Rintik-rintik peluh mula membasahi dahi dan hidungku. Penyaman udara dan kipas yang terpasang dalam bilik bersalin itu seakan-akan mati fungsinya. "Abang, sakit..", aku merintih sambil menggenggam tangan suamiku dengan lebih kejap. Kedua-dua belah kakiku tidak lagi mampu untuk duduk diam tatkala sakit kontraksi itu menyerang setiap 2 minit. Masa dirasakan terlalu lambat berlalu walhal skala sakit semakin meninggi. "Allah, Allah, Allah..", aku mengerang lagi.
"Sabar, Sayang..sabar..Selawat dan mengucap banyak-banyak", suamiku terus memberi kata-kata semangat yang sangat aku perlukan. Dalam menahan kesakitan itu, aku masih boleh mendengar suara suamiku mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Maryam. Begitu tenang bacaan itu dan begitu menenangkan. Ini kali ketiga Surah itu dibacakan dekat dengan telingaku sepanjang proses kelahiran ini. Di dalam hati, aku panjatkan doa, moga-moga urusan bersalin ini dipermudahkan Allah sebagaimana Dia menolong Maryam, ibu Isa a.s.
Mataku mulai layu dek terkena penangan Pethidine Injection. Namun, suntikan itu tidak mampu menghilangkan kesakitan. Aku mengerling ke arah jam di dinding. Hampir pukul 9. Doktor menjangkakan kelahiran akan berlaku pada jam 11 atau 12 tengah malam. Ya Allah, lama lagi! Tiba-tiba, aku terasa seperti ingin meneran. "Abang, sayang dah rasa nak meneran..sakit, abang..", ucapku lemah kepada suamiku. Dengan pantas, suami memberitahu jururawat dan doktor tentang keadaanku ini.
"Kalau dah rasa nak teran, teran je..adik teran kuat-kuat ye", entah doktor entah si jururawat yang menuturkan kata-kata ini. Aku sudah tidak dapat mengenalpasti. Kemudian, seseorang membetulkan kedudukan kaki, tangan dan punggungku sambil mengajarku apa yang perlu dilakukan dalam pertarungan ini.
"Sayang, tarik nafas dalam-dalam, hembus perlahan-lahan sampai habis..bertahan ye, sayang..sikit je lagi. Dah crowning ni", dalam kelelahan aku cuba melakukan apa yang diajarkan suamiku. Tolakan yang semakin kuat menyebabkan aku mengerahkan tenaga sedaya yang mungkin untuk meneran. "Haa, pandai, adik..bagus, dik..teran lagi..kuat lagi!", suara jururawat-jururawat kedengaran seperti suara pom-pom girls. Semangat terus dialirkan oleh mereka yang berada dalam bilik bersalin itu.
Akhirnya, kesakitan itu hilang serta merta! Dan itu, itu suara zuriat kami yang sedang menangis..Subhanallah wal hamdulillah! Meskipun mataku tertutup rapat kerana keletihan yang masih bersisa, telingaku masih dapat mendengar suara iqamah yang dilaungkan oleh suami tercinta di telinga bayi kami. Sungguh mengharukan, sungguh mendamaikan!
"Adik, tengok ni..lelaki ke perempuan?", seorang jururawat mengunjukkan si kecil yang baru sahaja aku lahirkan sebentar tadi. "Perempuan", ujarku sambil tersenyum. Bayi itu kemudiannya diletakkan di atas dadaku. Terus aku mendakap dan menciumnya sambil seukir senyuman kuhadiahkan buat suami tersayang yang setia menemani. "Adik, kami akan mandikan dulu bayi ini ye", si jururawat memberitahuku lantas mengambil bayi yang berada dalam dakapanku..sayang sekali untuk aku melepaskannya.
Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen (seruan penuh kelembutan)..lahirnya sebagai seorang mujahidah, anugerah teristimewa dari Allah buat kami suami isteri. Dilahirkan di HUSM pada 9.23 pm, 6 April 2010 dengan berat 2.97kg, sempurna fizikalnya dan sihat tubuh badannya. Seinfiniti terima kasih aku titipkan buat suami tercinta atas kehadirannya di sisi dan segala yang dilakukan untukku dan untuk puteri sulung kami ini. Thank you for everything, Abang! I love you very much!
Dan..semoga kehadiranmu, Awatif, menjadi pendorong kepada kami untuk terus berjuang menggapai redhaNya. Awatif, moga dikau manjadi anak solehah yang mendoakan kesejahteraan Baba & Mama di dunia & akhirat..ameen ya rabb!
Nukilan seorang isteri yang baru bergelar ibu,
20 April 2010; genap 2 minggu usia Awatif.
No comments:
Post a Comment