Tuesday, November 29, 2011

Great Big Hug

Bismillahi walhamdulillah,

Masih terngiang-ngiang di telinga kami sapaan Nidaaul Awatif sebaik sahaja dia bangkit dari tidurnya pada setiap pagi, "Mama, big hug.." Sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya, Awatif berpaling ke arah mamanya. Kemas & kejap dakapannya. Setelah dirasakan puas, barulah dileraikannya dakapan itu dan terus dia berpaling ke arah babanya pula.

"Baba, baba..big hug.." "Mmmuuuahh, Baba saaaayang Awatif!", respon Baba Awatif sambil mengucup dahi Awatif dengan penuh kasih sayang. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana menganugerahkan saat-saat yang cukup indah ini untuk kami nikmati!



Sebenarnya, frasa "big hug" itu dipelajarinya daripada lirik lagu rancangan Barney; I love you.

I love you, You love me, We are happy family, With a great big hug and a kiss from me to you, Won't you say you love me too?

I love you , You love me, We're best friends like friends should be, With a great big hug and a kiss from me to you, Won't you say you love me too?

Begitulah liriknya.. Jika dihayati, cukup mendalam sekali maksudnya dalam konteks membina keluarga bahagia.

1- Kasih sayang itu perlu diluahkan - sama ada melalui kata-kata mahupun perbuatan. Nabi Muhammad sendiri pernah menegur seorang sahabat yang mempunyai ramai anak namun tidak pernah mencium mereka. Sabda Baginda, mafhumnya: "Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi".

2- Anak sebagai kawan baik - walaupun secara realitinya anak itu jauh lebih muda daripada kita. Untuk menjadi kawan yang terbaik, ibu bapa harus terlebih dahulu menjadi pendengar yang baik. Dengarlah apa sahaja yang ingin diperkatakan oleh si kecil kita sekarang kerana kita pasti tidak akan mendengar perkara yang sama semula pada waktu akan datang.

Our Dear Nidaaul Awatif,
Indeed, Baba & Mama LOVE you with all our heart!

Sunday, October 23, 2011

Baiti Jannati

Bismillahi walhamdulillah,

Setelah sekian lama mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri, Alhamdulillah, Allah makbulkan jua impian kami ini. Terletak di tengah-tengah perjalanan antara rumah keluarga Baba Awatif & Mama Awatif, suasana kampung yang seakan tenang & kosnya yang mampu-milik menyebabkan kami tidak melepaskan peluang untuk cuba mendapatkannya. Alhamdulillah, setelah memohon petunjuk daripada Allah & mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak, rezeki berpihak kepada kami.

Pembinaan rumah yang bermula pada Mei yang lepas dijadualkan siap pada bulan Februari tahun hadapan. Moga-moga, ini merupakan satu permulaan yang baik buat kami sekeluarga..ameen ya rabb!

13/8/11, Kg. Seterpa, Kota Bharu



Thursday, August 25, 2011

Dia Sudah Mahu Pergi

Bismillahi walhamdulillah,

Ramadhan Kareem buat semua muslimin muslimat!

Haish, kenapa begitu lambat membuat ucapan? Sedarkah kamu bahawa Ramadhan sudah mahu pergi meninggalkan kita? Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dia akan bersama kita. Sebetulnya, ucapkanlah Selamat Hari Raya, bukankah begitu yang sewajarnya?

Ya Allah, begitu pantas masa berlalu! Apakah yang telah kita perolehi sepanjang menjalani hari-hari & malam-malam di bulan yang sangat diberkati ini?
  • -Sempurnakah puasa kita di siang hari? Atau kita sekadar mendapat lapar & dahaga?
  • -Solat kita bagaimanakah rupanya? Semoga ia tidak berupa kain buruk yang akan dilemparkan semula ke muka kita.
  • -Bacaan al-Quran yang kita alunkan, adakah sekadar menitir di bibir kita? Mohon pada Mu ya Allah, moga kebesaran ayat-ayat suciMu meresap masuk ke dalam lubuk hati kita yang paling dalam.
  • -Sedekah & zakat kita diterima Tuhankah? Harapnya, amal-amal ini tidaklah menjadi seperti debu-debu kering yang menempel di atas batu yang kemudiannya disapu bersih oleh air hujan yang menimpanya.
Wahai Tuhan kami, terimalah amalan-amalan kami ini!

Buat semua,
Selamat Menghidupkan Ramadhan! Moga Lailatul Qadar bakal kita ketemu
Rebutlah peluang yang masih bersisa sementara waktu masih ada kerana Ramadhan depan belum tentu dapat kita jumpa..



Sunday, July 17, 2011

Tiru Macam Saya

Bismillahi walhamdulillah,



Sedar tak sedar, bulan Sya'aban semakin menghampiri penghujungnya & Ramadhan, penghulu segala bulan semakin menggamit kehadirannya. Semoga kita semua sampai kepada Ramadhan tahun ini & diizinkan Allah untuk terus beribadah kepadaNya..ameen!


Ramadhan pada tahun ini dijangkakan akan lebih meriah buat kami sekeluarga dengan kehadiran Nidaaul Awatif yang pantas membesar. Alhamdulillah, sudah 1 tahun 3 bulan umurnya. Proses pembelajarannya semakin maju sebaik sahaja menginjak ke usia satu tahun. Setiap perlakuan orang di sekelilingnya pasti akan cuba ditiru satu persatu.

Apabila Mama & Baba solat, Awatif akan turut mengangkat takbir, ruku' dan sujud sambil mulut terkumat-kamit seolah-olah turut melafazkan bacaan-bacaan dalam solat.


Apabila kami berdua mengaji Al-Quran, Awatif akan sibuk membelek helaian demi helaian kitab suci tersebut sambil menadah tangan. Awatif memang selalu begitu. Pantang terdengar kalimah-kalimah Bahasa Arab, samada bacaan ayat Al-Quran, hadith, doa atau zikir, dan seruan azan, pasti Awatif akan mengangkat kedua-dua belah tangannya & meraup muka untuk mengaminkan bacaan-bacaan tadi sejurus selepas bacaan tamat . Sungguh comel!


Sering juga kami berpesan kepada insan-insan dewasa di sekelilingnya supaya cuba beradab sopan di depan Awatif. Bukan apa, minda si kecil ini sungguh mudah menyerap & meniru benda-benda baru. Kalau ada yang bercakap dengan suara yang kuat & menjerit-jerit, Awatif akan turut sama riuh bertempik. Jika ada yang membalingkan barang, Awatif akan turut melontarkan barang yang ada di tangannya pada saat itu juga. Itu belum masuk bab berkata-kata lagi! Moga Allah sediakan 'penapis yang paling ampuh' di minda puteri kami ini agar dia mampu memilih yang baik-baik sahaja untuk diamalkan.


Memang tidak mudah untuk membentuk akhlak dan peribadi anak apatah lagi jika suasana di sekelingnya tidak begitu membantu dalam merealisasikan aspirasi dan impian kita. Umpama adunan yang kita bentuk, pasti akan turut sama menyerap pewarna & perasa yang ditaburkan ke atasnya sama ada secara sengaja atau tidak. Mudah-mudahan, hanya pewarna dan perasa yang elok-elok sahaja diserap dan adunan tadi dapat mengembang dengan baik. Bukan sekadar sejuk mata memandang, bahkan kuih yang terhasil itu berkhasiat dan memberi kebaikan untuk semua.


Justeru, wahai ibu dan ayah..


Peliharalah akhlakmu kerana anak-anakmu itu akan meniru kamu


Baik ajaranmu, Insya Allah baik jugalah tingkah-laku anak-anakmu


Binalah bi'ah solehah untuk melingkungi kehidupan mereka


Agar nanti, mereka mempu menjadi pemimpin bagi orang-orang bertaqwa..




Ameen ya Rabb!

Monday, July 4, 2011

Travelog Mama



PAGI 27/6/11:

Awatif masih nyenyak tidur di atas katil sementara aku yang dalam keadaan keterpaksaan sedang sibuk bersiap-siap utk meninggalkannya selama 3 hari 2 malam. Ya, "SAYA YANG MENURUT PERINTAH" wajib menghadiri Bengkel Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) di Tasik Kenyir,Terengganu.

Semasa bujang dulu, tentu sekali inilah peluang yang sangat dinanti-nantikan untuk berlibur. Tapi, itu dulu. Dulu lain, sekarang lain. Dulu solo, sekarang dah bertiga. Apabila biasa berjemaah, melakukan urusan secara fardi terasa amat janggal sekali. Kali terakhir kami sekeluarga berjauhan ialah sewaktu Awatif berusia 6 bulan, juga kerana menghadiri kursus. Lagi jauh jarak & tempoh peninggalannya, nun di Johor Bharu sana selama hampir seminggu. Setiap malam asyik berendam air mata kerana rindukan anak & suami. Hati menjadi lebih sayu apabila terpaksa membuang air susu perahan ke dalam sinki begitu sahaja kerana ketiadaan peti ais untuk penstoran.

"Sayang,kejutkan sajalah Awatif tu", saran suamiku yang turut sama mempersiapkan diri untuk ke pejabat.

"Lena sungguh anak kita tidur, kan abang? Tak sampai hati pulak nak bangunkan dia", ujarku sambil menahan rasa hiba di hati.

Ingin ku tatap wajah suci ini sepuas-puasnya, buat menjadi pengubat rindu di kala berpergian nanti. Saat air hangat hampir melipah dari tubir mata, aku segera memalingkan muka ke arah suami tercinta. Rasa hati bercampur baur. Sungguh berat hati ini untuk meninggalkan insan-insan kesayanganku ini walau seketika cuma. Ya Allah, kuatkanlah semangat kami, betulkanlah niat kami, dan permudahkanlah urusan kami! Masa terus bergerak ke hadapan dan aku harus bertolak dengan segera.

Aku mendekati si kecilku, lantas mengucup ubun-ubunnya. Ciuman kasihku ditumpahkan pula ke kedua-dua belah pipi comelnya, dan terus menjalar ke tangan halu dan jari-jari mulusnya.

"Nidaaul Awatif, bangun sayang..", dalam nada berbisik aku memanggil namanya. Tiada respon. "Awatif, anak mama.." Jarinya bergerak-gerak perlahan, diikuti dengan senyuman manis terukir di bibir merahnya walau mata masih terpejam. Sejurus kemudian, dengan senyuman yang masih tidak lekang dari wajah, tangannya menggapaiku minta diangkat & didukung. Subhanallah! Inilah antara nikmat-nikmat teragung yang aku nikmati sepanjang aku menyandang gelaran 'Mama'.

Ya Allah, peliharalah diriku & ahli keluargaku daripada azab api neraka!

Thursday, May 26, 2011

Kembara Mei

Bismillahi walhamdulillah,

Setiap kali tibanya bulan Mei, ada beberapa peristiwa penting dalam hidup kami sekeluarga yang tidak harus terlupakan.

1) Hari Ibu (walaupun sebenarnya hari-hari hari ibu!)
2) Hari Ulangtahun Pernikahan Baba & Mama Awatif (15 Mei)
3) Hari Lahir Baba Awatif (19 Mei)

..15/5/2009 - 15/5/2011..
HAPPY ANNIVERSARY, DEAR!

Dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, Pemilik Segala Cinta, ikatan yang suci ini disimpul-Nya dengan penuh rapi. Alhamdulillah, 2 tahun sudah pun berlalu semenjak ikatan ini dimeteraikan. Melayari bahtera perkahwinan memang memerlukan kesabaran & toleransi yang tinggi, apatah lagi setelah dianugerahkan anak sebagai pengikat kasih antara Baba & Mama. Syukur, ya Allah kerana memilih kami untuk turut melaksanakan sunnah Nabi-Mu yang agung ini. Moga ikatan ini terus rapi hingga nyawa kami dijemput menghadap-Nya, entah bila waktunya, entah di mana tempatnya.

Di awal pernikahan dahulu, kami berdua pernah membuat resolusi untuk pergi bercuti bersama-sama sekurang-kurangnya dua kali setahun. Jadi, bersempena dengan bulan yang istimewa ini, kami bersepakat untuk merealisasikannya. Cuti rehat diambil selama beberapa hari untuk berlibur yang pada kali ini pastinya lebih meriah lagi dengan kehadiran si kecil Nidaaul Awatif yang sudah pun pandai bertatih. Hasilnya, terciptalah satu percutian yang amat bermakna bagi kami sekeluarga!

29 April - 1 Mei: Di Bukit Kluang, Besut, kami menghadirkan diri bagi tujuan menyertai Konvensyen Kebangsaan PAPISMA & dalam masa yang sama bersantai bersama ahli keluarga tersayang dan juga sahabat-sahabat seperjuangan yang semuanya berkerjaya & hampir semuanya sudah pun berkeluarga.


Kembara diteruskan lagi...



2 - 3 Mei: Kedinginan Cameron Highland menggamit kedatangan kami ke sana! Meskipun hujan mengiringi sebahagian daripada langkah kami, kami tetap berasa puas kerana dapat meluangkan masa bersama-sama. Yang paling seronok adalah Awatif. Mana taknya, hampir seminggu berkepit dengan Baba & Mama. Natijahnya, Awatif meragam & menangis-nangis tatkala Baba & Mama meninggalkannya untuk ke tempat kerja.. Alahai, sayang Awatif! Mungkin inilah penangan:

YOUR PRESENCE IS BETTER THAN YOUR PRESENT!

Selain daripada mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan, di antara hikmah kembara yang lain ialah bertambahnya perbendaharaan kata Awatif. Contohnya, daripada tidak pernah tahu apa itu 'strawberi', sekarang ini Awatif sudah pun mengenali strawberi kerana semenjak pulang dari kembara ini, strawberi mula mengisi hidupnya.

...bantal strawberi...
...baju strawberi...
...stokin strawberi...
...tuala strawberi...
...topi strawberi...

Marilah kita belajar daripada alam ciptaan Tuhan!
Moga-moga dengan itu, kita akan lebih mengenali DIA Yang Maha Mencipta..

Tuesday, May 10, 2011

Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 4 - MITOS vs. FAKTA

Bismillahi walhamdulillah,

Bagi menyambung semula perkongsian tentang penyusuan susu ibu, bahagian keempat ini akan dimuatkan dengan berapa perkara penting yang harus diambil berat oleh setiap ibu bapa untuk menjayakan penyusuan susu ibu.

MITOS (M) vs. FAKTA (F):

M: Semasa berpantang, jangan minum banyak air, makan buah atau sayur. Kalau tak, peranakan berair & lambat kecut

F: Badan seorang ibu memerlukan air & vitamin serta mineral yang banyak untuk membantu proses penghasilan susu ibu & memulihkan fizikal selepas bersalin. Jika kurang minum air, sudah pasti susu yang dihasilkan adalah sedikit. Semakin banyak anak menyusu, semakin cepatlah pengecutan rahim berlaku kerana semasa menyusulah hormon yang diperlukan untuk pengecutan rahim dirembeskan .


M: Tak nak menyusukan anak kerana ingin menjaga bentuk badan

F: Menyusukan anak secara eksklusif sangat membantu mengembalikan semua bentuk badan ibu menjadi lebih langsing kerana kalori dan zat-zat penting untuk mengasilkan susu akan diambil daripada makanan yang dimakan oleh ibu. Oleh itu, bagi mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan, ibu-ibu dinasihatkan untuk makan makanan yang seimbang serta dalam kuantiti yang sederhana tetapi kerap.


M: Susu tak nak keluar. Kalau keluar pun terlalu sikit!

F: Usah panik! Stimulasi atau rangsangan adalah sangat penting dalam penghasilan susu ibu. Subhanallah, Allah telah menjadikan sesuatu yang sangat unik dalam hal ini! Sebenarnya, apabila bayi menyusu, payudara akan dikosongkan dan serta-merta otak akan menerima isyarat untuk merembeskan hormon oxcytocin untuk menghasilkan lebih banyak susu bagi menggantikan susu yang telah keluar & mengisi semula kekosongan yang ditinggalkan. Susukan bayi anda mengikut kehendaknya. Jika anda bekerja, jangan lupa untuk usahakan mengepam susu sekerap yang boleh supaya penghasilan susu tidak terjejas.

Selain daripada itu, keadaan mental ibu yang tidak stabil seperti berada dalam keadaan tertekan (stress) atau terlalu penat juga boleh merencatkan proses pengeluaran susu. Jalan keluarnya ialah: relax! Bertenanglah, wahai ibu! Maka, wahai ibu, tataplah wajah anakmu dengan penuh kasih sayang kerana apa yang kamu sedang lakukan ini adalah suatu pekerjaan yang sangat mulia! POSITIFKAN MINDAMU! Gantikan perkataan "susu saya sikit" kepada "SUSU SAYA BANYAK!" Insya Allah, dengan izin-Nya dan sokongan moral daripada si bapa, apa yang dirisaukan sebelum ini akan berakhir.


Alhamdulillah, berbekalkan tips - tips yang kami kongsikan di sini dan juga doa yang berterusan, Nidaaul Awatif yang kini berumur 13 bulan masih lagi meneruskan penyusuan susu ibu seperti biasa. Selamat meneruskan penyusuan susu ibu dan...

SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU!

Sesungguhnya, Allah mengurniakan gelaran IBU kepada anda kerana DIA ingin meninggikan darjat anda di sisi-Nya.

Justeru, berbahagialah wahai ibu-ibu yang beriman!

Wednesday, April 6, 2011

Sanah Hilwah Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen

Bismillah Walhamdulillah...

Hari ini genaplah umur anak kami Nidaaul Awatif 1 tahun. Mama & Baba bercuti hari ini. Bersama anakanda kesayangan di hari bersejarah sangat mengujakan. Walaupun baru setahun umur, jelas kegirangan di raut wajah Awatif bila tengok Baba & Mama tak berpisah mula dari Awatif buka matanya pagi, sampailah ketika kami coretkan saat-saat manis dalam diari blog kami ini.

Pagi tadi kami bawa Awatif ke Klinik Desa Lubok Pukul untuk pemeriksaan kesihatan & suntikan MMR. Alhamdulillah berat Awatif meningkat kepada 7.94kg, masih dalam julat normal. "Wah boleh tahan becok anak kecil ni.." jerit Kak Ton, Jururawat Masyarakat yang dah berpuluh tahun berkhidmat untuk masyarakat setempat. "Memang pun Kak Ton...laju semacam je dia cakap bahasa dia" sampuk Baba Awatif yang memerhati Awatif di pangkuan Mamanya. Awatif nampak talkative..tak sama macam Baba & Mamanya di waktu kecil. Sekarang Awatif dah boleh sebut bababa...mamama...ucapan yang sekian lama kami tunggu-tunggu. Tapi ucapan yang selalu keluar dari mulutnya...betchu, betchu, betchu, betchu....mungkin penangan Upin-Ipin yang sangat diminati oleh anakanda permata hati kami ni, hehehe.

Di hari bersejarah bagi anak sulung kami, tiada sambutan besar kami atur. Hati kami mahu saja meraikan harijadi Awatif, tapi biarlah dahulu buat masa ini.. "Abang rasa tak perlu lah kita sambut birthday Awatif tahun ni ye sayang...bimbang-bimbang orang lain memandang seolah wajib pula kita sambut birthday anak kita setiap tahun. Mungkin kita selang-selang tahun untuk buat majlis atau apa-apa sambutan berkaitan harijadi ye sayang." Mama Awatif angguk setuju dengan cadangan Baba Awatif. Namun hari ini tetap membahagiakan kami tiga beranak. Baba & Mama cuti, Awatif langsung tak meragam, Awatif main dengan Baba & Mama sampai terlentok tidur dalam dakapan Mama, tanpa rengekan macam biasa. Petang tadi Mama & Baba pergi survey hadiah untuk Awatif..macam suka aje Awatif dengan hadiah Mama nak belanja tu. Sabar ye anakanda tunggu hadiah istimewa Mama. Baba pun dah booking online permainan untuk Awatif. Dua minggu insyaAllah sampai, Baba & Mama harap Awatif suka mainan tu. Baba Awatif senyum tak sudah lepas buat booking tadi...ish ish ish.


Nidaaul Awatif permata hati Baba & Mama,
Suka Baba & Mama ulang pesanan ini setiap detik dan masa. Tiada lain, seperti Luqman menasihati anaknya dengan nasihat-nasihat yang agung:

Awatif...jangan syirik kepada ALLAH SWT, sesungguhnya syirik itu kezaliman paling besar.

Awatif
...bersyukur dan berbaktilah kepada ALLAH (tegakkan agamaNYA), berbaktilah kepada Mama yang mengandung, menyusu dan mentarbiyyah Awatif dengan segala kepayahan, berbaktilah kepada Baba yang rela berkorban apa saja untuk Awatif.

Awatif
...Taatilah Baba & Mama selagi mana Baba & Mama tidak membawa dirimu ke lembah maksiat & syirik.

Awatif
...Berbuat baiklah sebanyak-banyaknya walaupun kebaikan itu hanya sebesar zarah, nescaya ALLAH menampakkan balasanNYA atas kebaikanmu.

Awatif
...Dirikanlah SOLAT, ajaklah manusia ke arah maaruf, cegahlah manusia dari segala mungkar, dan BERSABARLAH sayang dalam melakukan semua ini.

Awatif
...Jangan pandang rendah terhadap manusia, jangan berlagak sombong dengan manusia, kerana kita semua sama...kita semua adalah Hamba ALLAH.

Awatif
...tenangkan diri ketika melangkah, rendahkan suaramu ketika berbicara, moga maruahmu terpelihara.

Ya ALLAH...satu tahun kami memikul amanah anak ini, kami cukup malu kepadaMU. Ampunilah kami kiranya terpalit coret-coret yahudi, nasrani atau majusi pada fitrah suci anak kami. Kembalikan kami kepada fitrahMU...

Thursday, March 24, 2011

Penyusuan Susu Ibu - Bahagian 3: KELENGKAPAN

Bismillahi wal hamdulillah,


Bagi menjayakan misi penyusuan susu ibu, mempunyai alat kelengkapan yang baik adalah sangat membantu. Boleh sahaja jika ibu-ibu hanya menggunakan tangannya sendiri untuk memerah susu, namun, kaedah ini memakan masa yang agak lama dan tidak begitu efektif untuk ibu-ibu yang berkerjaya. Sekarang ini, sudah pun ada pelbagai jenis pam payudara di pasaran. Oleh itu, buat tinjauan yang menyeluruh dahulu sebelum membeli sesuatu produk. Seelok-eloknya, belilah pam yang bersesuaian dengan keperluan si ibu dan harga yang berbaloi dengan spesifikasi yang direka.


Antara ciri-ciri pam yang baik ialah:



  • mampu mengumpul stok susu yang banyak dalam masa yang sedikit


  • harga berbaloi sesuai dengan spesfikasi yang direka


  • senang dibawa ke sana ke mari


  • ada jaminan (warranty) daripada syarikat pembuat

Selain daripada pam, pemilihan bekas penyimpanan susu perahan yang baik juga sangat penting. Sama ada bekas itu ialah sejenis botol atau beg plastik, pastikan ianya bebas toksin atau bahan kimia beracun. Sebaik-baiknya, carilah bekas "BPA-free".


Banyak kenangan manis yang tersulam pada lembaran kehidupan kami tatkala kami suami-isteri berkira-kira untuk membeli alat-alat kelengkapan ini. Tempoh tinjauan yang dilakukan agak lama tetapi natijahnya sekarang sangat memuaskan. Kami membeli pam agak lewat, iaitu setelah Awatif lahir ke dunia, sewaktu Mama Awatif dalam pantang. Pada waktu inilah, siang-malam Baba Awatif keluar meninjau, hampir semua kedai barangan ibu & bayi dijejakinya. Akhirnya, kami sepakat untuk membeli sebuah pam Pureen yang berharga RM100 lebih. Pam ini beroperasi dengan kuasa elektrik atau bateri, kecil dan boleh disambung dengan mana-manabotol susu. Alhamdulillah, pam ini sedikit sebanyak membantu Mama Awatif mengumpulkan stok semasa dalam pantang.


Namun, semakin hampir tarikh Mama Awatif untuk kembali bekerja, satu keperluan lain tiba-tiba muncul. Dengan bilangan pesakit yang sering meningkat dari hari ke hari, masa sebanyak 5 minit bagi seorang ibu yang bekerja sebagai pegawai farmasi sangatlah berharga. daripada situlah kami berpendapat bahawa kami memerlukan pam yang boleh mengumpul stok dengan banyak dalam masa yang sedikit. Rentetan daripada itu, beberapa siri tinjauan dilakukan sekali lagi untuk membeli set pam yang memenuhi kehendak.


Melalui majalah keibubapaan, laman web, Facebook dan lain-lain, kami mengumpul pelbagai maklumat yang berguna. Akhirnya, satu set kelengkapan penyusuan berharga hampir RM500 menjadi pilihan. Walaupun lebih mahal daripada yang pertama, kami amat berpuas hati dengan set ini yang terdiri daripada:




  • 1 beg pendingin (cooler bag) Stylo Mama


  • 1 set Spectra 3 'double pump'


  • 8 botol susu Safety Plus BPA-free (untuk menyimpan susu perahan)


  • beberapa keping thermal freeze ice pack


  • beberapa keping plastik penyimpanan susu

Kalau nak dikiaskan kepentingan ALAT dan PENYUSUAN SUSU IBU, bolehlah ditamsilkan dengan MESEJ dakwah dan METOD dakwah. Dalam berdakwah untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan, MESEJ dakwah yang disampaikan adalah PENTING. Untuk menyampaikan mesej yang penting ini, METOD, cara / alat untuk menyampaikannya juga menjadi sama PENTINGnya.

Tuesday, March 8, 2011

Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 2 - AZAM

Bismillahi walhamdulillah,

Dengan izin Allah, bertemu lagi kita di ruang maya ini. Terima kasih kerana sudi singgah di teratak Permata Mustofain untuk berkongsi ilmu dan cerita. Antara sekian banyak ibu-bapa yang kita kenali, kita tentu pernah bertanya;

"Kenapa ayah bertekad untuk mengambil emak sebagai isteri?"
atau..
"Apa azam ibu sebaik sahaja mengambil keputusan untuk menerima pinangan bapa?" atau..
"Kalian mahukan kehidupan rumahtangga yang bagaimana?"

Di sebalik jawapan kepada soalan-soalan di atas, ada determination iaitu azam dan tekad yang terselindung di situ. Bagaimana boleh terbentuknya azam ini? Pastinya ia berdasarkan ilmu pengetahuan yang ada. Si ayah tentu tidak akan bertekad untuk mengambil emak sebagai isteri kalau dia tidak tahu menahu yang emak ini wanita jenis bagaimanakah untuk dijadikan suri hidupnya. Ibu pula takkan menanam azam begitu sahaja tanpa mengenali siapakah gerangannya lelaki yang akan diserahkan kehormatannya itu. Lalu, begitu jualah kisahnya dengan penyusuan susu ibu (PSI). Azam untuk melaksanakan PSI secara eksklusif memerlukan faktor pendesak untuk dipasakkan. ILMU merupakan salah satu faktor pendesaknya. Selain daripada ILMU, faktor PENGARUH PERSEKITARAN juga sangat membantu.

Pernah suatu ketika tatkala Mama Awatif sedang sarat mengandungkan Awatif, seorang teman sekerja Mama Awatif yang sedang memerah susu di dalam surau Farmasi meninggalkan pesan, "Asiyah, jangan lupa buat exclusive breastfeeding tau! Belilah pam yang sesuai. Tak apalah kalau mahal sedikit pun, tak rugi melabur. Investment ini sangat menguntungkan"

Teman ini sangat berdisiplin dalam melaksanakan azam yang ditanamnya. Setiap hari, apabila jam menunjukkan pukul 11 lebih, dia akan masuk ke surau untuk mengumpul stok perahan buat bayinya. Stok yang dikumpul akan disimpan sementara waktu di dalam peti sejuk di bilik rehat staf sebelum dibawa pulang ke rumah pada jam 5 petang. Begitulah rutinnya setiap hari sehingga membuatkan Mama Awatif berazam untuk melakukan perkara yang sama, malahan lebih baik daripada itu demi memberikan yang terbaik untuk anak! Azam murni ini dikongsi bersama dengan Baba Awatif yang sangat memahami & terlalu banyak membantu.

"Sayang nak menyusukan anak kita sampai dia umur berapa?", soal Baba Awatif.

"Selama yang mungkin, abang. Kalau diizinkan Allah, sehingga dia berumur dua tahun. Apa pendapat abang?", giliran Mama Awatif pula mendapatkan pandangan suaminya yang tercinta.

"OKlah tu. Abang setuju!"

Azam ini dikongsi oleh kami suami isteri sebelum Nidaaul Awatif Lahir ke dunia.
Dan Alhamdulillah, Allah izinkan kami berdua melaksanakannya.

"..maka apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadanya"

ILMU + AZAM + USAHA + TAWAKKAL = ALLAH SUKA!


Sunday, February 20, 2011

Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 1 - ILMU

Bismillahi walhamdulillah,

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama 2 tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan & pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan".

[Surah Al-Baqarah: ayat 233]


Firman Allah s.w.t. yang kami persembahkan di atas hanyalah sepotong ayat daripada beberapa potong ayat al-Quran yang berkait dengan penyusuan ibu. Umum mengetahui bahawasanya setiap sesuatu yang dinyatakan di dalam Al-Quran pasti mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Begitu jualah halnya dengan penyusuan ibu. Sains moden baru sahaja menjumpai khasiat & kepentingan susu ibu kepada bayi sedangkan Islam ternyata lebih mendahului pemikiran & penemuan manusia. Subhanallah, betapa indahnya Islam & begitu Agungnya Allah!

Kalau nak dibandingkan ilmu yang Allah miliki dengan ilmu yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita, sangatlah kecil kuantiti & kualitinya. Diibaratkan, sekiranya kira mencelup jari kita ke dalam air laut dan kemudiannya kita angkat jari itu, air-air yang melekat di jari kita itulah ilmu kita dan air seluas lautan itulah ilmu Allah s.wt. Yang Maha Bijaksana. Setiap perbuatan yang kita lakukan, hatta amal ibadah yang kita laksanakan seharusnya bersandarkan ilmu yang betul & syariat yang sahih. Amat rugilah orang yang beramal dalam keadaan jahil dan lebih rugilah orang yang tidak beramal kerana dia jahil. Do the right thing in the right way!
Justeru, apa pula kaitannya ilmu & penyusuan ibu? Nak menyusukan bayi pun perlukan ilmu jugakah? Jawapan kami: ya, sudah tentu!
Mari kita perhatikan apa yang berlaku di sekeliling kita dan di dalam keluarga kita sendiri serta jawablah soalan berikut dengan sejujurnya:
  1. Berapa ramai umat Islam yang sedar bahawa memberikan bayi susu ibu merupakan salah satu syariat yang begitu dianjurkan oleh Islam, terkandung dalam al-Quran & al-hadith?
  2. Berapa ramai yang betul-betul yakin & percaya bahawa air susu ibu sebenarnya jauh lebih berkhasiat kepada bayi berbanding dengan susu formula?
  3. Berapa ramai ibu bapa atau bakal-bakal ibu bapa yang mencari maklumat secara serius tentang cara-cara untuk menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada bayi?

Semua jawapan kepada soalan-soalan di atas sebenarnya berkait-rapat dengan ILMU. Oleh sebab itu, walau siapa pun kita, sama ada diri kita ini seorang ibu, ayah, datuk, nenek, anak, cucu atau bibik sekalipun, ayuh, mari kita persiapkan diri kita dengan ILMU YANG MENDALAM demi kesejahteraan ummat! Insya Allah.

Thursday, January 27, 2011

Ada Apa Dengan Anak?

Bismillahi wal hamdulillah,

Berikut merupakan sedikit informasi berguna yang ingin kami kongsikan bersama para pengunjung Permata Mustofain sekalian: "Childhood Developmental Milestone" yang dipetik daripada buku Paediatric Protocols For Malaysian Hospitals (2nd Edition).

Untuk si kecil yang berumur 9 bulan lebih seperti puteri kami Nidaaul Awatif, perkembangan yang normal ialah:

GROSS MOTOR:
  1. Sits steadily.
  2. Leans forward but cannot pivot.
  3. Stands holding on.
  4. Pulls self to stand.

FINE MOTOR:

  1. Inferior pincer grasp (Scissors grasp)

SPEECH/LANGUAGE:

  1. Localises sound at 3 feet, above and below the ear level.

SOCIAL:

  1. Feeds with spoon occasionally.
  2. Looks for fallen toys.
  3. Understands “NO!”

Alhamdulillah, Awatif sudah pandai duduk sendiri dan merangkak. Kalau dia didudukkan, asyik mahu berdiri sahaja keinginannya..tak boleh duduk diam lama-lama. Apabila diberikan barang mainan, entah ke mana-mana sahaja barang-barang tersebut dicampakkannya.

Pantang jumpa rambut sehelai di atas lantai, Awatif akan mengutipnya dengan jari-jemari kecilnya yang comel dan jika tidak diperhatikan, mungkin sahaja benda yang ditangannya itu disuakan ke dalam mulut. Gigi tajamnya sebanyak 4 batang itu suka menggigit itu dan ini dan Mama Awatif selalu sahaja menjerit kesakitan sewaktu menyusukan Awatif. Namun, jeritannya itu disusuli pula dengan senyuman tatkala menyedari bahawa anaknya itu semakin membesar dengan sihat.

Sekali lagi kami bersyukur atas kurniaan Allah ini. Akan kami menjaga dan mendidik amanah Allah ini dengan sebaik-baiknya, insya Allah. Sebenarnya, tahap perkembangan seseorang anak itu adalah berlainan dengan seorang anak yang lain. Fakta-fakta yang kami kongsikan di atas hanyalah kenyataan umum untuk dijadikan panduan supaya setiap ibu bapa prihatin terhadap apa sahaja yang berlaku terhadap anaknya. Jika keadaan tidak seperti yang dijangka, rujuklah anak kepada mereka yang pakar dengan segera, usah berlengah! Sesungguhnya, setiap rengekan, tangisan & mimik muka anak itu mempunyai maksudnya yang tersendiri. Maka, sensitiflah terhadap apa jua kondisi anak anda!