"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa"
Sunday, July 17, 2011
Tiru Macam Saya
Monday, July 4, 2011
Travelog Mama


PAGI 27/6/11:
Awatif masih nyenyak tidur di atas katil sementara aku yang dalam keadaan keterpaksaan sedang sibuk bersiap-siap utk meninggalkannya selama 3 hari 2 malam. Ya, "SAYA YANG MENURUT PERINTAH" wajib menghadiri Bengkel Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) di Tasik Kenyir,Terengganu.
Semasa bujang dulu, tentu sekali inilah peluang yang sangat dinanti-nantikan untuk berlibur. Tapi, itu dulu. Dulu lain, sekarang lain. Dulu solo, sekarang dah bertiga. Apabila biasa berjemaah, melakukan urusan secara fardi terasa amat janggal sekali. Kali terakhir kami sekeluarga berjauhan ialah sewaktu Awatif berusia 6 bulan, juga kerana menghadiri kursus. Lagi jauh jarak & tempoh peninggalannya, nun di Johor Bharu sana selama hampir seminggu. Setiap malam asyik berendam air mata kerana rindukan anak & suami. Hati menjadi lebih sayu apabila terpaksa membuang air susu perahan ke dalam sinki begitu sahaja kerana ketiadaan peti ais untuk penstoran.
"Sayang,kejutkan sajalah Awatif tu", saran suamiku yang turut sama mempersiapkan diri untuk ke pejabat.
"Lena sungguh anak kita tidur, kan abang? Tak sampai hati pulak nak bangunkan dia", ujarku sambil menahan rasa hiba di hati.
Ingin ku tatap wajah suci ini sepuas-puasnya, buat menjadi pengubat rindu di kala berpergian nanti. Saat air hangat hampir melipah dari tubir mata, aku segera memalingkan muka ke arah suami tercinta. Rasa hati bercampur baur. Sungguh berat hati ini untuk meninggalkan insan-insan kesayanganku ini walau seketika cuma. Ya Allah, kuatkanlah semangat kami, betulkanlah niat kami, dan permudahkanlah urusan kami! Masa terus bergerak ke hadapan dan aku harus bertolak dengan segera.
"Nidaaul Awatif, bangun sayang..", dalam nada berbisik aku memanggil namanya. Tiada respon. "Awatif, anak mama.." Jarinya bergerak-gerak perlahan, diikuti dengan senyuman manis terukir di bibir merahnya walau mata masih terpejam. Sejurus kemudian, dengan senyuman yang masih tidak lekang dari wajah, tangannya menggapaiku minta diangkat & didukung. Subhanallah! Inilah antara nikmat-nikmat teragung yang aku nikmati sepanjang aku menyandang gelaran 'Mama'.
Ya Allah, peliharalah diriku & ahli keluargaku daripada azab api neraka!
Thursday, May 26, 2011
Kembara Mei



Tuesday, May 10, 2011
Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 4 - MITOS vs. FAKTA
Bagi menyambung semula perkongsian tentang penyusuan susu ibu, bahagian keempat ini akan dimuatkan dengan berapa perkara penting yang harus diambil berat oleh setiap ibu bapa untuk menjayakan penyusuan susu ibu.
MITOS (M) vs. FAKTA (F):
M: Semasa berpantang, jangan minum banyak air, makan buah atau sayur. Kalau tak, peranakan berair & lambat kecut
F: Badan seorang ibu memerlukan air & vitamin serta mineral yang banyak untuk membantu proses penghasilan susu ibu & memulihkan fizikal selepas bersalin. Jika kurang minum air, sudah pasti susu yang dihasilkan adalah sedikit. Semakin banyak anak menyusu, semakin cepatlah pengecutan rahim berlaku kerana semasa menyusulah hormon yang diperlukan untuk pengecutan rahim dirembeskan .
M: Tak nak menyusukan anak kerana ingin menjaga bentuk badan
F: Menyusukan anak secara eksklusif sangat membantu mengembalikan semua bentuk badan ibu menjadi lebih langsing kerana kalori dan zat-zat penting untuk mengasilkan susu akan diambil daripada makanan yang dimakan oleh ibu. Oleh itu, bagi mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan, ibu-ibu dinasihatkan untuk makan makanan yang seimbang serta dalam kuantiti yang sederhana tetapi kerap.
M: Susu tak nak keluar. Kalau keluar pun terlalu sikit!
F: Usah panik! Stimulasi atau rangsangan adalah sangat penting dalam penghasilan susu ibu. Subhanallah, Allah telah menjadikan sesuatu yang sangat unik dalam hal ini! Sebenarnya, apabila bayi menyusu, payudara akan dikosongkan dan serta-merta otak akan menerima isyarat untuk merembeskan hormon oxcytocin untuk menghasilkan lebih banyak susu bagi menggantikan susu yang telah keluar & mengisi semula kekosongan yang ditinggalkan. Susukan bayi anda mengikut kehendaknya. Jika anda bekerja, jangan lupa untuk usahakan mengepam susu sekerap yang boleh supaya penghasilan susu tidak terjejas.
Selain daripada itu, keadaan mental ibu yang tidak stabil seperti berada dalam keadaan tertekan (stress) atau terlalu penat juga boleh merencatkan proses pengeluaran susu. Jalan keluarnya ialah: relax! Bertenanglah, wahai ibu! Maka, wahai ibu, tataplah wajah anakmu dengan penuh kasih sayang kerana apa yang kamu sedang lakukan ini adalah suatu pekerjaan yang sangat mulia! POSITIFKAN MINDAMU! Gantikan perkataan "susu saya sikit" kepada "SUSU SAYA BANYAK!" Insya Allah, dengan izin-Nya dan sokongan moral daripada si bapa, apa yang dirisaukan sebelum ini akan berakhir.
Alhamdulillah, berbekalkan tips - tips yang kami kongsikan di sini dan juga doa yang berterusan, Nidaaul Awatif yang kini berumur 13 bulan masih lagi meneruskan penyusuan susu ibu seperti biasa. Selamat meneruskan penyusuan susu ibu dan...
SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU!
Sesungguhnya, Allah mengurniakan gelaran IBU kepada anda kerana DIA ingin meninggikan darjat anda di sisi-Nya.
Justeru, berbahagialah wahai ibu-ibu yang beriman!
Wednesday, April 6, 2011
Sanah Hilwah Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen
Nidaaul Awatif permata hati Baba & Mama,
Suka Baba & Mama ulang pesanan ini setiap detik dan masa. Tiada lain, seperti Luqman menasihati anaknya dengan nasihat-nasihat yang agung:
Awatif...jangan syirik kepada ALLAH SWT, sesungguhnya syirik itu kezaliman paling besar.
Awatif...bersyukur dan berbaktilah kepada ALLAH (tegakkan agamaNYA), berbaktilah kepada Mama yang mengandung, menyusu dan mentarbiyyah Awatif dengan segala kepayahan, berbaktilah kepada Baba yang rela berkorban apa saja untuk Awatif.
Awatif...Taatilah Baba & Mama selagi mana Baba & Mama tidak membawa dirimu ke lembah maksiat & syirik.
Awatif...Berbuat baiklah sebanyak-banyaknya walaupun kebaikan itu hanya sebesar zarah, nescaya ALLAH menampakkan balasanNYA atas kebaikanmu.
Awatif...Dirikanlah SOLAT, ajaklah manusia ke arah maaruf, cegahlah manusia dari segala mungkar, dan BERSABARLAH sayang dalam melakukan semua ini.
Awatif...Jangan pandang rendah terhadap manusia, jangan berlagak sombong dengan manusia, kerana kita semua sama...kita semua adalah Hamba ALLAH.
Awatif...tenangkan diri ketika melangkah, rendahkan suaramu ketika berbicara, moga maruahmu terpelihara.
Ya ALLAH...satu tahun kami memikul amanah anak ini, kami cukup malu kepadaMU. Ampunilah kami kiranya terpalit coret-coret yahudi, nasrani atau majusi pada fitrah suci anak kami. Kembalikan kami kepada fitrahMU...
Thursday, March 24, 2011
Penyusuan Susu Ibu - Bahagian 3: KELENGKAPAN
- mampu mengumpul stok susu yang banyak dalam masa yang sedikit
- harga berbaloi sesuai dengan spesfikasi yang direka
- senang dibawa ke sana ke mari
- ada jaminan (warranty) daripada syarikat pembuat
Selain daripada pam, pemilihan bekas penyimpanan susu perahan yang baik juga sangat penting. Sama ada bekas itu ialah sejenis botol atau beg plastik, pastikan ianya bebas toksin atau bahan kimia beracun. Sebaik-baiknya, carilah bekas "BPA-free".
Banyak kenangan manis yang tersulam pada lembaran kehidupan kami tatkala kami suami-isteri berkira-kira untuk membeli alat-alat kelengkapan ini. Tempoh tinjauan yang dilakukan agak lama tetapi natijahnya sekarang sangat memuaskan. Kami membeli pam agak lewat, iaitu setelah Awatif lahir ke dunia, sewaktu Mama Awatif dalam pantang. Pada waktu inilah, siang-malam Baba Awatif keluar meninjau, hampir semua kedai barangan ibu & bayi dijejakinya. Akhirnya, kami sepakat untuk membeli sebuah pam Pureen yang berharga RM100 lebih. Pam ini beroperasi dengan kuasa elektrik atau bateri, kecil dan boleh disambung dengan mana-manabotol susu. Alhamdulillah, pam ini sedikit sebanyak membantu Mama Awatif mengumpulkan stok semasa dalam pantang.
Namun, semakin hampir tarikh Mama Awatif untuk kembali bekerja, satu keperluan lain tiba-tiba muncul. Dengan bilangan pesakit yang sering meningkat dari hari ke hari, masa sebanyak 5 minit bagi seorang ibu yang bekerja sebagai pegawai farmasi sangatlah berharga. daripada situlah kami berpendapat bahawa kami memerlukan pam yang boleh mengumpul stok dengan banyak dalam masa yang sedikit. Rentetan daripada itu, beberapa siri tinjauan dilakukan sekali lagi untuk membeli set pam yang memenuhi kehendak.
Melalui majalah keibubapaan, laman web, Facebook dan lain-lain, kami mengumpul pelbagai maklumat yang berguna. Akhirnya, satu set kelengkapan penyusuan berharga hampir RM500 menjadi pilihan. Walaupun lebih mahal daripada yang pertama, kami amat berpuas hati dengan set ini yang terdiri daripada:
- 1 beg pendingin (cooler bag) Stylo Mama
- 1 set Spectra 3 'double pump'
- 8 botol susu Safety Plus BPA-free (untuk menyimpan susu perahan)
- beberapa keping thermal freeze ice pack
- beberapa keping plastik penyimpanan susu
Kalau nak dikiaskan kepentingan ALAT dan PENYUSUAN SUSU IBU, bolehlah ditamsilkan dengan MESEJ dakwah dan METOD dakwah. Dalam berdakwah untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan, MESEJ dakwah yang disampaikan adalah PENTING. Untuk menyampaikan mesej yang penting ini, METOD, cara / alat untuk menyampaikannya juga menjadi sama PENTINGnya.
Tuesday, March 8, 2011
Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 2 - AZAM
"Kenapa ayah bertekad untuk mengambil emak sebagai isteri?" atau..
"Apa azam ibu sebaik sahaja mengambil keputusan untuk menerima pinangan bapa?" atau..
"Kalian mahukan kehidupan rumahtangga yang bagaimana?"
Pernah suatu ketika tatkala Mama Awatif sedang sarat mengandungkan Awatif, seorang teman sekerja Mama Awatif yang sedang memerah susu di dalam surau Farmasi meninggalkan pesan, "Asiyah, jangan lupa buat exclusive breastfeeding tau! Belilah pam yang sesuai. Tak apalah kalau mahal sedikit pun, tak rugi melabur. Investment ini sangat menguntungkan"
Teman ini sangat berdisiplin dalam melaksanakan azam yang ditanamnya. Setiap hari, apabila jam menunjukkan pukul 11 lebih, dia akan masuk ke surau untuk mengumpul stok perahan buat bayinya. Stok yang dikumpul akan disimpan sementara waktu di dalam peti sejuk di bilik rehat staf sebelum dibawa pulang ke rumah pada jam 5 petang. Begitulah rutinnya setiap hari sehingga membuatkan Mama Awatif berazam untuk melakukan perkara yang sama, malahan lebih baik daripada itu demi memberikan yang terbaik untuk anak! Azam murni ini dikongsi bersama dengan Baba Awatif yang sangat memahami & terlalu banyak membantu.
"Sayang nak menyusukan anak kita sampai dia umur berapa?", soal Baba Awatif.
"Selama yang mungkin, abang. Kalau diizinkan Allah, sehingga dia berumur dua tahun. Apa pendapat abang?", giliran Mama Awatif pula mendapatkan pandangan suaminya yang tercinta.
"OKlah tu. Abang setuju!"
Azam ini dikongsi oleh kami suami isteri sebelum Nidaaul Awatif Lahir ke dunia.
Dan Alhamdulillah, Allah izinkan kami berdua melaksanakannya.
ILMU + AZAM + USAHA + TAWAKKAL = ALLAH SUKA!
