Saturday, May 15, 2010

1Tahun 1Aqidah 1Cinta

Bismillah wal Hamdulillah

Tepat jam 9.50 malam, 15 Mei 2009...Dua insan permata hati Mustofain sah diikat dengan ikatan aqidah, melalui ikatan pernikahan. Ikatan yang kukuh, ikatan yang menyatukan kami atas jalanNYA.

15 Mei 2010. Genap setahun. Alhamdulillah, tiada ucapan yang lebih layak untuk kami lafazkan, sambil menatap wajah antara kami...Seolah-olah baru semalam tangan Baba Awatif disambut dan dikucup oleh Mama Awatif dalam upacara membatalkan air sembahyang, seolah-olah baru sahaja selesai kenduri kesyukuran perkahwinan kami. Satu tahun...Perubahan demi perubahan telah kami lalui, bermula dengan hidup berdua, memulakan kerjaya professional, belajar terjun ke dalam alam realiti masyarakat, dunia dakwah yang menuntut segala-segalanya dari diri kami, meniti saat-saat sebagai bakal ibubapa, dan kehadiran insan baru penyejuk mata kami Awatif. Tiada yang lebih membahagiakan kami selain mengharapkan redha Allah sentiasa mengiringi perjalan keluarga kami.

Satu tahun menyemai cinta...Cinta selepas perkahwinan terus mekar mewangi. Agak melucukan apabila kami selalu mencari peluang untuk keluar 'dating', tidak kira waktu lunch hour, selepas pulang kerja, weekend dan bila-bila saja peluang terhidang =) Seronok mengenang kembali mula perkenalan kami bagaimana persefahaman dibentuk melalui acuan murabbi, bagaimana gejolak perasaan dikawal dan diurus mengikut jalur-jalur syar'ie, dan redha Allah dan ibubapa didahulukan dalam memanifestasikan cinta kami.

Satu tahun janji kasih termeterai...Baru selangkah kami menapak. KepadaNya kami memohon semoga dikuatkan kaki-kaki kami untuk terus menapak, selangkah demi selangkah menuju Mardhatillah.

"Sayang...Satu tahun. Abang terlalu bahagia memilikimu sebagai isteri Abang, terima kasih kerana menjadi Mama kepada anak Abang"

"Abang...Sayang betul-betul bertuah dapat menjadi isteri Abang, menjadi Mama kepada anak Abang." Air mata Mama Awatif mengalir....


Ya Allah...Kami ingin terus bercinta sampai ke SyurgaMU, dengan RahmatMU.

Friday, May 7, 2010

Juara Musabaqah

Bismillah walhamdulillah,

Kini, genap satu bulan usia Awatif. Bermakna, sudah sebulan jugalah kami bertiga menjalani kehidupan sebagai sebuah keluarga yang lengkap = ayah/suami + ibu/isteri + anak. Semalam, kami membawa anak kami ke Klinik Desa (KD) berdekatan untuk mendapatkan suntikan imunisasi serta menjalani routine medical examination (RME). Seawal jam 7.45 pagi lagi Awatif sudah dimandikan. Setelah itu dia disusukan dan terus tertidur. Almaklumlah, dari jam 4 pagi lagi Awatif sudah berjaga: sibuk 'bertarannum' dan mengejutkan Baba, Mama & Neneknya untuk 'qiyamullail'. Fuhh, suaranya sekarang semakin nyaring! Pitching tak lari langsung..hehe..

Setibanya kami di sana, sudah ada 2 orang patients sedang menunggu giliran. Seorang jururawat masyarakat (JM) mengarahkan Mama Awatif membuat ujian air kencing dan kemudiannya mengukur tahap tekanan darah, menimbang berat badan dan mengukur kadar hemoglobin dalam darah. Alhamdulillah, semuanya normal kecuali tekanan darah yang sedikt rendah. Yang paling menggembirakan Mama ialah berat badannya sudah turun..lagi 2kg untuk menghampiri berat badan sebelum mengandung =)

Urusan si ibu sudah selesai. Kini, tiba giliran Awatif pula untuk diperiksa. Oleh kerana Awatif akan ditimbang berat badannya, JM meminta kami menanggalkan semua pakaian yang dipakai oleh si kecil ini termasuklah lampinnya untuk mendapatkan berat badan yang sebenar. Justeru, kami meletakkan Awatif di atas toto yang disediakan. Sebaik sahaja baju ditanggalkan, Awatif yang tengah lena tidur tiba-tiba menangis dan terus menangis. Tidurnya terganggu barangkali. Awatif terus mempamerkan kebolehannya dalam "musabaqah". Kemuncaknya, apabila jarum suntikan hinggap di paha kirinya. Siap boleh tarik perhatian audiens lagi, boleh jadi juara musabaqah ni! Semua orang pandang kami yang terkial-kial memujuknya..huhu.. Alhamdulillah 'ala kulli haal, tumbesaran Awatif didapati normal. Suntikan imunisasi juga telah diberikan.

Sementara Mama diperiksa tadi, Babalah yang mejaga Awatif di dalam klinik. Baba Awatif ni sangatlah macho! Semenjak kami berurusan di KD ini seawal kehamilan, tidak pernah kami terserempak dengan mana-mana suami yang menemani isterinya di dalam KD. Kalau ada pun, mereka sekadar menunggu di pondok yang disediakan di luar klinik atau di dalam kereta. Tapi, apa yang dilakukan oleh si suami merangkap Baba Awatif ini sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan moral support kepada si isteri merangkap Mama Awatif sehingga membuatkan Mama Awatif terharu dan sekaligus bangga terhadap perhatian yang diberikan. Ucap Mama kepada Baba, "Terima kasih sangat-sangat, Abang!". Baba lantas membalas, "Sama-sama, Sayang. Abang sedih sebenarnya tengok patients kat klinik tu..tak boleh ke suami diorang ni ambil off sekejap untuk temankan isteri?"

Mungkin ada isteri yang tak pernah meminta untuk ditemani oleh suaminya. Tapi kalau tidur sebantal, makan sepinggan itu pun boleh dibuat bersama-sama, maka apalah salahnya kalau suami sudi menemani, kan? Insya Allah, akan menambahkan lagi keromantikan yang ada!