- mampu mengumpul stok susu yang banyak dalam masa yang sedikit
- harga berbaloi sesuai dengan spesfikasi yang direka
- senang dibawa ke sana ke mari
- ada jaminan (warranty) daripada syarikat pembuat
Selain daripada pam, pemilihan bekas penyimpanan susu perahan yang baik juga sangat penting. Sama ada bekas itu ialah sejenis botol atau beg plastik, pastikan ianya bebas toksin atau bahan kimia beracun. Sebaik-baiknya, carilah bekas "BPA-free".
Banyak kenangan manis yang tersulam pada lembaran kehidupan kami tatkala kami suami-isteri berkira-kira untuk membeli alat-alat kelengkapan ini. Tempoh tinjauan yang dilakukan agak lama tetapi natijahnya sekarang sangat memuaskan. Kami membeli pam agak lewat, iaitu setelah Awatif lahir ke dunia, sewaktu Mama Awatif dalam pantang. Pada waktu inilah, siang-malam Baba Awatif keluar meninjau, hampir semua kedai barangan ibu & bayi dijejakinya. Akhirnya, kami sepakat untuk membeli sebuah pam Pureen yang berharga RM100 lebih. Pam ini beroperasi dengan kuasa elektrik atau bateri, kecil dan boleh disambung dengan mana-manabotol susu. Alhamdulillah, pam ini sedikit sebanyak membantu Mama Awatif mengumpulkan stok semasa dalam pantang.
Namun, semakin hampir tarikh Mama Awatif untuk kembali bekerja, satu keperluan lain tiba-tiba muncul. Dengan bilangan pesakit yang sering meningkat dari hari ke hari, masa sebanyak 5 minit bagi seorang ibu yang bekerja sebagai pegawai farmasi sangatlah berharga. daripada situlah kami berpendapat bahawa kami memerlukan pam yang boleh mengumpul stok dengan banyak dalam masa yang sedikit. Rentetan daripada itu, beberapa siri tinjauan dilakukan sekali lagi untuk membeli set pam yang memenuhi kehendak.
Melalui majalah keibubapaan, laman web, Facebook dan lain-lain, kami mengumpul pelbagai maklumat yang berguna. Akhirnya, satu set kelengkapan penyusuan berharga hampir RM500 menjadi pilihan. Walaupun lebih mahal daripada yang pertama, kami amat berpuas hati dengan set ini yang terdiri daripada:
- 1 beg pendingin (cooler bag) Stylo Mama
- 1 set Spectra 3 'double pump'
- 8 botol susu Safety Plus BPA-free (untuk menyimpan susu perahan)
- beberapa keping thermal freeze ice pack
- beberapa keping plastik penyimpanan susu
Kalau nak dikiaskan kepentingan ALAT dan PENYUSUAN SUSU IBU, bolehlah ditamsilkan dengan MESEJ dakwah dan METOD dakwah. Dalam berdakwah untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan, MESEJ dakwah yang disampaikan adalah PENTING. Untuk menyampaikan mesej yang penting ini, METOD, cara / alat untuk menyampaikannya juga menjadi sama PENTINGnya.