebook, cek emel, baca berita, belayar ke sana sini
3- Solat dhuha, mengaji
4- Telefon pejabat - bertanya kenapa gaji Mama belum naik lagi
5- Kemas rumah yang tunggang-langgang - menyapu, mengemop, mengelap
6- Solat zohor
7- Tidur - 15 minit
8- Kemaskini blog ini...
9- Selepas ini: memasak..insya allah

Kesimpulannya, tiada istilah berehat bagi seorang isteri merangkap ibu meskipun dalam keadaan uzur. Bak kata seorang sahabat, "Kalau boleh, semasa tidur pun nak buat kerja". Justeru, marilah kita lebih menghargai ibu kita. Juga, buat para suami, hargailah ibu kepada anak-anak kalian! 

Peace, no war! ;)

Thursday, July 12, 2012

Keluarga Haraki

Bismillahi walhamdulillah,

Sudah hampir 3 bulan Mama bercuti dan hampir 3 bulan jugalah Mama tidak menghadiri mana-mana usrah. Hanya berusrah dengan Baba & anak-anak sahaja di kediaman baru kami :) Terasa ada ruang-ruang kosong yang tidak terisi di dalam hati dan rindu kepada sahabat-sahabat acap kali bertamu di sanubari. Seakan mengerti tentang kegusaran ini, seorang sahabat mencadangkan untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan perancangan usrah. Apa yang sangat menarik ialah perjumpaan tersebut berlangsung di teratak kami. Alhamdulillah, kedatangan tetamu sungguh memberi rahmat!

Sahabat 1: Kita kena cari satu tarikh yang semua orang available untuk adakan usrah.

Sahabat 2: Pada zaman dah bekerja & berkeluarga ni, saya rasa mustahil untuk kumpulkan semua orang pada satu masa..zaman belajar dulu bolehlah

Sahabat 3: Jadi, apa kata kalau kita pilih satu masa yang majoriti boleh hadir?

Sahabat 1: Hmm, susah sebenarnya kan? Kalau kita free, cik abang pulak yang tak free, ada usrah jugalah, meetinglah, programlah..siapa yang nak jaga anak? Kena bergilir-gilir jugak tu

Sahabat 3: Alah, bawalah anak-anak tu datang usrah sekali dengan kita..biar dia tahu apa yang ummi & abi dia perjuangkan sampai sibuk sangat tak boleh lekat kat rumah.

Sahabat 1: Ish, tapi nanti anak-anak ni buat kacau macam mana?

Sahabat 2: Setakat mana sajalah mereka tu boleh kacau kita? Budak-budak memang macam itulah. Inilah mujahadah namanya!

Sahabat 1: OK, OK..stuju! Kita cuba ya..

Begitulah asam garam orang yang nak perjuangkan Islam, kan? Jika kita sebagai seorang pelajar, selalu dinasihatkan agar diletakkan perjuangan itu pada tempat nombor 1 akan tetapi pelajaran bukanlah pada nombor 2. Apabila sudah berkeluarga, perjuangan tetap nombor 1 dan keluarga bukan nombor 2. Janganlah pula ibu-bapa asyik berpencak di medan, anak-anak di rumah berantakan! Nauzubillah..

Selamat membina keluarga haraki ('yang bergerak') kepada semua pejuang Islam walau di mana-mana posisi sekalipun anda berada! Semoga anak-anak kita menjadi Abnaa-ul-harakah, Soleh wa Musleh..ameen ya rabb.