Monday, September 24, 2012

Berehatlah Dulu

Bismillahi walhamdulillah,

Mama diberi MC selama 2 hari gara-gara menjalani minor surgical procedure semalam. Ingrown toenail: itulah penyebabnya. Walau apa pun sakit yang dirasai, bersyukurlah atas ujian Tuhan kerana itu tanda kasihNya kepada kita, hamba yang selalu alpa kepadaNya. 

Terasa pelik pula apabila anak-anak tiada di sisi kerana dihantar ke rumah pengasuh sedangkan Mamanya berehat di rumah. I really miss them! Kata Baba, Mama perlu berehat. Baiklah, berehat. Apa yang Mama buat semasa berehat? Berikut adalah aktiviti Mama semasa berehat:

1- Sarapan
2- Mengadap iPad - buka Facebook, cek emel, baca berita, belayar ke sana sini
3- Solat dhuha, mengaji
4- Telefon pejabat - bertanya kenapa gaji Mama belum naik lagi
5- Kemas rumah yang tunggang-langgang - menyapu, mengemop, mengelap
6- Solat zohor
7- Tidur - 15 minit
8- Kemaskini blog ini...
9- Selepas ini: memasak..insya allah

Kesimpulannya, tiada istilah berehat bagi seorang isteri merangkap ibu meskipun dalam keadaan uzur. Bak kata seorang sahabat, "Kalau boleh, semasa tidur pun nak buat kerja". Justeru, marilah kita lebih menghargai ibu kita. Juga, buat para suami, hargailah ibu kepada anak-anak kalian! 

Peace, no war! ;)

Thursday, July 12, 2012

Keluarga Haraki

Bismillahi walhamdulillah,

Sudah hampir 3 bulan Mama bercuti dan hampir 3 bulan jugalah Mama tidak menghadiri mana-mana usrah. Hanya berusrah dengan Baba & anak-anak sahaja di kediaman baru kami :) Terasa ada ruang-ruang kosong yang tidak terisi di dalam hati dan rindu kepada sahabat-sahabat acap kali bertamu di sanubari. Seakan mengerti tentang kegusaran ini, seorang sahabat mencadangkan untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan perancangan usrah. Apa yang sangat menarik ialah perjumpaan tersebut berlangsung di teratak kami. Alhamdulillah, kedatangan tetamu sungguh memberi rahmat!

Sahabat 1: Kita kena cari satu tarikh yang semua orang available untuk adakan usrah.

Sahabat 2: Pada zaman dah bekerja & berkeluarga ni, saya rasa mustahil untuk kumpulkan semua orang pada satu masa..zaman belajar dulu bolehlah

Sahabat 3: Jadi, apa kata kalau kita pilih satu masa yang majoriti boleh hadir?

Sahabat 1: Hmm, susah sebenarnya kan? Kalau kita free, cik abang pulak yang tak free, ada usrah jugalah, meetinglah, programlah..siapa yang nak jaga anak? Kena bergilir-gilir jugak tu

Sahabat 3: Alah, bawalah anak-anak tu datang usrah sekali dengan kita..biar dia tahu apa yang ummi & abi dia perjuangkan sampai sibuk sangat tak boleh lekat kat rumah.

Sahabat 1: Ish, tapi nanti anak-anak ni buat kacau macam mana?

Sahabat 2: Setakat mana sajalah mereka tu boleh kacau kita? Budak-budak memang macam itulah. Inilah mujahadah namanya!

Sahabat 1: OK, OK..stuju! Kita cuba ya..

Begitulah asam garam orang yang nak perjuangkan Islam, kan? Jika kita sebagai seorang pelajar, selalu dinasihatkan agar diletakkan perjuangan itu pada tempat nombor 1 akan tetapi pelajaran bukanlah pada nombor 2. Apabila sudah berkeluarga, perjuangan tetap nombor 1 dan keluarga bukan nombor 2. Janganlah pula ibu-bapa asyik berpencak di medan, anak-anak di rumah berantakan! Nauzubillah..

Selamat membina keluarga haraki ('yang bergerak') kepada semua pejuang Islam walau di mana-mana posisi sekalipun anda berada! Semoga anak-anak kita menjadi Abnaa-ul-harakah, Soleh wa Musleh..ameen ya rabb.

Thursday, June 28, 2012

Episod Baru

Bismillahi walhamdulillah,

Apabila sang puteri & sang putera beradu, dan sang maharaja keluar berburu, maka barulah sang ratu berkesempatan mencoretkan kata-kata hikmatnya :-) Begitulah mukaddimah berkenaan episod baru kehidupan kami. Syukur kepada Allah kerana dengan kuasanya kami sekeluarga diberi peluang untuk meneruskan penghidupan di rumah sendiri. Rumah baru di kejiranan baru bersama ahli keluarga yang baru. Seolah-olah satu kehidupan yang baru, bukan?


Setakat ini, hanya kami berempat sahaja yang menghuni kediaman ini. Maknanya, wajib berdikarilah! Betullah apa yang orang kata, selagi tidak mendiami rumah sendiri, kita takkan pandai berdikari. Suami sebagai nakhoda bahtera rumah tangga perlu bijaksana mengemudi. Isteri sebagai pembantu pula mestilah seiring & sejalan dengan suami dalam menguruskan anak-anak kapal yang bermacam ragam. Berdoa kepada Yang Esa itu sudah menjadi satu kewajiban agar Dia sentiasa memandu kita dalam menetapkan hala tuju yang sebenar.

Bukan mudah untuk menguruskan rumahtangga kalau tidak ada keSABARan dan sikap saling MEMBANTU. Mujur juga Mama mengambil cuti bersalin selama 3 bulan. Sekurang-kurangnya, ada juga period peralihan dalam kami beradaptasi dengan suasana baru ini. Dalam erti kata yang lain, 3 bulan ini adalah peluang untuk bergelar suri rumah sepenuh masa dan menjadi suri rumah sepenuh masa itu sebenarnya bukanlah satu profesyen yang layak dipandang sebelah mata. Anda perlukan jutaan kemahiran yang sangat hebat untuk menjadi suri rumah yang MANTOPP!

Namakan sahaja skil yang pernah anda pelajari..
  • Kemahiran menguruskan masa
  • Kemahiran menguruskan stress
  • Kemahiran interpersonal 
  • Kemahiran menganalisa
  • Kemahiran membuat keputusan 
  • Kemahiran menguruskan penampilan diri
  • Kemahiran mengemas
  • Kemahiran memasak
  • Kemahiran membuat banyak kerja dalam satu masa
..dan baaanyak lagi! Malahan, senarai itu akan terus bertambah seiring bertambahnya amanah & tanggungjawab.

Semoga kita semua berjaya memikul amanah ini!

Saturday, May 12, 2012

HERO Ummah (Bhgn. 2)

Bismillahi walhamdulillah,

Segala-galanya bergerak dengan begitu pantas. Setelah selesai proses pendaftaran di kaunter, Mama dibawa ke bilik bersalin dengan menaiki kerusi roda diiringi oleh Baba yang setia menemani. Jam sudah pun menunjukkan pukul 4.50 pagi tatkala Mama merebahkan diri di atas katil dalam bilik bersalin.

"Kita dah contact Dr. Suzi, dia on the way & sekejap lagi sampai. Sementara dia handle seorang patient yang daftar sebelum awak, biar saya cek jalan dulu ye", ujar seorang jururawat shif malam.

"Dah 4 cm, dik", jururawat itu memaklumkan keadaan Mama.

"Agak-agak, berapa lama lagi, kak?", Baba bertanyakan jururawat tersebut.

"Tak lama..kalau awak ikut arahan kita, dalam sejam dua Insya Allah bersalin", si jururawat membuat telahan.

Sakit kontraksi menyerang Mama lagi. Selain zikir kepada Allah & selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w., tangan Baba juga menjadi sumber kekuatan Mama. Mulut Mama turut sama membaca ayat-ayat dari Surah Maryam yang dialunkan oleh Baba. Ya Allah, permudahkanlah!

"Sayang, minum air zam-zam ni sikit", Baba menyuakan air zam-zam yang dibawa dari rumah ke mulut Mama.

Moga-moga ada keberkatan dalam setiap teguk air suci itu yang membasahi tekak. Tidak lama selepas itu, Dr. Suziati, pakar sakit puan & perbidanan yang di'booking' khas sampai di bilik bersalin di mana Mama ditempatkan. Tepat jam 5.40 pagi, doktor memecahkan air ketuban setelah mendapati bukaan jalan sudah semakin luas untuk proses kelahiran. Amat menenangkan hati apabila si doktor memulakan setiap prosedur dengan bacaan doa & menyebut nama Allah.

"Alhamdulillah, air ketuban banyak & jernih. Pitocin pun kita dah masukkan untuk augmentation of labor. Insya Allah, dah tak lama dah nak bersalin ", ujar doktor sambil tersenyum memandang Mama & Baba.

"Sayang, Abang pergi solat sekejap ye", bisik Baba kepada Mama sambil melonggarkan genggaman tangannya sebaik sahaja azan subuh berkumandang di  udara.

"Abang, tunggu seminit dua lagi, boleh?", pinta Mama sambil memejamkan mata menahan kesakitan yang dirasakan.

Seminit dua pun berlalu dan Baba menyahut seruan azan dengan menunaikan solat Subuh di surau yang berdekatan. Sementara si suami berpergian, palang besi di sisi katil menjadi tempat si isteri berpaut menjana kekuatan. Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!

"Kalau Sayang bersalin hari ni, anak kita lahir pada hari BERSIH la, bang", tutur Mama kepada Baba yang kembali menemani seusai mendirikan solat Subuh. Baba tersenyum melihat Mama yang tiba-tiba bersemangat walau diri dalam kesakitan.

Beberapa ketika kemudian, doktor bersama jururawat masuk untuk memantau perkembangan. Graf menunjukkan frekuensi & intensiti kesakitan kontraksi sudah pun meninggi. Proses kelahiran sudah hampir nampaknya! Sebaik sahaja pundi kencing Mama dikosongkan, rasa ingin meneran mula menjengah.

"Adik, tolong jangan teran. Belum masanya lagi", seorang jururawat menasihati Mama yang seakan sudah bersedia untuk push.

"Doktor, saya dah tak tahan ni. Betul-betul rasa nak push", Mama membalas.

Lampu spotlight dinyalakan dan bahagian kepala katil dicondongkan ke hadapan bagi memudahkan proses kelahiran. Seboleh mungkin Mama cuba mengikuti setiap arahan yang dikeluarkan oleh doktor. Allahu Rabbi! Tidak seperti melahirkan Nidaaul Awatif dahulu, tanpa suntikan sebarang ubat penahan sakit, kesakitan bersalin pada kali ini dirasakan lebih 'ori' bagi Mama. Melihatkan kepala bayi yang sudahpun kelihatan, Baba, doktor & para jururawat yang mengendalikan terus melontarkan kata-kata semangat kepada Mama yang semakin keletihan.

"Sikit lagi, Sayang"
"Teran lagi, dik..Sikit je lagi nak keluar tu.."
"Tarik nafas perlahan-lahan, dalam-dalam..Tahaaan..Push!"

Uwaaa..uwaaa..uwaaa!!

"Alhamdulillah!", serentak dengan tangisan si kecil yang baru berpindah dari alam rahim ke alam dunia, lafaz syukur kepada Allah dipanjatkan beramai-ramai oleh semua yang menyaksikan.

Ya Allah, akhirnya!

Tepat jam 7.20 pagi, 28 April 2012, seorang HERO ummah selamat dilahirkan. Diazan dan diiqamahkan oleh Baba, permata hati kami yang kedua ini dinamakan MUHAMMAD ABEED BIN MOHD AZREEN.

Duhai 'Ahli Ibadah Yang Terpuji',
moga lahirnya dikau menjadi penyelamat ummah..ameen ya Rabb!


Wednesday, May 9, 2012

HERO Ummah (Bhgn. 1)

Bismillahi walhamdulillah,

Dalam masa sebulan ini, kami agak kerap keluar membeli-belah barang-barang keperluan untuk mendiami rumah baru. Kalau boleh diletakkan peratusan tahap kesediaan untuk diduduki, tinggal 5% lagi yang belum beres - kabinet dapur, wardrobe & panel TV di ruang keluarga.Oh, kami berharap sangat agar dapat naik rumah baru sebelum tarikh jangkaan bersalin anak kedua, 7 Mei 2012.

"Abang, Abang ada apa-apa program ke hujung minggu ni? Sayang rasa kita kena pergi Rantau Panjang hujung minggu ni jugalah untuk cari barang-barang yang belum beli. Takut terberanak awal, tak sempat pulak nanti", usul Mama kepada Baba semasa ber'pillow-talk' pada malam Rabu, 25 April 2012.

"Ya, ya..baiklah Sayang. Kita pergi pagi Jumaat ni ye, Insya Allah", ujar Baba meredakan kerisauan yang bersarang di lubuk hati Mama.

Dengan izin Allah, seperti yang dirancang, kami bertiga bersama adik bongsu, Nurul 'Izzah, menjelajah pasar-pasar di bandar Rantau Panjang. Walaupun penat mengusung bayi yang berusia 9 bulan di dalam kandungn dan kadang-kadang mendukung Awatif yang sudah kepenatan berjalan, hasil perburuan ini cukup meriah. Beberapa item menjadi tawanan kami termasuklah set periuk, kuali, dan toto. Dalam perjalanan pulang, Baba berkenan untuk singgah makan di Rangnok Restaurant, Jalan Pasir Mas - Salor untuk menikmati hidangan asli Thai. Alhamdulillah! Shopping sudah, makan pun sudah. Harap-harapnya, malam nanti boleh tidur dengan lena.

Tidak dinafikan, fizikal kami sememangnya keletihan. Namun, mata Baba sukar sekali untuk dilelapkan manakala tidur Awatif seakan terganggu apabila dia acap kali mengigau sambil menangis. Begitu juga dengan Mama yang beberapa kali tersedar dari tidur.

Pada jam 3.15pagi, 28 April 2012, Mama tersedar lagi untuk kesekian kalinya. Perut Mama terasa memulas. Semacam ada kontraksi pun ya. Beberapa kali juga Mama berulang-alik ke tandas, sekejap untuk buang air kecil, sekejap pulak buang air besar. Lebih kurang 15 minit Mama berada dalam keadaan sedemikian. Kemudian, selang 5 minit, sakit itu datang lagi. Sah, ini sakit kontraksi hendak bersalin! Kerana tidak tahan dengan kesakitan itu, Mama terpaksa juga mengejutkan Baba yang belum sampai sejam lena.

"Abang, bangun, bang..Sayang sakit perut..contraction macam nak bersalin", tutur Mama sambil menggerak-gerakkan tangan Baba.

"Urmm, sakit macam mana, Sayang? Contraction setiap berapa minit? Boleh tunggu Subuh tak?", dengan mata separa terbuka, Baba menyoal Mama bagi mendapatkan kepastian. Bukan apa, takut-takut false contraction.

"Sakit, Abang..contraction setiap 5 minit dah ni", ujar Mama sambil mengerut-ngerutkan dahi menahan sakit yang dirasakan semakin kuat intensitinya.

"Abang, macam mana ni?", Mama menggerakkan lagi tubuh Baba yang seakan kurang responsif.

Alhamdulillah, kali ini Baba terjaga sepenuhnya. Sambil beristighfar dan berselawat, Baba menyuruh Mama bersiap untuk ke hospital sementara Baba mengambil kesempatan menunaikan solat sunat 2 rakaat, bermunajat & berdoa diiringi dengan linangan air mata. Baba kemudiannya mungucup dahi Mama seraya berpesan, "Sabar ya, Sayang. Banyakkan istighfar & selawat". Dalam pelukan Baba, air mata Mama tumpah jua akhirnya.

Setelah mengejutkan Ummi & menitipkan beberapa pesanan kepadanya, kami berdua terus menaiki kereta menuju ke Kota Bhrau Medical Center (KBMC). Sepanjang perjalanan, CD Al-Quran dipasang supaya hati kami sedikit sebanyak lebih aman tenteram.

"Sayang, kita singgah beli something dulu di KFC ye. Makan sikit untuk bagi tenaga sebab malam tadi tak makan nasi kan..", cadang Baba sewaktu kereta menghampiri lampu isyarat di Simpang 4 Kubang Kerian. Mama mengiyakan sahaja sambil melirikkan mata melihat jam yang menunjukkan hampir pukul 4.30 pagi. Sementara menantikan Baba di dalam kereta, Mama mengunyah dua biji kurma yang dibekalkan Ummi. Kalau keadaan mengizinkan, ingin sekali Mama menikmati KFC yang dibeli Baba pula.





Thursday, April 12, 2012

2 Tahun

Bismillahi walhamdulillah,

6/4/10 - 6/4/12
Diam tak diam, Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen kini telah pun berusia 2 tahun. Meski jerih perih sewaktu melahirkannya masih tersemat kukuh di ingatan, kehadirannya dalam hidup kami terus menambahkan kebahagiaan..syukur, Ya Allah!

Tatkala kami suami isteri merancang untuk mengadakan sedikit sambutan hari lahir buat Awatif, Baba Awatif terpaksa pula berkejar ke Gua Musang kerana urusan kerja. Jadi, terpaksalah ikut plan B - tunda jamuan makan-makan sesama anak-beranak & jiran-jiran terdekat ke keesokan harinya.

Mujur Baba Awatif pulang awal dari out-station. Dapat jugalah kami anak-beranak outing bertiga. Kali ini Restoran Arabesque di Lundang menjadi sasaran. Bukan tak boleh makan malam di rumah, tapi sekadar mencari satu kelainan untuk lebih santai dan menggembirakan hati si anak kecil. Ya, Awatif cukup gembira lebih-lebih lagi apabila aiskrim dihidangkan di hadapan mata. Habis comot si empunya badan, dari atas sampai ke bawah. Sekali-sekala, apa salahnya kan?

Majlis makan-makan pada keesokan harinya lebih mencabar buat kami. Menu yang dirancang termasuklah pulut lemak manis (the birthday-girl's favorite food!) beserta telur, makaroni sup, puding roti, salad buah, kek Pavlova (ditempah khas) & air oren. Pagi-pagi lagi kami bertungkus lumus di dapur sehingga sampai pada satu tahap, Mama Awatif yang berbadan dua terasa macam nak pitam dek berdiri terlalu lama. Nasib baik ada Baba & Tok Ma yang sangat banyak membantu. Alhamdulillah, berjalan lancar juga majlisnya walaupun secara kecil-kecilan. Yang penting, semua orang gembira terutamanya puteri kami yang diraikan ini.. Alhamdulillah!

Buat Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen;
Jadilah anak solehah, penyejuk mata Baba & Mama
Moga-moga anakanda diredhai Allah selalu di dunia mahupun di akhirat sana
Ameen, Ya Rabb!

Tuesday, November 29, 2011

Great Big Hug

Bismillahi walhamdulillah,

Masih terngiang-ngiang di telinga kami sapaan Nidaaul Awatif sebaik sahaja dia bangkit dari tidurnya pada setiap pagi, "Mama, big hug.." Sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya, Awatif berpaling ke arah mamanya. Kemas & kejap dakapannya. Setelah dirasakan puas, barulah dileraikannya dakapan itu dan terus dia berpaling ke arah babanya pula.

"Baba, baba..big hug.." "Mmmuuuahh, Baba saaaayang Awatif!", respon Baba Awatif sambil mengucup dahi Awatif dengan penuh kasih sayang. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana menganugerahkan saat-saat yang cukup indah ini untuk kami nikmati!



Sebenarnya, frasa "big hug" itu dipelajarinya daripada lirik lagu rancangan Barney; I love you.

I love you, You love me, We are happy family, With a great big hug and a kiss from me to you, Won't you say you love me too?

I love you , You love me, We're best friends like friends should be, With a great big hug and a kiss from me to you, Won't you say you love me too?

Begitulah liriknya.. Jika dihayati, cukup mendalam sekali maksudnya dalam konteks membina keluarga bahagia.

1- Kasih sayang itu perlu diluahkan - sama ada melalui kata-kata mahupun perbuatan. Nabi Muhammad sendiri pernah menegur seorang sahabat yang mempunyai ramai anak namun tidak pernah mencium mereka. Sabda Baginda, mafhumnya: "Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi".

2- Anak sebagai kawan baik - walaupun secara realitinya anak itu jauh lebih muda daripada kita. Untuk menjadi kawan yang terbaik, ibu bapa harus terlebih dahulu menjadi pendengar yang baik. Dengarlah apa sahaja yang ingin diperkatakan oleh si kecil kita sekarang kerana kita pasti tidak akan mendengar perkara yang sama semula pada waktu akan datang.

Our Dear Nidaaul Awatif,
Indeed, Baba & Mama LOVE you with all our heart!