Sunday, February 20, 2011

Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 1 - ILMU

Bismillahi walhamdulillah,

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama 2 tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan & pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan".

[Surah Al-Baqarah: ayat 233]


Firman Allah s.w.t. yang kami persembahkan di atas hanyalah sepotong ayat daripada beberapa potong ayat al-Quran yang berkait dengan penyusuan ibu. Umum mengetahui bahawasanya setiap sesuatu yang dinyatakan di dalam Al-Quran pasti mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Begitu jualah halnya dengan penyusuan ibu. Sains moden baru sahaja menjumpai khasiat & kepentingan susu ibu kepada bayi sedangkan Islam ternyata lebih mendahului pemikiran & penemuan manusia. Subhanallah, betapa indahnya Islam & begitu Agungnya Allah!

Kalau nak dibandingkan ilmu yang Allah miliki dengan ilmu yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita, sangatlah kecil kuantiti & kualitinya. Diibaratkan, sekiranya kira mencelup jari kita ke dalam air laut dan kemudiannya kita angkat jari itu, air-air yang melekat di jari kita itulah ilmu kita dan air seluas lautan itulah ilmu Allah s.wt. Yang Maha Bijaksana. Setiap perbuatan yang kita lakukan, hatta amal ibadah yang kita laksanakan seharusnya bersandarkan ilmu yang betul & syariat yang sahih. Amat rugilah orang yang beramal dalam keadaan jahil dan lebih rugilah orang yang tidak beramal kerana dia jahil. Do the right thing in the right way!
Justeru, apa pula kaitannya ilmu & penyusuan ibu? Nak menyusukan bayi pun perlukan ilmu jugakah? Jawapan kami: ya, sudah tentu!
Mari kita perhatikan apa yang berlaku di sekeliling kita dan di dalam keluarga kita sendiri serta jawablah soalan berikut dengan sejujurnya:
  1. Berapa ramai umat Islam yang sedar bahawa memberikan bayi susu ibu merupakan salah satu syariat yang begitu dianjurkan oleh Islam, terkandung dalam al-Quran & al-hadith?
  2. Berapa ramai yang betul-betul yakin & percaya bahawa air susu ibu sebenarnya jauh lebih berkhasiat kepada bayi berbanding dengan susu formula?
  3. Berapa ramai ibu bapa atau bakal-bakal ibu bapa yang mencari maklumat secara serius tentang cara-cara untuk menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada bayi?

Semua jawapan kepada soalan-soalan di atas sebenarnya berkait-rapat dengan ILMU. Oleh sebab itu, walau siapa pun kita, sama ada diri kita ini seorang ibu, ayah, datuk, nenek, anak, cucu atau bibik sekalipun, ayuh, mari kita persiapkan diri kita dengan ILMU YANG MENDALAM demi kesejahteraan ummat! Insya Allah.

Thursday, January 27, 2011

Ada Apa Dengan Anak?

Bismillahi wal hamdulillah,

Berikut merupakan sedikit informasi berguna yang ingin kami kongsikan bersama para pengunjung Permata Mustofain sekalian: "Childhood Developmental Milestone" yang dipetik daripada buku Paediatric Protocols For Malaysian Hospitals (2nd Edition).

Untuk si kecil yang berumur 9 bulan lebih seperti puteri kami Nidaaul Awatif, perkembangan yang normal ialah:

GROSS MOTOR:
  1. Sits steadily.
  2. Leans forward but cannot pivot.
  3. Stands holding on.
  4. Pulls self to stand.

FINE MOTOR:

  1. Inferior pincer grasp (Scissors grasp)

SPEECH/LANGUAGE:

  1. Localises sound at 3 feet, above and below the ear level.

SOCIAL:

  1. Feeds with spoon occasionally.
  2. Looks for fallen toys.
  3. Understands “NO!”

Alhamdulillah, Awatif sudah pandai duduk sendiri dan merangkak. Kalau dia didudukkan, asyik mahu berdiri sahaja keinginannya..tak boleh duduk diam lama-lama. Apabila diberikan barang mainan, entah ke mana-mana sahaja barang-barang tersebut dicampakkannya.

Pantang jumpa rambut sehelai di atas lantai, Awatif akan mengutipnya dengan jari-jemari kecilnya yang comel dan jika tidak diperhatikan, mungkin sahaja benda yang ditangannya itu disuakan ke dalam mulut. Gigi tajamnya sebanyak 4 batang itu suka menggigit itu dan ini dan Mama Awatif selalu sahaja menjerit kesakitan sewaktu menyusukan Awatif. Namun, jeritannya itu disusuli pula dengan senyuman tatkala menyedari bahawa anaknya itu semakin membesar dengan sihat.

Sekali lagi kami bersyukur atas kurniaan Allah ini. Akan kami menjaga dan mendidik amanah Allah ini dengan sebaik-baiknya, insya Allah. Sebenarnya, tahap perkembangan seseorang anak itu adalah berlainan dengan seorang anak yang lain. Fakta-fakta yang kami kongsikan di atas hanyalah kenyataan umum untuk dijadikan panduan supaya setiap ibu bapa prihatin terhadap apa sahaja yang berlaku terhadap anaknya. Jika keadaan tidak seperti yang dijangka, rujuklah anak kepada mereka yang pakar dengan segera, usah berlengah! Sesungguhnya, setiap rengekan, tangisan & mimik muka anak itu mempunyai maksudnya yang tersendiri. Maka, sensitiflah terhadap apa jua kondisi anak anda!

Sunday, December 26, 2010

Good Morning Person

Bismillahi walhamdulillah,

Puteri kami Nidaaul Awatif sudah berusia 8 bulan lebih dan secara rasminya, kami suami isteri telah pun berjaya menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Provisionally Registered Pharmacist (PRP). Si suami kini berkhidmat sebagai Fully Registered Pharmacist (FRP) di Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Kelantan, Pengkalan Chepa manakala si isteri ditempatkan di Unit Farmasi, Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa. Alhamdulillah, dapat tempat kerja berdekatan dan sehaluan. Dapatlah kami ke tempat kerja menaiki satu kereta dan sekali-sekala keluar makan tengahari bersama-sama.

Rutin kami, lebih kurang pukul 7.15 pagi kami akan keluar rumah dan jika tiada kesesakan lalulintas, kami akan sampai semula di rumah lebih kurang pada pukul 6 petang. Hingga sekarang, kami masih lagi menetap bersama dengan ibu bapa tapi dalam masa yang sama sedang mencari-cari peluang untuk tinggal di rumah sendiri. Lagi bagus, kalau dapat rumah yang lebih dekat dengan tempat kerja.

Bukan apa, jauh di sudut hati kami suami isteri ingin juga merasa bagaimana menguruskan hal ehwal rumah tangga bersama-sama di rumah sendiri. Kami ingin menjadi good morning person, seperti mana yang disarankan oleh Dr. Arif, Ketua Jabatan Psikiatri HRPZ II dalam tazkirah yang disampaikan oleh beliau dalam salah satu perjumpaan yang kami hadiri. Mungkin ada yang bertanya, "Kenapa, sebelum ni tak jadi good morning person ke?" Jawapannya, memang kami morning person tapi belum boleh dapat title good morning person = orang yang berpagi-pagian.

Bagaimanakah yang dikatakan a good morning person?
  1. Bangun awal pagi sebelum subuh dan qiyamullail - dirikan solat sunat sekurang-kurangnya 2 rakaat solat sunat tahajjud
  2. Persiapkan diri, pasangan dan anak
  3. Solat Subuh - seboleh-bolehnya berjamaah
  4. Bersarapan bersama-sama sebagai satu keluarga
  5. Sedia untuk meneruskan aktiviti harian...
Hmm, bersarapan bersama-sama sebelum keluar bekerja? Sekarang ini pun, kami suami isteri asyik bersarapan dalam kereta je. Mampukah kita berbuat demikian? . If there is a will, there is a way..insya Allah! Sebenarnya, inilah amalan orang-orang yang berjaya. Malah, berpagi-pagian juga sebenarnya amalan Rasulullah. Jika kita perhatikan suasana di hotel lima bintang misalnya, para businessman yang menginap di situ akan turun sarapan seawal jam 6.30 pagi sebelum bergerak ke destinasi masing-masing. Tentunya mereka bangun daripada tidur dan mempersiapkan diri lebih awal daripada itu! Dengan itu, barulah kita tidak terkejar-kejar dan keletihan di awal pagi. Apabila hari kita dimulakan dengan suasana yang baik, insya Allah kebaikan akan mengiringi kita sepanjang hari..dan mungkin hingga ke malam.

Ayuh, berpagi-pagianlah kita!

Saturday, November 27, 2010

Ekspo Cheng Ho 2010

Bismillahi wal hamdulillah,
Ekspo Cheng Ho yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada 21 - 26 November 2010 telah pun berakhir dengan jayanya semalam. Tahniah kami diucapkan kepada pihak penganjur & para sukarelawan yang penat bertungkus-lumus bagi memastikan kelangsungan ekspo yang sungguh bermakna ini.
Model Kapal Laksama Cheng Ho

Alhamdulillah, kami sekeluarga berpeluang merasai sendiri kemeriahan ekspo yang diadakan. Bukan setakat sekali kami berkunjung ke sana, malah dua kali! Amat banyak kelainan yang ditampilkan. Yang paling kami kagumi ialah kesatuan yang ditunjukkan oleh rakyat Kelantan yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama dalam merealisasikan aspirasi kerajaan negeri. Masyarakat Melayu dan Cina saling bahu membahu dalam semua aspek; kesukarelawanan, perniagaan & perpaduan. Semoga umat Islam semua mewarisi semangat dan teladan yang ditunjukkan oleh Laksamana Cheng Ho @ Zheng He, ikon kepada ekspo ini yang beragama Islam, bercita-cita tinggi sedari kecil untuk menjelajah dunia & akhirnya diberi kepercayaan untuk mengetuai misi perdagangan (baca: keamanan), bukan persengketaan!

Antara 'hasil-mahsul tangkapan' Baba & Mama Awatif di Ekspo Cheng Ho

Wednesday, November 17, 2010

Salam Eidul Adha!

Bismillahi wal hamdulillah,

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Selamat menyambut Hari Raya Qurban kami ucapkan kepada seluruh kaum muslimin & muslimat!

Alhamdulillah, akhirnya, dengan izin Allah, dapat juga kami kemas kini blog yang sudah berbulan-bulan lamanya terbiar. Beberapa hari yang lalu, sempat Mama Awatif berkata kepada Baba Awatif, "Abang, kuat sungguh impak Lailatul Qadr kepada kita ye..orang lain dah bercerita pasal raya haji, blog kita masih dengan Lailatul Qadr nya". "Isk, isk, isk..insya Allah kita update ye, sayang", jawab Baba Awatif.

Alhamdulillah, cuaca di Kota Bharu pada hari raya ini sangat baik, cerah dan tidak hujan. Ibadah korban yang dirancang telah pun berlangsung dengan lancar. Baba Awatif telah selamat korban 1 bahagian lembu di kampung Mama Awatif manakala Mama Awatif menyertai ibadah korban di Kemboja tanpa perlu hadir ke sana. Seronok sungguh rasanya apabila dapat bergotong-royong bersama-sama dengan sanak saudara 'menumbangkan' lembu dan memasak daging lembu yang amat segar. Moga setiap titis darah yang mengalir daripada haiwan korban ini menjadi saksi terhadap keikhlasan hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan pastinya ada ganjaran yang lebih baik menanti hamba-hamba Allah ini di Sana.

Insya Allah kami berazam untuk melakukan ibadat korban setiap tahun mendatang, kalaupun tak dapat kedua-duanya, paling kurang salah seorang dari kami akan melaksanakan ibadah korban. Saat paling manis apabila bahagian daging diserahkan kepada insan yang memerlukan, terukir senyuman tanda syukur gembira mereka menerima pemberian kami...seakan sukar untuk kami ketemu lagi senyuman paling indah seperti ini. Teringat kami peristiwa Nabi SAW menyembelih seekor kambing lalu Baginda menyuruh A'isyah RA supaya mengagih-agihkan daging sembelihan itu. Setelah A'isyah pulang, Baginda SAW bertanya kepada A'isyah: Apa yang tinggal untuk kita? A'isyah menjawab: Untuk kita hanya tinggal satu bahagian kaki kambing tersebut. Lantas Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya yang tinggal untuk kita ialah semua bahagian kambing itu kecuali kaki tersebut." Ingatlah sahabat sekalian, sedekah itu harta kekal bagi kita.
Pejam celik, pejam celik, puteri kami kini sudah pun berusia 7 bulan, sudah ada 2 batang gigi bawah, sudah pandai bergurau, sudah kenal orang, sudah boleh berguling-guling, dan sudah pandai membebel. Tenang rasanya apabila melihat anak sendiri membesar dengan sihat. Namun, sekali sekala hidup ini perlu diuji. 3 minggu lepas, Awatif demam panas; on & off fever. Demam reda seketika apabila ubat paracetamol @ panadol diberikan dan tepid sponging dilakukan. Akan tetapi, suhu badannya kembali meningkat selepas kesan ubat & air hilang. Seminggu hampir berlalu dan keadaan anak kami masih juga begitu. Masuk hari yang ke-9, kami nekad untuk membawanya ke klinik.

"Lungs dia ok ke, doktor?", Mama Awatif bertanya kepada Doktor Ziad Azhari yang sedang memeriksa belakang dada Awatif dengan stetoskopnya.

"Lungs ok. Most probably viral fever tapi sebab dah seminggu demam, saya akan bagi juga antibiotic untuk cover any bacterial infection", ujar si doktor .

"Hmm, doktor nak bagi antibiotic apa? Anak kami tak pernah on any antibiotics"

"Broad-spectrum antibiotic, amoxicillin."

Selepas dua hari Awatif diberi antibiotic, pagi Ahad muncul ruam bintik-bintik merah di seluruh badannya, mula di bahagian muka seterusnya ke seluruh badan. Sah puteri kami mengalami demam campak. Walaupun kasihan melihat Awatif merah-merah satu badan, tambahan dengan rasa tak selesa dek virus campak, sekurang-kurangnya kami lega persoalan demam Awatif yang berpanjangan seakan-akan menemui jawapannya. Ini akan mematangkan lagi sistem imun dalam tubuh kecilnya.. Alhamdulillah!

Thursday, August 26, 2010

Kembara Lailatul Qadr

Bismillahi wal hamdulillah,

Selamat menghidupkan bulan Ramadhan kami ucapkan kepada semua! Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur dan berkesempatan untuk melalui fasa yang ketiga Ramadhan.

Ramadhan..awwaluhu rahmah, wa ausathohu maghfirah wa aakhiruhu 'itqun minan naar!

Fasa pertama sudah pun berlalu. Mari kita semak semula, apakah kita telah pun merasa RAHMAT yang ada padanya? Jika ya, alhamdulillah, itu satu permulaan yang sangat bagus, Jika tidak, usah risau kerana masih ada peluang untuk kita.

KEAMPUNAN pula Allah janjikan untuk fasa yang kedua. Moga-moga, kita memperoleh secebis keampunan daripadaNya. Jika dihitung berapa banyak dosa yang telah kita lakukan, nescaya kita akan berasa teramat malu dengan Allah. Namun, Allah yang Maha Pengampun itu tidak pernah berkira dengan kita hambanya. Hanya kita sahaja yang selalu berkira-kira dengan Allah. Pun begitu, masih diberiNya pula peluang untuk kita menginsafi diri. Astaghfirullahal 'azim!

Kini, fasa ketiga Ramadhan telah pun tiba. Doa kita agar kita semua agar diberi PEMBEBASAN daripada azab api neraka..ameen. Marilah kita merebut segala peluang yang terbentang di hadapan mata. Ayuh, kita persiapkan diri untuk meneruskan kembara demi memburu Lailatul Qadr, malam yang nyata lebih baik daripada seribu bulan!

Oops, shopping untuk raya? Ala-kadar sajalah! Usah dilayan sangat nafsu itu kerana yang sedap di pandangan mata tak semestinya bagus untuk jiwa. Cukuplah jika dapat memberikan kebahagiaan buat insan-insan yang tersayang di hari raya nanti. Kalau dengan memberikan sepersalinan baru untuk mereka itu bisa menggembirakan mereka, maka lakukanlah. Namun, kehadiran kita di sisi mereka pastilah lebih mustahak daripada segala-galanya.

Sebenarnya, Ramadhan pada kali ini amat mencabar buat kami sekeluarga. Sebagai Baba & Mama kepada seorang bayi kecil, kami harus lebih kreatif untuk menguruskan masa di samping perlu sentiasa mengawasi gerak geri Awatif yang semakin aktif. Pantang ditinggalkan, Awatif akan terus meniarap dan berguling, membalik-balikkan tubuhnya ke kiri & ke kanan. Aduhai, jika tidak diperhatikan, boleh saja si cilik ini terjatuh daripada katil atau kepalanya terhentak ke lantai.

Dalam hal ini, kami suami isteri perlu lebih bertoleransi. Misalnya, Baba makan dahulu, Mama jaga Awatif. Kemudian, apabila Baba siap makan, Mama pula ambil giliran. Jika Awatif tidur, bolehlah kami berdua solat berjamaah bersama-sama & kemudian mengaji Al-Quran. Namun, kebiasaan yang terjadi adalah yang sebaliknya. Jadi, sistem giliran jualah yang terpaksa diaplikasi.

Mama Awatif selalu sedih kerana tidak berpeluang untuk menunaikan solat sunat tarawih di masjid. Tapi, apabila Baba Awatif berkata, "Tak apa, sayang.. Jaga anak pun dapat pahala & dikira ibadah..insya Allah", Mama Awatif pun berasa sedikit lega. Lain pula halnya dengan Baba Awatif. Kerana kepenatan selepas balik kerja, selalu sahaja tersengguk-sengguk dan kadang-kadang tertidur sewaktu mengulang ayat-ayat Al-Quran untuk dibawa sebagai bacaan dalam solat tarawih nanti. Mujur ada Mama yang menegur bacaan & mengejutkan Baba daripada lena.

Itulah dia ragam Ramadhan kami pada tahun ini. Setiap tahun pastinya berbeza. Pun begitu, kami berharap agar Ramadhan pada tahun ini adalah lebih baik daripada Ramadhan pada tahun-tahun sebelumnya.

Selamat menghidupkan 10 terakhir Ramadhan!

Hayatilah ayat tadarus Al-Quran bagi negeri Kelantan pada tahun ini (Ayat 63-77, Surah Al-Furqan) & semoga kita semua menjadi 'IBAADUR RAHMAN dalam erti kata yang sebenar!

Ameen ya Rabb..

Wednesday, July 14, 2010

Terus Belajar

Bismillahi walhamdulillah,

LIFE IS A LEARNING PROCESS..
Hidup ini adalah satu proses pembelajaran..

Setiap hari, pasti ada sahaja perkara baru yang kita pelajari. Sama ada pelajaran itu berbentuk formal atau tidak, isu itu tidaklah begitu penting. Asalkan kita mengamalkan apa yang kita pelajari serta mengambil iktibar daripada setiap pengajaran, itu sudah memadai untuk kita menjalani penghidupan yang lebih baik di hari muka.

Misalnya, sewaktu kita bekerja, kita terdengar suara bising bos kita yang sedari tadi asyik memarahi para pekerjanya. Itu tak kena, ini tak kena. Apa sahaja yang dilakukan pasti akan dikomen. Ya, mungkin pekerja yang dimarahi itu telah melakukan kesilapan sama ada dengan sengaja atau tidak. Namun, telinga kita yang mendengar tempikan si bos pasti akan berasa geram kerana pada pandangan kita, tindakan bos itu tidak begitu rasional, malah penuh dengan emosi serta mengaibkan insan yang dimarahinya. Jadi, pengajaran yang mungkin patut kita ambil ialah:
  1. sekiranya kita menjadi bos, kita tidak akan berkelakuan sedemikian terhadap anak buah kita kerana hanya apabila kita menghormati orang lain, orang lain akan menghormati kita
  2. tindakan emosional yang datangnya dari hati kita sebenarnya akan mengguris emosi insan lain
  3. ingat pesan Nabi kita: "La taghdhob, La taghdhob, La taghdhob!" yang bermaksud, jangan kamu marah, jangan kamu marah, jangan kamu marah.. Justeru, kawallah kemarahan kita. Dengan itu kita akan menjadi manusia yang KUAT
Sebenarnya, ada satu cerita yang ingin kami kongsikan di sini berkenaan tajuk pada kali ini. Pejam celik, pejam celik...usia puteri kesayangan kami sudah pun genap 3 bulan.

"Baby dah pandai senyum?"
"Dah.. Dah pandai nak berborak dengan kita pun"

"Apabila dia menangis, adakah dia akan senyap apabila dibawa berjalan-jalan di halaman rumah?"
"Ya, begitulah"

"Kaki dan tangannya banyak bergerak tak?"
"Banyak! Kalau dia tak tidur, kaki dan tangannya tak berhenti bergerak"

"Kalau ada barang terhempas ke lantai dengan bunyi yang kuat, adakah dia akan terus berpaling ke arah bunyi tersebut?"
"Ha'a"

"Sudah adakah tanda-tanda bayi akan meniarap?"
"Ada.. sekarang ini, dia banyak mengiringkan badan ke arah kiri"

"Ada tak bayi memasukkan ibu jari tangannya ke dalam mulut?"
"Ada, bukat setakat ibu jari, nurse..dia masukkan segenggam tangannya ke dalam mulut!"

Sesi soal-jawab di atas sebenarnya berlaku ketika puteri kami dibawa ke klinik desa untuk pemeriksaan bulanan & vaksinasi pada minggu lepas. Alhamdulillah, setakat ini Awatif masih lagi menyusu susu ibu sepenuhnya dan dikurniakan Allah kesihatan yang sangat baik. Beratnya pada minggu lepas ialah 5.3kg. Kini, Awatif sudah pun mula belajar meniarap meskipun asyik terkial-kial untuk mengeluarkan tangan kirinya yang selalu tertindih di bawah badan. Seronok betul melihat perkembangan yang terbaru ini!

Go, go..dear! Never give up!
Well, life is a learning process, right!