Saturday, August 23, 2014

Siapa Pergi Dulu?

Bismillahi walhamdulillah, 

Semalam dan hari ini, newsfeed Fb dipenuhi dengan berita-berita tentang kepulangan jenazah mangsa-mangsa tragedi MH17. Gambar-gambar pilu ahli keluarga mangsa nahas turut sama menjentik sanubari, justeru menerbitkan rasa untuk mencoret sesuatu di sini.

Innalillahi wa inna ilaihi rooji'uun..
Kita datang daripada Allah & kepada Allah jualah kita akan dikembalikan..
Benarlah, MATI itu SEBAIK-BAIK PERINGATAN.

Siapakah di antara kita yang akan menjadi orang pertama dijemput menghadapNya? Mamakah? Atau Babakah? Atau anak-anakkah? Mati itu RAHSIA yang hanya diketahui oleh Al-Mumiit sebagaimana Dia jugalah yang Maha Menghidupkan. 

Berderai air mata Mama apabila memikirkan hal ini. Terlintas di benak fikiran, apakah cukup bekalan yang akan dibawa ketika menghadapNya? Apakah cukup bekalan yang akan Mama tinggalkan buat anak-anak Mama berjuang meneruskan hidup menjadi khalifahNya seandainya Mama pergi dahulu? 

Walau apa pun yang bakal terjadi, marilah kita sama-sama tadabbur intipati yang terkandung dalam Surah Ad-Dhuha, moga-moga ia menenangkan jiwa & menyuburkan hati-hati kita. 

Firman Allah, maksudnya:

1. Demi waktu dhuha

2. Dan demi waktu malam ketika sunyi sepi

3. Tiada sekali-kali Tuhanmu meninggalkanmu & tiada pula Ia murkakanmu

4. Dan sesungguhnya Akhirat itu lebih baik untukmu dari dunia

5. Dan sesungguhnya Allah akan memberi (limpah kurniaNya) kepadamu & engkau tetap berpuas hati

6. Bukankah dahulunya engkau seorang anak yatim piatu, lalu Allah memberi perlindungan kepadamu?

7. Dan bukankah dahulunya Allah dapatimu dalam keadaan tiada pedoman, lalu Ia memberi hidayah kepadamu?

8. Dan bukankah dahulunya Allah dapatimu miskin, lalu Ia memberi kekayaan kepadamu?

9. Oleh itu, janganlah engkau hinakan anak yatim

10. Dan janganlah engkau herdikkan peminta bantuan

11. Dan hendaklah engkau sebut-sebutkan nikmat Tuhanmu.

Allahu..tiadalah daya upaya kami melainkan dengan kuasaMu, Ya Rabbi..

Terlalu banyak perkara yang masih belum kami pelajari & masih banyak telaga hikmah yang belum kami gali. Kau kurniakanlah kami KEKUATAN & KESABARAN untuk melaksanakan segala tanggungjawab di atas dunia ini.. Ameen..

Antara hadiah-hadiah pemberian para sahabat kepada kami sempena kelahiran anakanda ketiga. Jazaakumullahu khairan kathiira!

Tuesday, August 19, 2014

Puasa 6

Bismillahi walhamdulillah,

Hari ini 23 Syawal 1435H, genap 2 minggu umur Nisreen Aisyah. Alhamdulillah, Aisyah sihat & makin kuat menyusu. Mama pun dah seminggu lebih simpan stok EBM untuk buat bekal Aisyah nanti. Harap-harapnya dapat penuhkan deep freezer sebelum masuk kerja nanti, in sha Allah.

Acik-acik kat luar tu, semua dah habis puasa 6 ke? Syawal masih berbaki 7 hari lagi. In sha Allah, sempat sangat bagi mereka yang belum memulakan puasa sunat ni, dengan syarat puasa berturut-turut setiap hari. Syawal tahun ni, Mama tak berpeluang temankan Baba berpuasa 6 ni. Tapi takpe, sokongan padu Mama kepada Baba masih sama, "Teruskan perjuangan ye, Abang! 2 hari je lagi nak habiskan, lepas tu dah boleh raya!"


Kenapa Islam menganjurkan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ni?

Jom, sama-sama kita ikuti kupasannya oleh Ustaz Abdul Basit di sini. Semoga beroleh manfaat & sama-sama kita sebarkan kepada yang lain.

Tuesday, August 12, 2014

Amanah Bertambah


Bismillahi walhamdulillah, 

Sudah lebih setengah tahun blog ini terabai..astaghfirullahal 'azeem. Maafkan kami atas kekhilafan ini. In sha Allah, blog ini akan kembali aktif selepas ini bersama hadirnya seorang lagi ahli baru dalam teratak Permata Mustofain. 

NISREEN AISYAH BINTI MOHD AZREEN nama diberi..


Alhamdulillah, lahirnya ke dunia pada jam 1.05 pagi, tanggal 9 Syawal 1435H bersamaan 5 Ogos 2014, hampir seminggu lewat daripada estimated due date (EDD). Puas sudah mama pergi beraya & kenduri di sana sini, si kecil tak mahu juga keluar menjengah ke dunia. Sudahnya, mama terpaksa "menyerahkan diri" di hospital pada 4 Ogos walaupun kontraksi bersalin masih belum betul-betul terasa. Baba dengan rela hati mengambil emergency leave (EL) semata-mata mahu menguruskan mama.

Disebabkan overdue, kami bersepakat untuk memilih HUSM sebagai hospital tempat bersalin. Dalam hati, tak putus-putus berdoa agar tidak di"induce", hanya staf perempuan yang akan mengendalikan mama & semua urusan dimudahkan Allah. Mama diarahkan untuk check-in di Wad 2 Baiduri (antenatal) sementara menunggu untuk bersalin.

Peluang berehat di dalam wad mama gunakan untuk membaca buku, mengaji, berzikir & bersosial dengan ibu-ibu lain yang rata-ratanya melalui kehamilan berisiko disebabkan oleh penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi & jantung. Alhamdulillah, mama sangat-sangat bersyukur kerana melalui kehamilan yang sihat.

Dikhabarkan bahawa labor room & postnatal ward penuh pada hari tersebut. Jadi, mama mohon daripada doktor yang memeriksa mama untuk balik berehat di rumah sahaja sementara menunggu tanda-tanda bersalin muncul. Permintaan mama ditolak lantaran "jalan" sudah pun terbuka 3 cm meskipun mama masih belum terasa sakit. Mama dinasihatkan untuk banyakkan berjalan-jalan dalam wad supaya cepat bersalin. Maka, mulalah mama mengukur inci setiap ruang dalam wad tersebut. 

Mujur juga mama dikurniakan kesempatan untuk berehat dalam antenatal ward ini. Sekurang-kurangnya mama dapat melaksanakan solat-solat sunat mengiringi setiap solat fardhu. Kalau di rumah, belum tentu mama akan buat. Yang paling menarik, jururawat di sini datang memberikan penerangan tentang penyusuan susu ibu di katil mama..dia bukan jururawat biasa, tapi ketua jururawat dalam wad ini. Memang terbaiklah, sesuai sangat dengan gelaran Hospital Rakan Bayi!

Setelah sekian lama menanti, akhirnya sakit kontraksi datang selang 10 minit selepas mama selesai menunaikan solat Isyak. Mama memaklumkan kondisi mama kepada jururawat yang bertugas. Namun, mama diarahkan untuk teruskan berehat di katil dahulu & hanya akan dibawa masuk ke labor room jika sakit kontraksi datang selang 5 minit disebabkan tiada katil kosong di sana.

Pada jam 11.15 malam, mama dibawa masuk ke labor room. Berdasarkan graf CTG, kata tuan doktor, belum ada kontraksi yang kuat & jalan masih 5 cm walaupun labor pain sudah terasa begitu perit sakitnya. Mama mohon untuk dikendalikan oleh doktor perempuan tapi kata tuan doktor house-officer (HO) ini, semua doktor perempuan masuk dewan bedah. Allahu..mama pasrah!

"Doktor, boleh panggil suami saya masuk?", mama memohon sambil menahan sakit. 

"Sekejap lagi, bila kita dah pecahkan air ketuban, kita benarkan suami puan masuk", ujarnya. 

Doa & zikir dilafazkan tanpa henti..
Hanya Allah tempat memohon segala sesuatu..
Mohon diampunkan segala dosa dengan ujian kesakitan ini..
Mohon juga agar proses kelahiran dipercepatkanNya..

Lebih kurang pada jam 12.15 pagi, air ketuban dipecahkan & setelah itu baba dibenarkan masuk. Dapat berpaut pada tangan baba pun sudah sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesakitan yang dialami. Apatah lagi tatkala mendengar ayat-ayat surah Maryam yang dibaca oleh baba, semangat mama menjadi semakin kuat. Usai wayar CTG dicabut, mama terus mengiring ke kiri & meminta baba mengurut pinggang mama. Tak sampai 5 minit urutan, doktor mengarahkan baba keluar & dibenarkan masuk semula jika tiba masa untuk "push". Oh, tidak! Kenapa perlu keluar di saat ini?

Tak sempat baba keluar, mama sudah terasa untuk meneran. Mama pegang kuat-kuat tangan baba & minta baba maklumkan kepada doktor tentang keadaan mama. Tuan doktor seakan tidak percaya kerana belum pun sampai sejam sejak air ketuban dipecahkan, takkan sudah mahu bersalin?

"Sekejap ya, saya cek jalan. Puan jangan teran dulu", pesan tuan doktor. 

Akhirnya, tak sampai 5 minit selepas itu, setelah sekuat tenaga difokuskan untuk push, terdengarlah tangisan zuriat kami yang ketiga ini. Si kecil yang diazankan & diiqamahkan oleh babanya ini terus diletakkan ke atas dada mama yang masih keletihan.

Subhanallah!
Alhamdulillah!
Allahu akbar!

Maka, bertambahlah amanah Allah ke atas kami.
Semoga setiap derap langkah dalam kehidupan kami diberkati & diredhaiNya. Ameen, ameen ya Rabb!