Wednesday, July 14, 2010

Terus Belajar

Bismillahi walhamdulillah,

LIFE IS A LEARNING PROCESS..
Hidup ini adalah satu proses pembelajaran..

Setiap hari, pasti ada sahaja perkara baru yang kita pelajari. Sama ada pelajaran itu berbentuk formal atau tidak, isu itu tidaklah begitu penting. Asalkan kita mengamalkan apa yang kita pelajari serta mengambil iktibar daripada setiap pengajaran, itu sudah memadai untuk kita menjalani penghidupan yang lebih baik di hari muka.

Misalnya, sewaktu kita bekerja, kita terdengar suara bising bos kita yang sedari tadi asyik memarahi para pekerjanya. Itu tak kena, ini tak kena. Apa sahaja yang dilakukan pasti akan dikomen. Ya, mungkin pekerja yang dimarahi itu telah melakukan kesilapan sama ada dengan sengaja atau tidak. Namun, telinga kita yang mendengar tempikan si bos pasti akan berasa geram kerana pada pandangan kita, tindakan bos itu tidak begitu rasional, malah penuh dengan emosi serta mengaibkan insan yang dimarahinya. Jadi, pengajaran yang mungkin patut kita ambil ialah:
  1. sekiranya kita menjadi bos, kita tidak akan berkelakuan sedemikian terhadap anak buah kita kerana hanya apabila kita menghormati orang lain, orang lain akan menghormati kita
  2. tindakan emosional yang datangnya dari hati kita sebenarnya akan mengguris emosi insan lain
  3. ingat pesan Nabi kita: "La taghdhob, La taghdhob, La taghdhob!" yang bermaksud, jangan kamu marah, jangan kamu marah, jangan kamu marah.. Justeru, kawallah kemarahan kita. Dengan itu kita akan menjadi manusia yang KUAT
Sebenarnya, ada satu cerita yang ingin kami kongsikan di sini berkenaan tajuk pada kali ini. Pejam celik, pejam celik...usia puteri kesayangan kami sudah pun genap 3 bulan.

"Baby dah pandai senyum?"
"Dah.. Dah pandai nak berborak dengan kita pun"

"Apabila dia menangis, adakah dia akan senyap apabila dibawa berjalan-jalan di halaman rumah?"
"Ya, begitulah"

"Kaki dan tangannya banyak bergerak tak?"
"Banyak! Kalau dia tak tidur, kaki dan tangannya tak berhenti bergerak"

"Kalau ada barang terhempas ke lantai dengan bunyi yang kuat, adakah dia akan terus berpaling ke arah bunyi tersebut?"
"Ha'a"

"Sudah adakah tanda-tanda bayi akan meniarap?"
"Ada.. sekarang ini, dia banyak mengiringkan badan ke arah kiri"

"Ada tak bayi memasukkan ibu jari tangannya ke dalam mulut?"
"Ada, bukat setakat ibu jari, nurse..dia masukkan segenggam tangannya ke dalam mulut!"

Sesi soal-jawab di atas sebenarnya berlaku ketika puteri kami dibawa ke klinik desa untuk pemeriksaan bulanan & vaksinasi pada minggu lepas. Alhamdulillah, setakat ini Awatif masih lagi menyusu susu ibu sepenuhnya dan dikurniakan Allah kesihatan yang sangat baik. Beratnya pada minggu lepas ialah 5.3kg. Kini, Awatif sudah pun mula belajar meniarap meskipun asyik terkial-kial untuk mengeluarkan tangan kirinya yang selalu tertindih di bawah badan. Seronok betul melihat perkembangan yang terbaru ini!

Go, go..dear! Never give up!
Well, life is a learning process, right!

Wednesday, June 23, 2010

Pelaburan

Bismillahi wal hamdulillah,

Semoga semua pengunjung Permata Mustofain berada di bawah payung keredhaan Ilahi. Baru-baru ini, ada seorang sahabat kami berkata, "Update lah blog..nak tahu perkembangan ni". Justeru, kami memohon maaf kepada semua yang selalu menantikan post terbaru daripada kami. Niat untuk mengemaskini memang sentiasa ada dalam hati. Apakan daya, keadaan & waktu pula yang tidak mengizinkan. Alhamdulillah, sekarang inilah peluangnya.

Al waajibaat aktharu minal awqaat!
Tanggungjawab itu lebih banyak daripada waktu.

Semua orang dikurniakan 24 jam dalam satu hari. Tiada lebih, tiada kurang. Dari dahulu hingga sekarang, begitulah sunnatullah yang tiada pernah padam..sehinggalah Waktu Yang Dijanjikan itu datang. Pun begitu, sebanyak manapun tugas dan beban yang terpikul di pundak kita, harapnya tanggungjawab sebagai seorang hambaNya tidak akan diketepikan kerana itu sahajalah pelaburan yang kita mampu lakukan untuk kesenangan di Masa Akan Datang.

Minggu ini dan beberapa minggu yang akan datang merupakan waktu yang lebih mencabar buat Baba & Mama Awatif kerana kami berdua sama-sama posting di Ward Pharmacy (clinical) walaupun di hospital yang berlainan. Berada di wad sebenarnya agak memenatkan. Kami dikendaki:
  • menyertai ward round yang dilakukan oleh pakar-pakar, pegawai-pegawai perubatan dan pegawai farmasi yang bertanggungjawab ke atas wad berkenaan
  • meneliti fail-fail pesakit dan keadaaan semasa pesakit terutamanya yang berkaitan dengan ubat-ubatan
  • mengendalikan kaunseling terhadap pesakit berkenaan ubat-ubatan, compliance dan pengunaan alatan khas jika ada
  • membuat laporan clerkship
  • membentangkan laporan clerkship dan lain-lain lagi....
Waaaah, banyak sungguh kerja yang harus dilakukan! Pesakit pula bukannya seorang, penuh satu wad sehinggakan katil-katil tambahan perlu dimasukkan bagi menampung pertambahan bilangan dari sehari ke sehari. Jadi, pesan kami kepada diri kami sendiri dan kalian semua:

Jagalah kesihatan masing-masing! Beringatlah sebelum kena..

Sekarang, kami kisahkan pula perkembangan si cilik Nidaaul Awatif, permata hati kami. Sepanjang hari bekerja, Awatif dijaga oleh kakak kami di Peringat. Pada hujung minggu atau hari-hari cuti sekolah atau cuti umum, kami sekeluarga akan pulang ke rumah keluarga di Binjai. Setakat ini, lebih kurang begitulah jadual kami. Alhamdulillah, Awatif sudah semakin bijak, semakin boleh menerima botol susu dan semakin banyak minum susu perahan yang ditinggalkan oleh mamanya (hee, banyak betul semakin ni).

Semua ibu dan ayah mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Menyedari bahawa susu ibu adalah makanan yang terbaik untuk bayi, maka kami berazam agar exclusive breastfeeding dapat dilakukan untuk anak-anak kami. Untuk itu, beberapa ratus ringgit telah kami laburkan untuk membeli pam dan kelengkapan yang sesuai. Semoga Allah mempermudahkan urusan kami dan para ibu bapa di luar sana untuk melaksanakan azam ini. Ameen!

Thursday, June 3, 2010

Islam Is Against Terrorism!

Bismillah wal hamdulillah,

Dunia semakin membenci tindakan zionis laknatullah. Tragedi Mavi Marmara memberi isyarat kepada kita betapa zionis Israel tidak pernah berhenti daripada menjadi the real terrorists dan mereka tidak sekali-kali akan duduk diam selagi ada yang berusaha untuk menentang mereka. Doa kita agar Allah terus memberi kekuatan kepada ummat Islam untuk memerangi musuh agama ini dan semoga dosa-dosa yang kita lakukan tidak menjadi sebab terhalangnya pertolongan Allah kepada saudara-saudara seislam kita yang dizalimi.

Seluruh ahli keluarga teratak Permata Mustofain menyeru agar saudara-saudari sekalian meneruskan doa & qunut nazilah sebagai salah satu cara untuk menolong mereka di sana. Juga, peliharalah diri dan ahli keluarga kita daripada terjebak dengan penjajahan minda yang didalangi kuffar ini. Marilah kita kembali kepada asas-asas agama: Al-Quran & As-Sunnah!


19 Mei 2010; Baba Awatif dah masuk 27 tahun..dapat surprise gift daripada Mama yang ketika itu masih dalam pantang =)


Mencecah usia 2 bulan; Awatif dah pandai focus & tengok orang di sekelilingnya + mula belajar nak senyum bila orang agah

Seputar tentang warga teratak ini..
Isnin depan, Mama Awatif dah kena masuk kerja semula. Cuti panjang bakal berakhir sudah huhu =/
Awatif pula asyik meragam bila disuakan botol susu ke mulutnya. Dulu, ok je..tak 'allergic' sangat dengan puting botol susu. Sekarang ini, asyik nak mamanya sahaja. Aiyyo, macam mana nak tinggalkan Awatif nanti?

Jadual waktu tidur dia pun dah berubah sekarang ni. Tidur banyak pada waktu siang, berjaga waktu dini hari. Ohho, Baba Awatif asyik kena perli je kat tempat kerja sebab kelihatan letih tak bermaya..tak tidur, jaga anaklah katakan. Haish, Mama Awatif kerja nanti macam mana ye? Moga-moga diberikan kekuatan oleh Allah untuk menghadapi ujian-ujian di hari-hari yang mendatang..ameen.

Saturday, May 15, 2010

1Tahun 1Aqidah 1Cinta

Bismillah wal Hamdulillah

Tepat jam 9.50 malam, 15 Mei 2009...Dua insan permata hati Mustofain sah diikat dengan ikatan aqidah, melalui ikatan pernikahan. Ikatan yang kukuh, ikatan yang menyatukan kami atas jalanNYA.

15 Mei 2010. Genap setahun. Alhamdulillah, tiada ucapan yang lebih layak untuk kami lafazkan, sambil menatap wajah antara kami...Seolah-olah baru semalam tangan Baba Awatif disambut dan dikucup oleh Mama Awatif dalam upacara membatalkan air sembahyang, seolah-olah baru sahaja selesai kenduri kesyukuran perkahwinan kami. Satu tahun...Perubahan demi perubahan telah kami lalui, bermula dengan hidup berdua, memulakan kerjaya professional, belajar terjun ke dalam alam realiti masyarakat, dunia dakwah yang menuntut segala-segalanya dari diri kami, meniti saat-saat sebagai bakal ibubapa, dan kehadiran insan baru penyejuk mata kami Awatif. Tiada yang lebih membahagiakan kami selain mengharapkan redha Allah sentiasa mengiringi perjalan keluarga kami.

Satu tahun menyemai cinta...Cinta selepas perkahwinan terus mekar mewangi. Agak melucukan apabila kami selalu mencari peluang untuk keluar 'dating', tidak kira waktu lunch hour, selepas pulang kerja, weekend dan bila-bila saja peluang terhidang =) Seronok mengenang kembali mula perkenalan kami bagaimana persefahaman dibentuk melalui acuan murabbi, bagaimana gejolak perasaan dikawal dan diurus mengikut jalur-jalur syar'ie, dan redha Allah dan ibubapa didahulukan dalam memanifestasikan cinta kami.

Satu tahun janji kasih termeterai...Baru selangkah kami menapak. KepadaNya kami memohon semoga dikuatkan kaki-kaki kami untuk terus menapak, selangkah demi selangkah menuju Mardhatillah.

"Sayang...Satu tahun. Abang terlalu bahagia memilikimu sebagai isteri Abang, terima kasih kerana menjadi Mama kepada anak Abang"

"Abang...Sayang betul-betul bertuah dapat menjadi isteri Abang, menjadi Mama kepada anak Abang." Air mata Mama Awatif mengalir....


Ya Allah...Kami ingin terus bercinta sampai ke SyurgaMU, dengan RahmatMU.

Friday, May 7, 2010

Juara Musabaqah

Bismillah walhamdulillah,

Kini, genap satu bulan usia Awatif. Bermakna, sudah sebulan jugalah kami bertiga menjalani kehidupan sebagai sebuah keluarga yang lengkap = ayah/suami + ibu/isteri + anak. Semalam, kami membawa anak kami ke Klinik Desa (KD) berdekatan untuk mendapatkan suntikan imunisasi serta menjalani routine medical examination (RME). Seawal jam 7.45 pagi lagi Awatif sudah dimandikan. Setelah itu dia disusukan dan terus tertidur. Almaklumlah, dari jam 4 pagi lagi Awatif sudah berjaga: sibuk 'bertarannum' dan mengejutkan Baba, Mama & Neneknya untuk 'qiyamullail'. Fuhh, suaranya sekarang semakin nyaring! Pitching tak lari langsung..hehe..

Setibanya kami di sana, sudah ada 2 orang patients sedang menunggu giliran. Seorang jururawat masyarakat (JM) mengarahkan Mama Awatif membuat ujian air kencing dan kemudiannya mengukur tahap tekanan darah, menimbang berat badan dan mengukur kadar hemoglobin dalam darah. Alhamdulillah, semuanya normal kecuali tekanan darah yang sedikt rendah. Yang paling menggembirakan Mama ialah berat badannya sudah turun..lagi 2kg untuk menghampiri berat badan sebelum mengandung =)

Urusan si ibu sudah selesai. Kini, tiba giliran Awatif pula untuk diperiksa. Oleh kerana Awatif akan ditimbang berat badannya, JM meminta kami menanggalkan semua pakaian yang dipakai oleh si kecil ini termasuklah lampinnya untuk mendapatkan berat badan yang sebenar. Justeru, kami meletakkan Awatif di atas toto yang disediakan. Sebaik sahaja baju ditanggalkan, Awatif yang tengah lena tidur tiba-tiba menangis dan terus menangis. Tidurnya terganggu barangkali. Awatif terus mempamerkan kebolehannya dalam "musabaqah". Kemuncaknya, apabila jarum suntikan hinggap di paha kirinya. Siap boleh tarik perhatian audiens lagi, boleh jadi juara musabaqah ni! Semua orang pandang kami yang terkial-kial memujuknya..huhu.. Alhamdulillah 'ala kulli haal, tumbesaran Awatif didapati normal. Suntikan imunisasi juga telah diberikan.

Sementara Mama diperiksa tadi, Babalah yang mejaga Awatif di dalam klinik. Baba Awatif ni sangatlah macho! Semenjak kami berurusan di KD ini seawal kehamilan, tidak pernah kami terserempak dengan mana-mana suami yang menemani isterinya di dalam KD. Kalau ada pun, mereka sekadar menunggu di pondok yang disediakan di luar klinik atau di dalam kereta. Tapi, apa yang dilakukan oleh si suami merangkap Baba Awatif ini sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan moral support kepada si isteri merangkap Mama Awatif sehingga membuatkan Mama Awatif terharu dan sekaligus bangga terhadap perhatian yang diberikan. Ucap Mama kepada Baba, "Terima kasih sangat-sangat, Abang!". Baba lantas membalas, "Sama-sama, Sayang. Abang sedih sebenarnya tengok patients kat klinik tu..tak boleh ke suami diorang ni ambil off sekejap untuk temankan isteri?"

Mungkin ada isteri yang tak pernah meminta untuk ditemani oleh suaminya. Tapi kalau tidur sebantal, makan sepinggan itu pun boleh dibuat bersama-sama, maka apalah salahnya kalau suami sudi menemani, kan? Insya Allah, akan menambahkan lagi keromantikan yang ada!

Tuesday, April 20, 2010

Kelahiran: Catatan Seorang Ibu

Bismillahi walhamdulillah,

Rintik-rintik peluh mula membasahi dahi dan hidungku. Penyaman udara dan kipas yang terpasang dalam bilik bersalin itu seakan-akan mati fungsinya. "Abang, sakit..", aku merintih sambil menggenggam tangan suamiku dengan lebih kejap. Kedua-dua belah kakiku tidak lagi mampu untuk duduk diam tatkala sakit kontraksi itu menyerang setiap 2 minit. Masa dirasakan terlalu lambat berlalu walhal skala sakit semakin meninggi. "Allah, Allah, Allah..", aku mengerang lagi.

"Sabar, Sayang..sabar..Selawat dan mengucap banyak-banyak", suamiku terus memberi kata-kata semangat yang sangat aku perlukan. Dalam menahan kesakitan itu, aku masih boleh mendengar suara suamiku mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Maryam. Begitu tenang bacaan itu dan begitu menenangkan. Ini kali ketiga Surah itu dibacakan dekat dengan telingaku sepanjang proses kelahiran ini. Di dalam hati, aku panjatkan doa, moga-moga urusan bersalin ini dipermudahkan Allah sebagaimana Dia menolong Maryam, ibu Isa a.s.

Mataku mulai layu dek terkena penangan Pethidine Injection. Namun, suntikan itu tidak mampu menghilangkan kesakitan. Aku mengerling ke arah jam di dinding. Hampir pukul 9. Doktor menjangkakan kelahiran akan berlaku pada jam 11 atau 12 tengah malam. Ya Allah, lama lagi! Tiba-tiba, aku terasa seperti ingin meneran. "Abang, sayang dah rasa nak meneran..sakit, abang..", ucapku lemah kepada suamiku. Dengan pantas, suami memberitahu jururawat dan doktor tentang keadaanku ini.

"Kalau dah rasa nak teran, teran je..adik teran kuat-kuat ye", entah doktor entah si jururawat yang menuturkan kata-kata ini. Aku sudah tidak dapat mengenalpasti. Kemudian, seseorang membetulkan kedudukan kaki, tangan dan punggungku sambil mengajarku apa yang perlu dilakukan dalam pertarungan ini.

"Sayang, tarik nafas dalam-dalam, hembus perlahan-lahan sampai habis..bertahan ye, sayang..sikit je lagi. Dah crowning ni", dalam kelelahan aku cuba melakukan apa yang diajarkan suamiku. Tolakan yang semakin kuat menyebabkan aku mengerahkan tenaga sedaya yang mungkin untuk meneran. "Haa, pandai, adik..bagus, dik..teran lagi..kuat lagi!", suara jururawat-jururawat kedengaran seperti suara pom-pom girls. Semangat terus dialirkan oleh mereka yang berada dalam bilik bersalin itu.

Akhirnya, kesakitan itu hilang serta merta! Dan itu, itu suara zuriat kami yang sedang menangis..Subhanallah wal hamdulillah! Meskipun mataku tertutup rapat kerana keletihan yang masih bersisa, telingaku masih dapat mendengar suara iqamah yang dilaungkan oleh suami tercinta di telinga bayi kami. Sungguh mengharukan, sungguh mendamaikan!

"Adik, tengok ni..lelaki ke perempuan?", seorang jururawat mengunjukkan si kecil yang baru sahaja aku lahirkan sebentar tadi. "Perempuan", ujarku sambil tersenyum. Bayi itu kemudiannya diletakkan di atas dadaku. Terus aku mendakap dan menciumnya sambil seukir senyuman kuhadiahkan buat suami tersayang yang setia menemani. "Adik, kami akan mandikan dulu bayi ini ye", si jururawat memberitahuku lantas mengambil bayi yang berada dalam dakapanku..sayang sekali untuk aku melepaskannya.
Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen (seruan penuh kelembutan)..lahirnya sebagai seorang mujahidah, anugerah teristimewa dari Allah buat kami suami isteri. Dilahirkan di HUSM pada 9.23 pm, 6 April 2010 dengan berat 2.97kg, sempurna fizikalnya dan sihat tubuh badannya. Seinfiniti terima kasih aku titipkan buat suami tercinta atas kehadirannya di sisi dan segala yang dilakukan untukku dan untuk puteri sulung kami ini. Thank you for everything, Abang! I love you very much!

Dan..semoga kehadiranmu, Awatif, menjadi pendorong kepada kami untuk terus berjuang menggapai redhaNya. Awatif, moga dikau manjadi anak solehah yang mendoakan kesejahteraan Baba & Mama di dunia & akhirat..ameen ya rabb!

Nukilan seorang isteri yang baru bergelar ibu,
20 April 2010; genap 2 minggu usia Awatif.

Friday, March 26, 2010

Menghitung Hari

Bismillahi wal hamdulillah,

Usia bayi dalam kandungan sudah menjangkau 37 minggu..satu jangka masa yang dirasakan amat singkat. Gerakannya tatkala ia menyiku atau menendang menampakkan lagi betapa hebatnya kebesaran Al-Khaliq. Sedangkan alam jagat yang terbentang indah ini pun DIA mampu ciptakan, inikan pula menciptakan manusia yang hanya menghuni sebahagian kecil alam ini. Subhanallah!

"Dan di bumi terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang yakin. Dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?" [Surah Az-Zariyat: Ayat 20 & 21]


Sekarang ni, kami berdua sentiasa ternanti-nanti bilakah agaknya waktu kelahiran akan berlaku. Hati sentiasa berdebar-debar kerana setelah mencapai full-term (37 minggu), bila-bila masa sahaja isteri akan bersalin. Persediaan telah pun kami buat secara sederhana. Labor bag yang diisi pakaian bayi & kelengkapan ibu baru sudah diletakkan dalam kereta suami..senang, nanti kalau ada apa-apa, capai je terus bag tu untuk dibawa ke hospital.

Kami masih dalam dilema sebenarnya untuk memilih tempat untuk bersalin. Yang mana lebih baik, hospital swasta atau hospital kerajaan? Seboleh-bolehnya, kami mahu doktor/staf perempuan yang melakukan pemeriksaan & menguruskan proses kelahiran serta bayaran yang berpatutan dengan kualiti servis yang diberikan. Setelah melakukan survey & perbandingan, 2 tempat tersenarai dalam short-list: HUSM dan KBMC. Insya Allah, final decision akan dibuat dalam sehari dua ni.

Jika para pengunjung Permata Mustofain sekalian mempunyai sebarang cadangan atau mahu berkongsi pengalaman, silalah maklumkan kepada kami dengan segera ya, mana tahu kalau-kalau boleh dijadikan panduan kepada kami dalam membuat pilihan. Doakan juga agar Allah permudahkan segala urusan kami..ameen..