Saturday, August 23, 2014

Siapa Pergi Dulu?

Bismillahi walhamdulillah, 

Semalam dan hari ini, newsfeed Fb dipenuhi dengan berita-berita tentang kepulangan jenazah mangsa-mangsa tragedi MH17. Gambar-gambar pilu ahli keluarga mangsa nahas turut sama menjentik sanubari, justeru menerbitkan rasa untuk mencoret sesuatu di sini.

Innalillahi wa inna ilaihi rooji'uun..
Kita datang daripada Allah & kepada Allah jualah kita akan dikembalikan..
Benarlah, MATI itu SEBAIK-BAIK PERINGATAN.

Siapakah di antara kita yang akan menjadi orang pertama dijemput menghadapNya? Mamakah? Atau Babakah? Atau anak-anakkah? Mati itu RAHSIA yang hanya diketahui oleh Al-Mumiit sebagaimana Dia jugalah yang Maha Menghidupkan. 

Berderai air mata Mama apabila memikirkan hal ini. Terlintas di benak fikiran, apakah cukup bekalan yang akan dibawa ketika menghadapNya? Apakah cukup bekalan yang akan Mama tinggalkan buat anak-anak Mama berjuang meneruskan hidup menjadi khalifahNya seandainya Mama pergi dahulu? 

Walau apa pun yang bakal terjadi, marilah kita sama-sama tadabbur intipati yang terkandung dalam Surah Ad-Dhuha, moga-moga ia menenangkan jiwa & menyuburkan hati-hati kita. 

Firman Allah, maksudnya:

1. Demi waktu dhuha

2. Dan demi waktu malam ketika sunyi sepi

3. Tiada sekali-kali Tuhanmu meninggalkanmu & tiada pula Ia murkakanmu

4. Dan sesungguhnya Akhirat itu lebih baik untukmu dari dunia

5. Dan sesungguhnya Allah akan memberi (limpah kurniaNya) kepadamu & engkau tetap berpuas hati

6. Bukankah dahulunya engkau seorang anak yatim piatu, lalu Allah memberi perlindungan kepadamu?

7. Dan bukankah dahulunya Allah dapatimu dalam keadaan tiada pedoman, lalu Ia memberi hidayah kepadamu?

8. Dan bukankah dahulunya Allah dapatimu miskin, lalu Ia memberi kekayaan kepadamu?

9. Oleh itu, janganlah engkau hinakan anak yatim

10. Dan janganlah engkau herdikkan peminta bantuan

11. Dan hendaklah engkau sebut-sebutkan nikmat Tuhanmu.

Allahu..tiadalah daya upaya kami melainkan dengan kuasaMu, Ya Rabbi..

Terlalu banyak perkara yang masih belum kami pelajari & masih banyak telaga hikmah yang belum kami gali. Kau kurniakanlah kami KEKUATAN & KESABARAN untuk melaksanakan segala tanggungjawab di atas dunia ini.. Ameen..

Antara hadiah-hadiah pemberian para sahabat kepada kami sempena kelahiran anakanda ketiga. Jazaakumullahu khairan kathiira!

Tuesday, August 19, 2014

Puasa 6

Bismillahi walhamdulillah,

Hari ini 23 Syawal 1435H, genap 2 minggu umur Nisreen Aisyah. Alhamdulillah, Aisyah sihat & makin kuat menyusu. Mama pun dah seminggu lebih simpan stok EBM untuk buat bekal Aisyah nanti. Harap-harapnya dapat penuhkan deep freezer sebelum masuk kerja nanti, in sha Allah.

Acik-acik kat luar tu, semua dah habis puasa 6 ke? Syawal masih berbaki 7 hari lagi. In sha Allah, sempat sangat bagi mereka yang belum memulakan puasa sunat ni, dengan syarat puasa berturut-turut setiap hari. Syawal tahun ni, Mama tak berpeluang temankan Baba berpuasa 6 ni. Tapi takpe, sokongan padu Mama kepada Baba masih sama, "Teruskan perjuangan ye, Abang! 2 hari je lagi nak habiskan, lepas tu dah boleh raya!"


Kenapa Islam menganjurkan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ni?

Jom, sama-sama kita ikuti kupasannya oleh Ustaz Abdul Basit di sini. Semoga beroleh manfaat & sama-sama kita sebarkan kepada yang lain.

Tuesday, August 12, 2014

Amanah Bertambah


Bismillahi walhamdulillah, 

Sudah lebih setengah tahun blog ini terabai..astaghfirullahal 'azeem. Maafkan kami atas kekhilafan ini. In sha Allah, blog ini akan kembali aktif selepas ini bersama hadirnya seorang lagi ahli baru dalam teratak Permata Mustofain. 

NISREEN AISYAH BINTI MOHD AZREEN nama diberi..


Alhamdulillah, lahirnya ke dunia pada jam 1.05 pagi, tanggal 9 Syawal 1435H bersamaan 5 Ogos 2014, hampir seminggu lewat daripada estimated due date (EDD). Puas sudah mama pergi beraya & kenduri di sana sini, si kecil tak mahu juga keluar menjengah ke dunia. Sudahnya, mama terpaksa "menyerahkan diri" di hospital pada 4 Ogos walaupun kontraksi bersalin masih belum betul-betul terasa. Baba dengan rela hati mengambil emergency leave (EL) semata-mata mahu menguruskan mama.

Disebabkan overdue, kami bersepakat untuk memilih HUSM sebagai hospital tempat bersalin. Dalam hati, tak putus-putus berdoa agar tidak di"induce", hanya staf perempuan yang akan mengendalikan mama & semua urusan dimudahkan Allah. Mama diarahkan untuk check-in di Wad 2 Baiduri (antenatal) sementara menunggu untuk bersalin.

Peluang berehat di dalam wad mama gunakan untuk membaca buku, mengaji, berzikir & bersosial dengan ibu-ibu lain yang rata-ratanya melalui kehamilan berisiko disebabkan oleh penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi & jantung. Alhamdulillah, mama sangat-sangat bersyukur kerana melalui kehamilan yang sihat.

Dikhabarkan bahawa labor room & postnatal ward penuh pada hari tersebut. Jadi, mama mohon daripada doktor yang memeriksa mama untuk balik berehat di rumah sahaja sementara menunggu tanda-tanda bersalin muncul. Permintaan mama ditolak lantaran "jalan" sudah pun terbuka 3 cm meskipun mama masih belum terasa sakit. Mama dinasihatkan untuk banyakkan berjalan-jalan dalam wad supaya cepat bersalin. Maka, mulalah mama mengukur inci setiap ruang dalam wad tersebut. 

Mujur juga mama dikurniakan kesempatan untuk berehat dalam antenatal ward ini. Sekurang-kurangnya mama dapat melaksanakan solat-solat sunat mengiringi setiap solat fardhu. Kalau di rumah, belum tentu mama akan buat. Yang paling menarik, jururawat di sini datang memberikan penerangan tentang penyusuan susu ibu di katil mama..dia bukan jururawat biasa, tapi ketua jururawat dalam wad ini. Memang terbaiklah, sesuai sangat dengan gelaran Hospital Rakan Bayi!

Setelah sekian lama menanti, akhirnya sakit kontraksi datang selang 10 minit selepas mama selesai menunaikan solat Isyak. Mama memaklumkan kondisi mama kepada jururawat yang bertugas. Namun, mama diarahkan untuk teruskan berehat di katil dahulu & hanya akan dibawa masuk ke labor room jika sakit kontraksi datang selang 5 minit disebabkan tiada katil kosong di sana.

Pada jam 11.15 malam, mama dibawa masuk ke labor room. Berdasarkan graf CTG, kata tuan doktor, belum ada kontraksi yang kuat & jalan masih 5 cm walaupun labor pain sudah terasa begitu perit sakitnya. Mama mohon untuk dikendalikan oleh doktor perempuan tapi kata tuan doktor house-officer (HO) ini, semua doktor perempuan masuk dewan bedah. Allahu..mama pasrah!

"Doktor, boleh panggil suami saya masuk?", mama memohon sambil menahan sakit. 

"Sekejap lagi, bila kita dah pecahkan air ketuban, kita benarkan suami puan masuk", ujarnya. 

Doa & zikir dilafazkan tanpa henti..
Hanya Allah tempat memohon segala sesuatu..
Mohon diampunkan segala dosa dengan ujian kesakitan ini..
Mohon juga agar proses kelahiran dipercepatkanNya..

Lebih kurang pada jam 12.15 pagi, air ketuban dipecahkan & setelah itu baba dibenarkan masuk. Dapat berpaut pada tangan baba pun sudah sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesakitan yang dialami. Apatah lagi tatkala mendengar ayat-ayat surah Maryam yang dibaca oleh baba, semangat mama menjadi semakin kuat. Usai wayar CTG dicabut, mama terus mengiring ke kiri & meminta baba mengurut pinggang mama. Tak sampai 5 minit urutan, doktor mengarahkan baba keluar & dibenarkan masuk semula jika tiba masa untuk "push". Oh, tidak! Kenapa perlu keluar di saat ini?

Tak sempat baba keluar, mama sudah terasa untuk meneran. Mama pegang kuat-kuat tangan baba & minta baba maklumkan kepada doktor tentang keadaan mama. Tuan doktor seakan tidak percaya kerana belum pun sampai sejam sejak air ketuban dipecahkan, takkan sudah mahu bersalin?

"Sekejap ya, saya cek jalan. Puan jangan teran dulu", pesan tuan doktor. 

Akhirnya, tak sampai 5 minit selepas itu, setelah sekuat tenaga difokuskan untuk push, terdengarlah tangisan zuriat kami yang ketiga ini. Si kecil yang diazankan & diiqamahkan oleh babanya ini terus diletakkan ke atas dada mama yang masih keletihan.

Subhanallah!
Alhamdulillah!
Allahu akbar!

Maka, bertambahlah amanah Allah ke atas kami.
Semoga setiap derap langkah dalam kehidupan kami diberkati & diredhaiNya. Ameen, ameen ya Rabb!

Friday, November 15, 2013

Tadika, oh tadika!

Semakin kita menghampiri penghujung tahun, semakin sibuk kita menyiapkan sasaran kerja tahunan yang masih tertunggak. Dalam masa yang sama, kita juga mula membuat perancangan untuk tahun hadapan. Tak terkecuali, proses pemilihan taman asuhan kanak-kanak (taska) atau taman didikan kanak-kanak (tadika) untuk anak-anak yang akan didaftarkan untuk sesi 2014 juga turut tersenarai dalam senarai tugas yang perlu disiapkan sebelum berakhirnya tahun 2013. 

In Sha Allah, puteri sulung kami akan berusia 4 tahun pada tahun hadapan. Ada yang berpendapat, tak perlulah lagi dihantar budak yang berumur 4 tahun ke tadika. "Dia masih kecil. Biarkanlah dia bermain. Belum masanya lagi untuk dia menerima bebanan akademik. Kalau hantar awal, dibimbangi dia akan merasa bosan dan tak berminat lagi untuk belajar apabila masuk darjah 1 kelak". 

Oh, lama juga kami termenung & berfikir. Perlukah Awatif ke tadika pada tahun hadapan? Atau, tak perlukah? Kalau perlu, dalam banyak-banyak tadika, tadika manakah yang paling baik untuknya? Istikharah itu sudah tentu perlu dibuat!

Setelah menyaksikan kesungguhan Awatif yang siang malam menyebut mahu ke sekolah dan selalu berlakon aksi cikgu & murid, kami akhirnya bersetuju untuk menghantarnya ke tadika. Bukan setakat mengenal ABC & 123 secara formal tetapi kami mahu juga anak kami ini belajar bersosial dengan rakan-rakan sebaya serta didedahkan dengan ilmu keagamaan sejak dari awal lagi.


Beberapa kriteria telah kami gariskan. Antaranya, tadika itu mestilah:
  1. Islamik
  2. Mempunyai kuota tenaga pengajar : murid yang berpatutan
  3. Tenaga pengajar berpengalaman
  4. Silibus pendidikan yang integratif & interaktif
  5. Berdekatan dengan tempat kerja
  6. Persekitaran selamat & mesra kanak-kanak
  7. Mempunyai sesi pagi hingga petang 
  8. Menyediakan pemakanan yang sihat
  9. Kadar yuran berpatutan
Kami membuat sedikit penyelidikan sebelum membuat keputusan. 6 buah tadika berjaya dijejaki. Namun, susah juga untuk membuat keputusan kerana kebanyakannya tidak memenuhi kesemua kriteria yang kami tetapkan. Pening juga kepala memikirkannya! Ada yang dah elok semuanya tapi jauh pula kedudukanya dari tempat kerja kami. Ada yang dekat tapi terlalu ramai pelajar dalam satu kelas. Ada juga yang dekat serta mempunyai kuota murid : guru yang sesuai tetapi tenaga pengajarnya pula yang kurang berpengalaman.

Dengan bantuan Allah, pencarian kami berakhir apabila Allah menemukan kami dengan satu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang agak baru ditubuhkan. Pengasanya ialah seorang guru veteran yang sudah lama berkhidmat sebagai pendidik di PASTI. Alhamdulillah, semua kriteria dipenuhi. In Sha Allah ini pilihan kami. Moga ia yang terbaik! Ameen.


Monday, October 14, 2013

Alhajju 'Arafah


Kami sedang menyaksikan lintas langsung dari 'Arafah sewaktu post ini dihasilkan. Masha Allah, betapa hebatnya kekuasaan Allah, lautan manusia dari segenap pelusuk dunia membanjiri tanah suci ini. Tiadalah tujuannya melainkan demi menegakkan syiar Islam yang agung.

Semacam ada suatu perasaan yang membuak-buak dalam hati kami tatkala mendengar khutbah yang disampaikan. Ya Allah, sampaikanlah kami ke sana dalam keadaan yang terbaik! Sesungguhnya kami begitu rindu untuk menjadi sebahagian daripada dhuyuufurrahmaan; tetamumu ya Allah! Perkenankanlah hajat kami ini, ameen ya Rabb!

Allahu akbar..
Allahu akbar..
Walillaahilhamd..

Salam Aidul Adha buat kami sekeluarga!
Semoga kita semua dapat meneladani pengorbanan & ketabahan aali Ibrahiim; keluarga Nabi Ibrahim a.s.

Sunday, September 1, 2013

Puasa 6


Bismillahi walhamdulillah,

Dah habis puasa 6 dah semua? Syawal tinggal beberapa hari je lagi. Kalau nak diikutkan, hampir setiap hari ada saja undangan rumah terbuka, betul tak? Jadi, pandai-pandailah letakkan prioriti masing-masing. Ayuh, mujahadah untuk habiskan bagi yang belum. Tahniah buat yang sudah sempurnakannya!

Apa kelebihan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ni?

Ya, seperti berpuasa selama setahun. Inilah tawaran yang semua orang Islam sepatutnya rebut!

Tuesday, July 16, 2013

Ramadhan 1434H

Bismillahi walhamdulillah,

Ramadhan Kareem...Allahu Akram!
Syukur ke hadrat Ilahi kerana sekali lagi mempertemukan kita dengan penghulu bulan yang sungguh mulia ini. Hari ini 7 Ramadhan. Bagaimana ibadah puasa kita pada kali ini? Harap-harapnya ada banyak peningkatan yang berlaku.

Hampir semua orang boleh menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun, jika sekadar itu matlamat puasa kita, ia tak ubah seperti kita sedang mengadakan mogok lapar. Na'uuzubillahi min zalik! Semoga ibadah puasa kita dapat menjadikan kita lebih bersifat kehambaan..hamba bertakwa yang mendambakan keredhaan Yang Maha Agung.

Bagaimana pula kita mendidik anak kecik kita tentang puasa?
Setiap ibu bapa ada cara yang tersendiri dalam mendidik anak-anak.

Pernah suatu ketika sewaktu semua orang sedang menghadap hidangan untuk berbuka puasa, puteri sulung kami bertanya, "Mama, puasa itu apa?" Terdiam kami seketika, memikirkan apakah susunan ayat yang sesuai untuk diungkapkan sebagai jawapan.
"Puasa tu, kita tak makan & tak minum pada waktu siang. Kalau orang azan Maghrib, dah masuk malam, baru kita boleh makan & minum. Kita buka puasa". Puteri kami yang berusia 3 tahun itu mengangguk-angguk mendengar penjelasan Mamanya. Entah faham, entahkan tidak.

Nak dijadikan cerita, keesokan harinya, sedang kami duduk bersantai di ruang keluarga, azan Zohor berkumandang. Sepantas kilat, Awatif menjerit, "Mama, dah azan! Mama dah boleh makan".

Oh, rupa-rupanya masih kurang kefahaman di situ!

"Ha'a, dah azan tapi masih siang lagi. Tu, kat luar masih terang! Mama belum boleh makan lagi, sayang". Awatif mengangguk lagi.

Senja berlabuh dan azan Maghrib dilaungkan melalui corong radio menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Saat itu juga menyaksikan satu kefahaman telah terbentuk pada diri anakanda kami.

"Mama, dah boleh makan! Dah gelap dah!", jeritnya dengan penuh teruja.

"Ya, Awatif. Jom, buka puasa sama-sama!", serentak kami mengajaknya.

Alhamdulillah. Semoga ia menjadi titik permulaan yang baik untuknya.